Skip to main content

Singapura

MUIS buat aduan polis selepas urus niaga zakat mencurigakan dikesan di Masjid Al-Istiqamah

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS buat aduan polis selepas urus niaga zakat mencurigakan dikesan di Masjid Al-Istiqamah

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 15 Aug 2023 07:07PM Dikemas Kini : 15 Aug 2023 07:08PM
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesan urus niaga zakat harta yang mencurigakan, melibatkan bayaran tunai oleh anggota masyarakat di Masjid Al-Istiqamah.

Urus niaga mencurigakan di masjid yang terletak di Serangoon North itu dikesan semasa pemeriksaan secara kerap dijalankan oleh pihak MUIS.

Menyusuli dapatan tersebut, MUIS sudahpun membuat aduan polis bagi menjalankan siasatan ke atas isu berkenaan.

Demikian menurut MUIS dalam kenyataan medianya pada Selasa (15 Ogos).

Setakat ini, Masjid Al-Istiqamah sudahpun menggantung sementara semua pengumpulan zakat di kaunter pembayarannya, termasuk bayaran tunai.

"MUIS mahu menekankan bahawa sistem zakat berupaya mengesan percanggahan yang menandakan kemungkinan berlaku salah laku.

"Para pegawai dan penyelia zakat kami juga menjalani beberapa sesi latihan untuk dilengkapi sepenuhnya dengan kemahiran yang wajar untuk menjalankan operasi bagi sistem itu dan membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) apabila menangani urus niaga digital dan tunai daripada orang ramai," jelas MUIS.

PEMBAYARAN ZAKAT MELALUI KAEDAH DIGITAL

Masjid Al-Istiqamah adalah salah satu pusat pengumpulan zakat bertauliah yang dilantik MUIS bagi memudahkan orang ramai membayar zakat harta.

MUIS menjalankan audit secara kerap ke atas sistem zakat bagi memastikan prosedurnya dipatuhi sebagai sebahagian daripada pemeriksaan dalaman badan itu bagi mengukuhkan urus tadbir dan pentadbiran dana zakat.

Para jemaah yang mahu menunaikan zakat mereka boleh berbuat demikian melalui kaedah digital, iaitu menerusi kios layan diri SalamSG Pay yang terletak di masjid itu, atau secara online menerusi www.zakat.sg.

Mereka yang mahu menunaikan zakat secara tunai di kaunter pembayaran boleh berbuat demikian di masjid-masjid lain di sekitar kawasan itu, seperti di Masjid Muhajirin di Toa Payoh, Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio atau Masjid En-Naeem di Hougang.

Memandangkan hasil siasatan polis belum didedahkan, MUIS akan terus menyemak SOP sedia ada dan melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi mengetatkan dan mengukuhkan lagi sistem dan proses pembayaran, jika perlu.

Mereka yang membayar zakat juga boleh menghubungi pihak MUIS melalui emel di info [at] muis.gov.sg atau menerusi talian 6359-1199 bagi sebarang pertanyaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita