Skip to main content

Singapura

MUIS bakal bangunkan Pejabat Perhubungan, garis panduan gaji bantu asatizah teroka peluang kerjaya

Sejak ditubuhkan pada Mac tahun lalu oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, COFA sudah menjalankan pelbagai sesi perbincangan dan jangkauan bagi mengumpulkan saranan dan maklum balas bagi membina golongan asatizah yang lebih bermutu di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak ditubuhkan pada Mac tahun lalu oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) sudah menjalankan pelbagai sesi perbincangan dan jangkauan bagi mengumpulkan saranan dan maklum balas bagi membina golongan asatizah yang lebih bermutu di sini.

Setelah hampir setahun, Pengerusi COFA Dr Mohd Maliki Osman hari ini (24 Feb) membentangkan laporan tentang saranan-saranan yang dikumpulkan oleh jawatankuasa tersebut.

Berucap di majlis pelantikan semula Lembaga Pengiktirafan Asatizah yang dijalankan di Masjid Yusof Ishak, Dr Maliki berkata secara keseluruhannya terdapat 10 saranan yang akan direalisasikan berdasarkan daripada tiga teras utama, iaitu untuk meningkatkan taraf profesionalisme sektor Asatizah, memperkasa institusi-institusi, serta harapan untuk memupuk siswazah agama cemerlang.

PEJABAT PERHUBUNGAN AKAN DITUBUHKAN

Dr Maliki berkata peranan golongan asatizah hari ini berbeza daripada dahulu.

Sekiranya pada dahulu, peranan tradisional mereka adalah untuk memberikan bimbingan agama, hari ini golongan asatizah kata Dr Maliki turut berdepan dengan cabaran-cabaran kontemporari yang kompleks, seperti isu bersangkutan dengan sains bioperubatan dan 'internet of things' (IoT) atau rangkaian alatan dan isu penuaan penduduk.

Bagi memastikan golongan asatizah dapat membimbing masyarakat dengan sebaiknya, mereka terdahulu perlu diberikan bimbingan serta kemahiran yang mendalam terhadap isu-isu ini.

Lantaran itu, Dr Maliki berkongsi antara saranan yang dibentangkan ialah penubuhan pejabat perhubungan atau “liasion office” bagi asatizah masa depan.

Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabisyfina)

(Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

Pejabat itu kata Dr Maliki akan membolehkan asatizah meneroka peluang laluan kerjaya dan pembangunan profesional, baik dalam sektor keagamaan mahupun yang lainnya.

“Pejabat ini juga akan berfungsi sebagai pusat sumber bagi asatizah mendapatkan maklumat dan bahan rujukan dalam bidang-bidang baru dan ruang-ruang di mana para asatizah dapat menyumbang ke arah memenuhi keperluan masyarakat dan pembangunan negara. MUIS sedang mengkaji cara terbaik untuk menubuhkan pejabat ini,” tekan beliau.

PROGRAM BAKAT, PENDIDIKAN

Dalam memastikan kemahiran golongan asatizah dalam sektor pekerjaan dapat terus diberikan sokongan, Dr Maliki berkata jawatankuasa itu turut menyarankan untuk memupuk kemahiran tersebut bermula dari peringkat sekolah lagi.

Ini sekali gus bermakna, setiap pelajar madrasah tempatan di sini akan menerima program kerjaya dan pendidikan yang akan diperluaskan di bawah COFA. Tujuannya menurut Dr Maliki, adalah untuk memastikan golongan pelajar madrasah dapat membuat pilihan yang terbaik dalam laluan pendidikan mereka daripada peringkat madrasah hinggalah mereka menjadi asatizah.

Program membina bakat yang berstruktur turut akan dilakar menurut Dr Maliki. Asatizah yang memegang jawatan kepimpinan dalam institusi keagamaan misalnya, akan dapat bantuan lebih khusus menerusi program dan latihan kepimpinan.

Dr Maliki berkata beliau berharap saranan-saranan ini dapat direalisasikan bagi membina sebuah generasi “pemangkin kecermerlangan”. Namun pada masa yang sama, beliau juga menekankan perlunya asatizah mengambil kesempatan dan usaha-usaha yang telah diletakkan oleh jawatankuasa tersebut.

Bagi memastikan kerjaya profesional dapat dicapai sepenuhnya setara dengan usaha mereka dalam meningkatkan kemahiran-kemahiran, jawatankuasa itu turut membentangkan garis panduan bagi gaji serta peningkatan faedah bagi asatizah di dalam institusi-institusi utama termasuk madrasah dan masjid.

Secara keseluruhannya daripada bulan Oktober tahun lalu hingga Mac tahun ini, COFA sudah menjangkaui 1,900 golongan berkepentingan menerusi pelbagai saluran dan platform termasuk golongan mahasiswa yang sedang memburu sarjana muda dalam Pengajian Islam, wakil-wakil daripada organisasi Islam, golongan asatizah serta pemimpin masyarakat yang muda, wakil daripada masjid serta para pelajar madrasah.

Perbincangan juga dijalankan oleh para pakar dalam isu ini termasuk asatizah mapan, golongan akademik, karyawan dan pemimpin silang agama.  

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita