MUIS buat laporan polis setelah akhiri siasatan berhubung kes individu sebarkan ajaran sesat: Masagos
Jawatankuasa Fatwa sudah mengakhiri siasatan dalaman berhubung kes seorang individu yang menyebarkan ajaran sesat dan sudah membuat laporan polis.

(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa sudah mengakhiri siasatan dalaman berhubung kes seorang individu yang menyebarkan ajaran sesat dan sudah membuat laporan polis.
Namun, MUIS tidak boleh memberi sebarang butiran lanjut mengenai kes tersebut kerana siasatan polis masih dijalankan.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mendedahkan hal demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Faisal Abdul Manap.
Encik Faisal bertanyakan tentang perkembangan siasatan tersebut dan tarikh tamat yang dijangkakan.
Selain itu, Encik Faisal turut bertanya sama ada MUIS sedar akan sebarang kegiatan oleh individu terbabit atau para pengikutnya.
"Pihak berkuasa akan berkongsi dapatannya kepada orang awam apabila siasatan sudah selesai," jelas Encik Masagos.
Isu ajaran sesat itu merujuk kepada kes seorang lelaki berusia 50-an tahun yang dikatakan mengaku dirinya Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan lima orang wanita.
Kes tersebut dibuka semula oleh MUIS dan Jawatankuasa Fatwa apabila mereka menerima laporan mengandungi maklumat baru mengenai kes tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.