Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS benarkan sesetengah kumpulan Qaryah dirikan solat tarawih di kolong flat, dewan serba guna

Ini hanya bagi kumpulan-kumpulan Qaryah yang tidak dapat membatalkan persiapan yang sudah dibuat atas sebab-sebab tertentu. MUIS akan mengumumkan kumpulan Qaryah mana yang dapat meneruskan rancangan masing-masing dalam masa terdekat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan membenarkan sesetengah kumpulan Qaryah untuk meneruskan rancangan mereka mengadakan solat tarawih di kolong blok atau dewan serba guna.

Ini setelah beberapa kumpulan Qaryah didapati tidak dapat membatalkan persiapan yang telah dibuat.

Mereka boleh menghubungi Pengarah Kanan Sektor Masjid, Zaini Osman bagi urusan selanjutnya.

Kumpulan-kumpulan Qaryah yang dibenarkan itu akan dikenal pasti dan dimaklumkan kepada umum dalam masa terdekat.

MUIS akur makluman yang dikeluarkan pihaknya kepada kumpulan-kumpulan Qaryah tentang solat tarawih di kolong blok terlalu dekat dengan bulan Ramadan dan menimbulkan kesulitan kepada kumpulan-kumpulan yang sudah membuat persiapan lebih awal.

MUIS mengeluarkan kenyataan pada 15 Mac lalu yang memaklumkan bahawa solat tarawih di kolong-kolong flat dan dewan serba guna tidak akan diadakan semasa bulan Ramadan ini.

Sejak itu, pihak MUIS telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pengerusi Qaryah bagi mendengar keprihatinan mereka berkenaan hal itu.

Dalam suratnya kepada semua pengerusi kumpulan Qaryah pada Ahad (19 Mac) pula, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen memohon maaf bagi pihak MUIS atas sebarang kesulitan dan kekeliruan.

Beliau juga mengatakan bahawa tiada alasan bagi kesilapan itu dan MUIS seharusnya menguruskan proses itu dengan lebih baik lagi, di samping mengeluarkan makluman tersebut pada masa yang sesuai.

Ini kerana kumpulan-kumpulan Qaryah perlu membatalkan beberapa perancangan dan menyampaikan keputusan itu kepada para jemaah.

Bagi komitmen perjanjian yang tidak dapat ditukar ganti, MUIS akan bekerjasama dengan pihak masjid untuk membayar ganti rugi kepada kumpulan-kumpulan Qaryah yang terjejas.

Encik Kadir juga menegaskan lagi peranan penting yang dimainkan para sukarelawan dan kumpulan-kumpulan Qaryah dalam menyokong kehidupan beragama masyarakat Muslim di Singapura.

Beliau juga menzahirkan penghargaannya kepada kumpulan-kumpulan Qaryah dan wakil-wakil masjid yang bertindak pantas bagi memastikan keperluan para jemaah dipenuhi.

Menurutnya lagi, dengan data tempahan slot, lebih banyak masjid popular akan lebih bersedia untuk menampung jumlah jemaah dengan selesa.

MUIS juga akan berkongsi keadaan di masjid agar para jemaah boleh memilih masjid mana yang ingin dituju bagi menunaikan solat tarawih.

Beberapa kumpulan Qaryah juga akan menyewa bas bagi membawa para jemaah ke masjid.

Encik Kadir juga berterima kasih kepada para pengerusi kumpulan Qaryah kerana bersatu dalam membuat penyesuaian pada perancangan mereka untuk bulan Ramadan.

Beliau juga berharap aturan-aturan yang disediakan pihak MUIS akan sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan yang perlu ditanggung mereka dan para jemaah.








 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan