Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS bakal tawar Bimbingan Pendidikan & Kerjaya buat pelajar madrasah mulai tahun depan

Mulai tahun depan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menjalankan satu inisiatif baru dipanggil Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) khusus buat para pelajar madrasah. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai tahun depan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menjalankan satu inisiatif baru dipanggil Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) khusus buat para pelajar madrasah.

ECG akan dijalankan dalam bentuk program yang diatur untuk membakar semangat murid-murid madrasah agar mereka terus mempertingkatkan diri dan mengejar aspirasi masing-masing.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mendedahkan rancangan tersebut semasa merasmikan pembukaan kampus baru Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) petang tadi (27 Nov).

"(Inisiatif) ini akan mempersiapkan murid-murid madrasah bagi kerjaya dan pembangunan diri sepanjang pengajian mereka di madrasah. Kami berharap inisiatif ini akan membuka laluan untuk mendapat peluang pekerjaan lebih baik bagi para lulusan madrasah - seperti yang digariskan dalam laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA)," kata Encik Masagos.

Encik Masagos di acara perasmian kampus baru Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. 

Menurut MUIS, ECG bakal ditawarkan kepada murid-murid Darjah 3 hingga ke para pelajar di peringkat prauniversiti. Ia akan dijalankan secara bertahap-tahap bermula tahun 2022.

MUIS KOMITED PERKUKUH SEKTOR MADRASAH

Dalam pada itu, Encik Masagos melahirkan penghargaan kepada masyarakat Melayu/Islam atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada madrasah-madrasah tempatan.

Bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah misalnya, para pelajar dapat menimba ilmu dalam kampus yang dilengkapi teknologi-teknologi canggih, berkat derma yang terkumpul daripada orang ramai.

Seluruh projek itu menelan belanja S$17.5 juta - S$12 juta bagi kos pembangunan dan lagi S$5.5 juta bagi kos tanah.

(Gambar: MUIS)

"Usaha menaik taraf madrasah-madrasah tempatan pasti tidak dapat dilakukan tanpa sokongan padu masyarakat. Saya harap masyarakat terus menyokong madrasah-madrasah kita - baik dari segi sumbangan derma, kerjasama serta sumber-sumber pembelajaran dan luar akademik," ulas Encik Masagos.

Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen memberitahu BERITAmediacorp bahawa buat masa ini, MUIS belum lagi mempunyai rancangan untuk memberi lebih banyak suntikan dana kepada madrasah-madrasah tempatan.

Sungguhpun demikian, MUIS akan terus bantu mempertingkat kurikulum sektor madrasah.

"(Sebagai contoh) untuk pembangunan tenaga pengajar madrasah, kami telah menghantar 94 peratus daripada mereka untuk mendapatkan kelayakan asas mengajar. Selebihnya adalah guru-guru baru yang akan mendapatkan kelayakan mereka tidak lama lagi," kata Encik Kadir.

MUIS antara lain juga, tambah beliau, menawarkan Program Pengurusan dan Pimpinan di Sekolah (MLS) kepada para pemimpin dan ketua jabatan madrasah-madrasah di sini.

Seramai 39 individu sudahpun mengikuti program itu sejak MUIS memperkenalkannya pada 2017.

BAGAIMANA KAMPUS BARU SEGARKAN LAGI KURIKULUM MADRASAH AL-ARABIAH?

Di acara perasmian kampus baru Madrasah Al-Arabiah hari ini (27 Nov), Anggota Parlimen GRC Bishan Toa-Payoh, Saktiandi Supaat turut diundang untuk melancarkan Galeri Warisan MAI.

Galeri itu memaparkan titik-titik bersejarah madrasah tersebut sebagai sebuah institusi pendidikan sejak awal 1930-an.

Namun lebih penting lagi adalah Madrasah Al-Arabiah hari ini berkesempatan untuk mempamerkan bagaimana kampus baru itu dapat menyegarkan lagi kurikulumnya sebagai sebuah pusat 'iSTEM' atau Islam, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Selain mempunyai makmal buat para pelajar, ada juga makmal pembelajaran buat guru-guru.

Di Makmal Pengajaran dan Pembelajaran, guru-guru boleh merakam sesi sepanjang mereka mengajar di dalam bilik darjah. Ini dapat dilakukan dengan teknologi menggunakan kamera canggih.

Ada juga sudut berasingan di dalam makmal itu, di mana pakar-pakar pendidikan dapat mengikut serta kelas mereka.

"Jadi mereka dapat mengajar dan lihat kembali bagaimana prestasi mereka. Adakah ia efektif untuk membimbing para pelajar di dalam mata pelajaran seperti ilmu-ilmu Islam ataupun Bahasa Arab?" terang mudir Madrasah Al-Arabiah, Encik Herman Cher Ma'in.

Kampus baru MAI dibuka kepada para pelajar sejak 2 Januari tahun lalu setelah kerja-kerja pembinaan berlangsung selama 20 bulan.

Perasmian kampus itu bagaimanapun terpaksa ditunda beberapa kali disebabkan pandemik COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan