MUIS akan terus rancang, bangunkan masjid untuk penuhi keperluan solat umat Islam SG: Dr Faishal
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus merancang dan membangunkan masjid bagi memenuhi keperluan solat umat Islam Singapura.
Demikian jawapan bertulis Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim kepada pertanyaan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) GRC Aljunied, Fadli Fawzi pada Isnin (12 Jan).
Beliau meminta penjelasan tentang keputusan untuk tidak mengekalkan Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang.
MASJID DI TENGAH BERI PERKHIDMATAN LEBIH BAIK KEPADA MASYARAKAT ISLAM KAWASAN ITU, SERTA DI BUKIT BATOK, CHOA CHU KANG
Masjid baharu di Tengah itu, kata Dr Faishal, akan dibangunkan di lokasi dengan rangkaian pengangkutan awam yang lebih baik lagi.
Ia sekali gus memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat Islam di kawasan tersebut, serta di Bukit Batok dan Choa Chu Kang.
Menurut Dr Faishal lagi, masjid itu juga akan mempunyai kapasiti yang lebih besar serta kemudahan yang dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan masa depan.
"Untuk memastikan masyarakat mempunyai ruang yang mencukupi, Masjid Al-Firdaus akan terus beroperasi di lokasinya sekarang sehingga masjid baharu itu siap pada awal tahun 2030-an," menurut Dr Faishal.
Beliau juga menarik perhatian bahawa Masjid Al-Firdaus sedang beroperasi di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA).
MUIS AKAN BEKERJASAMA DENGAN JAWATANKUASA MASJID PELIHARA WARISAN
Dalam pada itu, Dr Faishal menerangkan bahawa MUIS akan bekerjasama dengan jawatankuasa masjid mengenai rancangan-rancangan untuk memelihara warisan masjid itu.
"MUIS akan bekerjasama dengan jawatankuasa masjid berhubung rancangan-rancangan untuk memelihara warisan Masjid Al-Firdaus, seperti mendokumentasikan sejarahnya dan meneruskan tradisinya di masjid baharu itu. Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi relevan dan pihak-pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan keagamaan masyarakat," ujar Dr Faishal.
Dr Faishal menerangkan perkara itu selepas AP WP GRC Sengkang, Abdul Muhaimin Abdul Malik bertanya bagaimana warisan masjid itu serta peranannya dalam masyarakat akan dipelihara secara bermakna menjangkaui sekadar mengekalkan namanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.