Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS bekerjasama dengan AMTAS bagi sediakan sokongan memadai bagi jemaah Haji yang lebih berusia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 180 jemaah haji Singapura tahun ini memerlukan bantuan kerusi roda untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Jumlah itu dianggarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli sebagai lebih rendah berbanding musim haji sebelumnya.

"Jumlah jemaah yang memerlukan bantuan kerusi roda dalam musim haji 2022 berkemungkinan lebih rendah memandangkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (KSA) hanya membenarkan individu yang berusia bawah 65 tahun untuk menunaikan haji disebabkan pandemik COVID-19," kata Encik Masagos.

Encik Masagos menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal berkenaan jumlah jemaah yang memerlukan bantuan sedemikian sewaktu menunaikan ibadah haji.

Sebagai perbandingan dengan jumlah pada tahun-tahun sebelumnya, dalam jawapan bertulisnya, Encik Masagos memaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak menyimpan rekod jemaah Singapura yang memerlukan bantuan kerusi roda sebelum 2023.

Dr Wan Rizal juga bertanya tentang khidmat sokongan mobiliti dan perubatan tambahan yang bagaimanakah sedang dirancang bagi musim haji akan datang untuk memenuhi keperluan sedemikian.

Encik Masagos berkata MUIS akan bekerjasama dengan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) dan syarikat pelancongan yang dilantik MUIS bagi langkah-langkah yang diperlukan bagi memenuhi keperluan sokongan mobiliti dan perubatan jemaah sebagai persiapan untuk musim haji 2024.

Untuk tahun ini, sebanyak 19 pegawai perubatan dilantik Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) untuk mengendalikan kemudahan perubatan di lokasi sewaktu tempoh ibadah haji di Arab Saudi,

Jumlah itu merupakan yang paling banyak dengan sekitar 60 peratus jemaah Singapura tahun ini berusia 60 tahun ke atas.
"SPAO bekerja rapat dengan ejen pelancongan haji untuk bantu jemaah, lebih-lebih lagi warga emas untuk membuat janji temu klinik menerusi aplikasi PilgrimSG bagi mengurangkan masa menunggu," kata Encik Masagos.

"Bagi khidmat perubatan kecemasan, SPAO bekerjasama dengan penyedia khidmat perubatan KSA bagi keperluan perubatan dan khidmat ambulans bagi penghantaran jemaah ke hospital dengan cepat," tambah beliau.

Harga pakej haji juga kata Encik Masagos bergantung pada khidmat dan bayaran yang dikenakan penyedia khidmat haji KSA.

"MUIS akan terus memantau pakej haji dan bekerjasama dengan penyedia khidmat haji KSA dan AMTAS bagi langkah-langkah munasabah untuk kawal kos haji," kata beliau.

Menurut Encik Masagos, ejen pelancongan haji juga bertanggungjawab dalam menguruskan keselamatan dan kebajikan jemaah seperti termaktub dalam Perjanjian Pelantikan bagi Pakej Haji.

Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya membuat persiapan awal untuk laksanakan ibadah haji seperti menyertai program kesihatan.

"Contohnya program 'Get Fit For Haj' iaitu siri kegiatan yang dirancang bagi bantu bakal jemaah perbaiki tahap kesihatan mereka dan belajar lebih banyak tentang gaya hidup sihat sebagai persiapan untuk haji," jelas Encik Masagos.

Setakat ini, seramai 500 jemaah sudah meraih manfaat daripada usahasama MUIS, AMTAS, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan