MUIS: CPIB tidak akan ambil tindakan lanjut berhubung isu badan pensijilan asing
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan salah guna kuasa atau rasuah seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan salah guna kuasa atau rasuah seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Demikian menurut satu kenyataan MUIS hari ini (30 Jun).
Dalam kenyataan medianya pada 15 Disember lalu, MUIS menyatakan siasatannya berhubung tuduhan salah laku mengenai proses pengiktirafan bagi badan-badan pensijilan halal luar negara (FHCB) menunjukkan bahawa proses-proses pensijilan halal bagi badan-badan asing adalah munasabah dan pengiktirafan oleh para pegawainya dijalankan secara "adil dan saksama".
Sungguhpun begitu, perkara itu telah dirujukkan kepada CPIB untuk siasatan mereka "demi kepentingan kebertanggungjawapan dan ketelusan".
"CPIB sejak itu memberitahu bahawa ia tidak akan mengambil tindakan lanjut mengenai tuduhan rasuah yang melibatkan pegawai MUIS kerana bukti yang tidak mencukupi, berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak dan siasatan mereka," menurut kenyataan terbaru MUIS itu.
ADU LANGSUNG KEPADA MUIS
MUIS menekankan bahawa ia memandang serius semua aduan dan tuduhan.
Ia menggesa anggota masyarakat untuk membangkitkan sebarang isu yang memerlukan perhatian terus kepada pihaknya dan/atau pihak berkuasa dan bukannya menerusi pihak ketiga atau dengan menyebarkannya di media sosial.
"Laporan tentang sebarang salah laku oleh pegawai di MUIS akan disiasat dengan betul. Spekulasi dalam media sosial mungkin menjejas dengan proses siasatan dan memberi kesan buruk kepada reputasi dan moral pegawai yang didakwa, walaupun kemudian terbukti tidak berasas," kata MUIS.
MUIS turut memberi perkembangan terkini semakan menyeluruh yang dijalankan untuk mengukuhkan rangka kerja pengiktirafan FHCB.
Semakan itu, menurut MUIS, telah mencatatkan kemajuan yang baik.
Selain itu, ia merancang untuk melibatkan pihak berkepentingan yang relevan untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang rangka kerja yang dipertingkatkan itu sebelum pelaksanaannya penghujung tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.