Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS akan semak kurikulum madrasah sekolah rendah dan bantu golongan 'lebih memerlukan'

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli menggariskan bidang-bidang fokus utama yang akan dilaksanakan MUIS di bawah Pelan Kerja MUIS bagi tahun 2019 hingga 2021.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli menggariskan bidang-bidang fokus utama yang akan dilaksanakan MUIS di bawah Pelan Kerja MUIS bagi tahun 2019 hingga 2021.

Membentang Pelan Kerja MUIS siang tadi (30 Mac), Encik Masagos berkongsi bahawa empat fokus utama institusi tersebut termasuklah memperkukuh sokongan kepada golongan asatizah, institusi keagamaan dan perpaduan sosial.

Bagi sektor institusi keagamaan, misalnya, MUIS akan menjalankan beberapa semakan dan inisiatif baru, seperti memperkukuh sektor madrasah.

Antaranya termasuk semakan terhadap kurikulum madrasah bagi peringkat sekolah rendah yang bertumpukan kepada subjek-subjek ukhrawi.

Difahamkan bahawa kali terakhir semakan terhadap kurikulum madrasah sekolah rendah dijalankan oleh MUIS adalah lebih 10 tahun lalu. Semakan terbaru itu dijangka siap pada 2025 nanti.

Menurut MUIS, antara tujuan utama terhadap semakan kurikulum itu termasuk memastikan golongan pelajar madrasah di peringkat rendah mempunyai asas yang kukuh dalam pendidikan agama di sini, yang mengambil kira keunikan konteks Singapura.

Madrasah Alsagoff Al Arabiah. (Gambar: Alsagoff Arab School (Official FB)/Facebook)

Semakan kurikulum itu akan disertai empat madrasah sepenuh masa yang menawarkan pendidikan sekolah rendah iaitu Madrasah Irsyad Zuhri, Madrasah Wak Tanjong, Madrasah Al-Ma'arif dan Madrasah Alsagoff.

Ini merupakan semakan terkini terhadap sektor madrasah setelah semakan pendidikan madrasah peringkat menengah tahun lalu, dan kurikulum madrasah peringkat prauniversiti yang dijangka selesai akhir tahun ini.

"Usaha MUIS untuk membangunkan asatizah masa depan yang terbaik sudahpun bermula dari peringkat madrasah setempat yang diberikan sokongan dari segi pembiayaan, pembaikan dan peningkatan kurikulum serta latihan dan pembangunan para guru," kata Encik Masagos.

TIDAK WAJIB ATAS MADRASAH BUKAN JMS

Memberikan perincian lanjut, MUIS menyatakan kurikulum tersebut sebenarnya tidak wajib untuk diikuti oleh madrasah-madrasah bukan JMS yang turut menyediakan pembelajaran di peringkat rendah.

Namun sejauh ini menurut MUIS, semua dari madrasah tersebut sudahpun bersetuju untuk ikut serta dalam semakan itu.

MUIS menambah, semakan kurikulum itu dijalankan setelah melalui proses semakan bagi fasa pertama bagi pembelajaran peringkat menengah.

GOLONGAN "LEBIH MEMERLUKAN"

Fokus lain dalam perlaksanaan Pelan Kerja 2019 termasuklah menjana lebih banyak sokongan bagi golongan yang disifatkan sebagai "lebih memerlukan" dalam masyarakat.

Golongan "lebih memerlukan" ini merujuk kepada kelompok dalam masyarakat yang terkadangnya tidak tampil ke hadapan bagi meminta bantuan.

Memberikan perincian lanjut, MUIS menyatakan ia akan memberi lebih banyak perhatian kepada empat segmen masyarakat dalam tiga tahun mendatang
iaitu golongan berpendapatan rendah, golongan yang dipenjarakan dan keluarga mereka, golongan belia serta golongan warga tua.

MUIS menambah, ia akan memberikan sokongan jagaan dalam penjara dan jagaan selepas dibebaskan yang lebih kukuh, bagi golongan yang berada di penjara dan keluarga mereka. MUIS akan bekerjasama Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam program ini dan perinciannya akan diumumkan nanti.

PERANAN MASJID DIPERLUASKAN, BERDAYAKAN RELAWAN

Bagi membantu cabaran penduduk Singapura yang semakin menua pula, MUIS akan mengkaji pelbagai keperluan sosio agama golongan warga emas dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan, serta keperluan-keperluan mereka yang kurang ditawarkan (underserved).

Bidang-bidang yang dianggap berpotensi termasuklah mewujudkan perisian agama yang dicipta khas untuk mereka dan pendidikan tentang perancangan harta serta memanfaatkan sumber-sumber warga tua.

"Misalnya, kita akur bahawa warga emas mempunyai pengalaman yang luas kemahiran yang mendalam dan masih mampu menyumbang kepada masyarakat.

"Dari itu MUIS akan berusaha menggembleng potensi warga emas kita. Ramai daripada mereka sudahpun tampil menjadi pendamping di bawah Skim Pendamping Masjid untuk memberi sokongan sosial kepada pemerina zakat," tambah Encik Masagos.

Untuk melaksanakan gagasan tersebut, antara yang perlu dilakukan termasuklah memperluaskan peranan masjid-masjid di sini dengan memperkasa golongan relawan agar dapat menjangkaui keluarga-keluarga sedemikian.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian M³, MUIS akan menjalankan usaha-usaha sosial menerusi estet-estet bandar di bawah inisiatif M³@Bandar.

Sejauh ini, MUIS sudahpun membangunkan sebuah Unit Penglibatan Masyarakat bagi menyokong usahasama M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan