Skip to main content

Singapura

MUIS akan teruskan usaha bantu masyarakat nilai kandungan agama dalam ruang digital: Zaqy

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus menyediakan panduan menerusi media sosial dan rangkaian rakan masyarakat untuk membantu masyarakat Islam menilai dan memahami kandungan agama dalam ruang digital dengan lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Sep 2026 07:57PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:39PM
MUIS will continue efforts to help the community assess religious content in the digital space: Zaqy
  • MUIS will continue to provide religious guidance through social media and community partners to help the Muslim community assess digital information, especially on generative AI.
  • Asatizah are being equipped through training on generative AI and digital tools so that they can understand and explain this technology to the community.
  • MUIS is looking at ways to expand access to religious information, including by upgrading the MuslimSG platform to make it more interactive and accessible.
  • A proposal to set up a unit to monitor religious information on the internet was discussed, but MUIS stressed the need to empower the community to identify the risks of misinformation and external influences.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus menyediakan panduan menerusi media sosial dan rangkaian rakan masyarakat untuk membantu masyarakat Islam menilai dan memahami kandungan agama dalam ruang digital dengan lebih baik.

Ini sedang maklumat dan panduan agama semakin mudah diperoleh menerusi Kecerdasan Buatan (AI) generatif dan sumber online.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad memberi jaminan tersebut semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat di Parlimen pada Rabu (9 Sep).

Encik Saktiandi bertanya sama ada MUIS akan menyediakan panduan bagi masyarakat Islam yang menggunakan AI generatif dan sumber online untuk mendapatkan jawapan berkaitan agama.

"AI generatif dan platform online sememangnya boleh melengkapi pembelajaran agama dengan menjadikan maklumat dan ilmu lebih mudah diakses," akur Encik Zaqy.

"Namun, ia tidak seharusnya dijadikan sumber utama bagi pengajaran atau panduan agama, terutama dalam perkara agama yang rumit dan memerlukan tafsiran ilmiah serta pemahaman mengikut konteks," tegasnya lagi.

Perkara ini, kata Encik Zaqy, sering disampaikan MUIS menerusi khutbah Jumaat, ceramah awam dan platform MuslimSG.

Usaha tersebut akan diperluas menerusi media sosial dan rangkaian rakan masyarakat.

ASATIZAH DILENGKAPI PENGETAHUAN AI GENERATIF

Encik Saktiandi kemudian bertanya sama ada saluran sedia ada boleh diperkukuh supaya orang ramai dapat mengemukakan jawapan yang dijana AI untuk disemak asatizah bertauliah dan menerima respons dengan segera.

Ini terutama sekali bagi persoalan agama yang boleh mempengaruhi keputusan penting berkaitan keluarga atau hal peribadi.

Menjawab soalan itu, Encik Zaqy mengakui masih ada ruang untuk memperluas akses masyarakat kepada maklumat dan asatizah.

Justeru, MUIS sedang meninjau cara untuk memudahkan lagi masyarakat mendapatkan maklumat dan mengakses asatizah.

Pada masa sama, MUIS sedang memperkasa asatizah dengan pengetahuan mengenai AI generatif dan alat digital baharu supaya mereka lebih memahami kesan dan penggunaan teknologi tersebut serta dapat menerangkannya kepada masyarakat.

"Kami sememangnya memberi perhatian rapat kepada AI generatif. Jadi, kami sedang mendidik dan meningkatkan keupayaan ramai asatizah kami supaya lebih arif tentang AI generatif dan alat digital baharu," kongsi Encik Zaqy.

"Sebahagian daripada mereka sudah menjalani latihan untuk lebih memahami kesannya atau cara menggunakan AI dengan lebih baik kerana akhirnya, mereka perlu menerangkannya."

Encik Zaqy turut berkongsi MUIS sedang meninjau usaha menaik taraf MuslimSG.

"Saya fikir ini satu bidang yang mungkin pada masa akan datang, apabila kami menaik taraf MuslimSG, kami boleh menjadikannya lebih interaktif dan lebih mudah diakses masyarakat," katanya.

Perhatian turut diberikan kepada usaha mendekati golongan muda yang mungkin terdedah kepada ancaman atau risiko radikalisasi dan ajaran palsu.

Ini termasuk pengaruh ajaran atau pandangan daripada ulama dan mufti luar negara, yang menurut Encik Zaqy perlu difahami berdasarkan konteks Singapura.

UNIT BAHARU DALAM MUIS?

AP GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah pula bertanya sama ada MUIS boleh menubuhkan sebuah unit

untuk meneliti kandungan di Internet dan mengenal pasti maklumat agama yang salah sebelum ia tersebar luas dalam masyarakat.

Namun menurut Encik Zaqy, perkara itu sukar dilakukan kerana maklumat yang dijana AI selalunya tidak datang daripada satu sumber sahaja.

"Ini bukan semata-mata tentang mengawal dari mana datangnya maklumat itu. Yang penting ialah memperkasa masyarakat dengan keupayaan mengenal pasti risikonya, termasuk membantu ibu bapa memahami risiko yang mungkin dihadapi anak-anak mereka," jawab Encik Zaqy.

"Dan dalam konteks yang lebih luas, persoalannya ialah bagaimana kita dapat membantu rakyat Singapura, terutama masyarakat Islam Singapura, memahami pelbagai ajaran dari luar berdasarkan konteks masyarakat kita sendiri yang berbilang kaum dan agama," tambahnya.

Menggulung jawapannya, Encik Zaqy berkata cabaran tersebut perlu ditangani dari pelbagai sudut dan MUIS akan terus bekerjasama dengan masyarakat dalam usaha itu.

Sumber : CNA/HD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita