Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS beri jaminan ruang solat di masjid mencukupi semasa Ramadan; tiada solat tarawih di kolong flat, dewan serbaguna

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan solat tarawih di kolong-kolong flat dan dewan serbaguna tidak akan diadakan semasa bulan Ramadan ini.

MUIS dalam satu kenyataan pada Rabu (15 Mac) menyatakan keputusan itu dibuat setelah mendapati bahawa terdapat cukup tempat bagi para jemaah menunaikan solat tarawih di masjid-masjid.

Ia berdasarkan penilaiannya terhadap trend solat tarawih sebelum pandemik COVID-19 dan setelah solat itu disambung semula dalam tahun 2021 serta tahun lalu.

Para Februari lalu, sebagai persiapan awal, MUIS dan masjid-masjid mengeluarkan surat kepada kumpulan-kumpulan qaryah bagi memintanya menyediakan sokongan untuk mengadakan solat tarawih di 27 kolong flat HDB dan dewan serbaguna.

Surat itu diperlukan bagi tujuan pentadbiran untuk pihak qaryah menganjurkan kegiatan keagamaan di tempat-tempat sedemikian.

Bagaimanapun selepas penilaian semula, MUIS membuat kesimpulan bahawa akan ada ruang solat yang mencukupi di masjid-masjid merata negara sepanjang Ramadan ini.

Maka itu, MUIS dan masjid-masjid baru-baru ini mengeluarkan surat makluman kepada qaryah untuk memaklumkan bahawa tiada lagi keperluan bagi mengadakan solat berjemaah di kolong flat serta dewan serbaguna.

"MUIS difahamkan beberapa persiapan sudahpun dibuat oleh qaryah. Selain surat pembatalan, MUIS telah memohon maaf kepada qaryah atas kesulitan yang berlaku. MUIS serta masjid-masjid kami amat menghargai usaha qaryah dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk memenuhi keperluan agama masyarakat selain mengukuhkan usaha pendekatan kami," menurut kenyataan itu.

RUANG SELAMAT UNTUK SOLAT BERJEMAAH

MUIS menyatakan ia yakin masjid-masjid dapat menampung jumlah jemaah yang dijangkakan bagi solat Isyak dan tarawih. Ini berdasarkan kajian jumlah jemaah yang datang ke masjid untuk bersolat dalam tempoh tiga tahun lalu serta corak kehadiran jemaah pada Ramadan sebelum pandemik melanda.

"Masjid-masjid yang mempunyai permintaan tinggi sudah mengambil usaha tambahan untuk memperuntukkan lebih banyak ruang solat dalam Kawasan Solat Ditetapkan (DPA) dan juga melaksanakan sistem tempahan masjid bagi memudahkan pengurusan ruang dan jemaah,"

"Masjid-masjid kami mempunyai DPA yang disenggarakan dengan baik, direka bentuk untuk keselamatan dan keselesaan serta mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan negara. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk solat berjemaah dijalankan di tempat awam yang tidak direkabagi tujuan tersebut dan boleh menimbulkan kesulitan kepada orang lain," jelas kenyataan itu lanjut.

Menurut MUIS, masjid-masjid sudah mengambil langkah-langkah wajar untuk membolehkan jemaah menunaikan solat mereka dengan selamat dan selesa di dalam DPA.

Ia menggalak para jemaah yang tidak dapat ke masjid untuk melakukan ibadah dari keselesaan rumah sendiri bersama ahli keluarga.

MUIS menyatakan masjid-masjid akan terus memenuhi keperluan keagamaan masyarakat termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai masalah mobiliti dengan menyediakan kemudahan bebas hadangan seperti lif, tanjakan serta susur tangan.

Ini, jelasnya, akan membolehkan semua anggota masyarakat melalui pengalaman yang selesa ketika mengerjakan ibadah di masjid-masjid.

Beberapa masjid juga sudah membuat aturan untuk menyediakan pengangkutan bagi membawa para jemaah ke masjid.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan