Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS dapatkan pandangan JAKIM, pengesahan penguasa Australia sebelum buat keputusan produk TFIL

JAKIM juga menjalankan siasatannya sendiri ke atas TFIL menerusi wakil yang dilantik di Canberra, sementara SICHMA memperakui kelemahan pada protokol-protokol penyembelihan oleh TFIL, seperti yang dilaporkan di media pada 28 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pengesahan daripada Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA) berhubung proses dan dapatan mengenai tempat penyembelihan Australia, Thomas Foods
International Lobethal (TFIL), sebelum memutuskan untuk menghentikan penggunaan dan import produk daging mereka.

Ini kerana JAKIM juga menjalankan siasatannya sendiri ke atas TFIL menerusi wakil yang dilantik di Canberra, sementara SICHMA memperakui kelemahan pada protokol-protokol penyembelihan oleh TFIL, seperti yang dilaporkan di media pada 28 Mei lalu.

Demikian dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap di Parlimen berhubung dapatan dan proses siasatan ke atas TFIL.

"Apabila ia menjadi jelas bahawa integriti halal di TFIL dikompromi, MUIS mengarahkan syarikat-syarikat dengan pensijilan halal supaya menghentikan penggunaan produk daging dari TFIL dengan serta-merta pada 30 Mei lalu.

"MUIS terus memantau import produk daging halal ke Singapura," jelas Encik Masagos.

Ini meskipun Jabatan Pertanian, Air Sekitaran Australia (DAWE) memberi respons kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 16 Mei lalu bahawa operasi TFIL sejajar dengan peraturan dan piawaian keselamatan makanan Australia, sekali gus selaras dengan tuntutan keselamatan makanan Singapura.

"MUIS memastikan produk-produk disahkan halal yang digunakan oleh pemegang sijil halal mengamalkan piawaian halal yang serupa atau boleh dibandingkan dengan Piawaian Halal MUIS Singapura (SMHS) melalui skim pengiktirafan Badan-Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB)," kata Encik Masagos.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa