MUIS bakal laksana tiga langkah perkukuh operasi korban tempatan susuli gangguan tahun ini: Dr Faishal
Khemah dan kandang-kandang kosong mengundang sentimen kurang ceria di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada Aidiladha 2026 tanpa kehadiran kambing korban. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa (7 Jul).
Ia juga sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi, mengenai usaha MUIS mengelakkan gangguan terhadap pelaksanaan ibadah korban pada masa hadapan serta pengajaran yang diraih daripada insiden tahun ini.
Memetik kandungan yang dimuat naik AP GRC East Coast, Hazlina Halim di Instagram, beliau turut mengajukan soalan berkenaan penilaian model pengurusan khidmat korban tempatan serta mutu khidmat yang perlu pengendali tempatan tepati.
PERKUKUH MODEL PENGURUSAN KORBAN TEMPATAN
Dalam jawapan bertulisnya, Dr Faishal menegaskan bahawa pemantauan terhadap kesiapsiagaan operasi pengendali korban tempatan akan diperkukuhkan.
Menurut beliau lagi, ia khususnya akan dilakukan terhadap para pengendali baharu.
"MUIS juga akan bekerjasama dengan lebih rapat dengan para pengendali korban bagi memastikan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan diperoleh mengikut tempoh ditetapkan, di samping memantau setiap peringkat penting dalam operasi korban," kata Dr Faishal.
Selain itu, Dr Faishal berkata bahawa MUIS akan memperkukuhkan lagi syarat kontrak dan operasi bagi pengendali korban.
Antara keperluan baharu yang akan diperkenalkan termasuk piawaian perkhidmatan yang lebih jelas, penyediaan pelan kontingensi serta tanggungjawab untuk menangani sebarang kekurangan sekiranya pengendali tidak dapat melaksanakan operasi korban seperti dirancang.
"Ini akan memperkukuh kebertanggungjawaban dan daya tahan operasi, selain memastikan para sohibul korban dimaklumkan dengan lebih baik serta mendapat perlindungan yang sewajarnya," ujar Dr Faishal.
Langkah terakhir yang akan dilaksanakan MUIS, menurut Dr Faishal adalah permulaan lebih awal untuk persiapan operasi korban tempatan.
Dalam jawapan bertulisnya, Dr Faishal berkata: "Pada masa ini, masjid-masjid dan penyedia khidmat korban yang terlibat dimaklumkan dua hingga tiga bulan sebelum Hari Raya Haji. MUIS akan memanjangkan tempoh persediaan itu kepada enam hingga lapan bulan bagi memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan kelulusan kawal selia serta merancang operasi dengan lebih teratur."
PANTAU KEBERKESANAN KETIGA-TIGA LANGKAH; BUAT PENAMBAHBAIKAN JIKA PERLU
Langkah-langkah tersebut akan dilaksanakan berikutan gangguan operasi korban tempatan yang dikendalikan oleh syarikat The Meat Brothers.
"MUIS telah meneliti gangguan terhadap pelaksanaan ibadah korban baru-baru ini yang berpunca daripada kegagalan The Meat Brothers memenuhi komitmennya kepada rakan industri dan Agensi Makanan Singapura (SFA)," kata Dr Faishal.
Gangguan itu menyebabkan sekitar 400 haiwan korban dari Australia tidak dapat dibawa masuk ke Singapura mengikut jadual.
LAPORAN BERKAITAN:
Menurut beliau lagi, Pemerintah komited untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan korban tempatan dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.