Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS akan terus berusaha singkatkan tempoh daftar solat Jumaat; Maulid Nabi akan dianjur secara fizikal, kata Masagos

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang berusaha untuk menyingkatkan lagi tempoh pendaftaran bagi solat Jumaat.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS akan terus berusaha singkatkan tempoh daftar solat Jumaat; Maulid Nabi akan dianjur secara fizikal, kata Masagos

Para jemaah mengerjakan solat Jumaat di Masjid Mujahidin pada 28 Ogos 2020. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang berusaha untuk menyingkatkan lagi tempoh pendaftaran bagi solat Jumaat.

Buat masa ini, para jemaah mungkin perlu menunggu selama tujuh minggu sebelum dapat mengerjakan solat Jumaat.

Apabila tempoh pendaftaran disingkatkan kelak, para jemaah boleh membuat pendaftaran setiap empat atau lima minggu.

Perkembangan ini dikongsi oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam catatan Facebooknya pada Rabu (7 Okt).

Menurut Encik Masagos, jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat yang rendah sejak kebelakangan ini membawa berita yang memberangsangkan kepada Singapura.

Perkembangan itu juga diiringi dengan penyambungan semula sesetengah kegiatan dan kelonggaran terhadap beberapa sekatan COVID-19 yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Dalam pada itu, lebih banyak ruang solat disediakan di 19 masjid merata Singapura mulai Rabu (7 Okt).

Langkah itu, menurut Encik Masagos, memudahkan para pekerja seperti pemandu teksi untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid.

"Berkat usaha murni dan kerjasama semua, kini kita dapat menyediakan lebih banyak lagi ruang terutama sekali bagi para pekerja yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti pemandu teksi," tulis Encik Masagos.

SAMBUTAN MAULID NABI

Selain itu, kata Encik Masagos, sambutan Maulid Nabi juga akan dianjurkan secara fizikal di masjid-masjid pada hujung Oktober ini meskipun jumlah hadirin dihadkan.

Sebelum mengakhiri catatannya, Encik Masagos turut meluahkan penghargaan kepada MUIS, kakitangan masjid dan para jemaah yang mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan.

Hasil kerjasama itu, beberapa khidmat masjid yang digantung sebelum ini dapat disambung semula seperti kelas madrasah aLIVE, majlis pernikahan dan sesi kaunseling bertemu muka Bersamamu.

Beliau sekali lagi menyeru kepada masyarakat supaya terus berwaspada meskipun keadaan semakin bertambah baik.

"Walaupun keadaan semakin beransur pulih, kita tidak boleh lalai. Malah kita harus terus berwaspada demi kemaslahatan negara kita dalam jangka masa panjang," tulis Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan