Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS buat laporan polis berhubung isu tinjauan lucah; Masagos gesa siasatan segera

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) membuat laporan polis mengenai satu undian online yang menyenaraikan nama dan gambar para ustazah setempat berdasarkan daya tarikan seksual mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) membuat laporan polis mengenai satu undian online yang menyenaraikan nama dan gambar para ustazah setempat berdasarkan daya tarikan seksual mereka.

Dalam catatan Facebook pada Khamis (27 Mei), MUIS menyatakan ia tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual.

"Perbuatan ini tercela dalam agama kita, satu perbuatan munkar yang mesti dihentikan dan satu keaiban kepada masyarakat Islam.

"Agama kita menyeru rasa saling menghormati pada setiap masa, dengan menekankan sebagai keutamaan tertinggi, keperluan untuk melindungi maruah dan kehormatan semua anggota masyarakat," menurut MUIS dalam catatannya.

Undian itu dimulakan oleh pengguna dengan nama 'M A' di aplikasi media sosial MeWe pada Isnin (25 Mei). Ia mengajukan soalan: "Ustazah mana patut kena gangbang?" 'Gangbang' adalah lingo atau ungkapan yang merujuk kepada perbuatan merogol beramai-ramai. Menerusi petikan gambar yang dilihat BERITAmediacorp, tinjauan berkenaan menerima 245 undi.

Satu lagi undian serupa juga dimuat naik lebih awal pada 15 April tahun ini. Ia mengandungi pertanyaan "Gangbang Ustazah mana?" yang menerima sejumlah 1,005 undi.

Menurut MUIS, pihaknya telah menghubungi para mangsa dan akan menyediakan sokongan dan bantuan kaunseling bagi membantu mereka mengharungi masa sukar ini.

DAKWAAN MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM TERLIBAT; MASAGOS GESA SIASATAN SEGERA

Mengulas tentang kejadian tersebut, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat "dengan segera" isu sekumpulan ustazah yang dijadikan bahan tinjauan lucah itu.

Menulis di Facebook pada Khamis (27 Mei), Encik Masagos menegaskan pihak-pihak yang melakukan tinjauan "terkutuk" itu perlu dikenakan tindakan undang-undang "sekeras-kerasnya".

"Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dengan segera. Individu atau pihak bertanggungjawab di balik tinjauan terkutuk ini perlu menghadapi tindakan undang-undang sekeras-kerasnya," tulis Encik Masagos.

Menurutnya, beliau maklum dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan kebanyakan daripada mereka yang terlibat memulakan undian itu ialah para mahasiswa pengajian Islam.

"Saya telah menugaskan MUIS untuk menyiasat dakwaan ini secepat mungkin. Jika dakwaan tersebut benar, para pelaku mesti dikenakan tindakan undang-undang sepenuhnya kerana menunjukkan tingkah laku buruk sedemikian."  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan