MUIS akan sediakan peluang latihan penyelidikan bagi asatizah, tubuhkan portal rujukan Islam
Tidak lama lagi, masyarakat Islam setempat boleh merujuk kepada repositori online baru oleh MUIS bagi isu-isu berkenaan agama dan masyarakat.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan membangunkan sebuah portal rujukan baru menjelang hujung tahun ini.
Portal atau repositori online itu akan mengandungi bahan-bahan rujukan Islam dan sains sosial yang meliputi isu-isu baru berkaitan dengan tadbir urus, masyarakat, sains dan teknologi.
Inisiatif baru itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Isnin (6 Mac).
Encik Masagos berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha MUIS dalam membina gedung-gedung ilmu untuk memperkasa golongan asatizah.
"Repositori ini akan membantu asatizah kita memberikan bimbingan agama dengan penuh yakin dan dapat menangani cabaran-cabaran kontemporari dalam masyarakat," kata beliau.
Ini juga kata Encik Masagos, satu cara asatizah boleh menyumbang kepada negara.
Dalam pembentangannya, Encik Masagos juga mengumumkan bahawa MUIS akan menyediakan golongan asatizah tempatan dengan peluang-peluang latihan dalam metodologi penyelidikan dan penggambaran data.
Ini di samping menerima bimbingan daripada para pakar akademik tempatan dan antarabangsa.
Usaha tersebut merupakan tambahan kepada Program Kajian bagi Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang dibangunkan pada 2021.
Ia adalah sebahagian daripada usaha MUIS bagi memajukan kepimpinan pemikiran berkaitan perihal agama untuk masa depan.
Di bawah RPCS, beberapa seminar dan perbincangan meja bundar bagi membincangkan isu-isu sosioagama telah diadakan.
Setakat ini, MUIS mempunyai empat zamil penyelidik RPCS yang menumpukan terhadap isu-isu halal, masyarakat, keluarga dan fatwa.
Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Fathurrahman Dawoed.
"Beliau mengkaji faktor-faktor yang menyumbang kepada amalan yang terlalu bergantung kepada pensijilan halal," kata Encik Masagos.
"Hasil penyelidikannya membantu asatizah kita membimbing masyarakat untuk memelihara ruang bersama. Ini memudahkan interaksi sosial dan menyemai kepercayaan antara kumpulan berbilang agama, tanpa menjejas prinsip-prinsip agama kita," tambah beliau.
Sokongan kepada para zamil penyelidik RPCS itu diharap dapat membangunkan barisan ulama dan pemimpin agama Singapura pada masa hadapan.
Encik Masagos juga berkongsi bahawa usaha membangunkan gedung-gedung ilmu agama itu telah menarik minat institusi-institusi agama luar negara.
"Semasa kunjungan saya ke Mesir baru-baru ini, Universiti Al-Azhar dan Dar Al-Ifta telah melahirkan sokongan mereka terhadap usaha Singapura. Mereka juga melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan MUIS bagi membangunkan gedung-gedung ilmu ini," ujarnya.
Dalam peranan yang dimainkan para pemimpin agama dalam membimbing masyarakat, Encik Masagos menarik perhatian kepada penganjuran Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada September 2022.
Usaha itu kata beliau berupaya menghasilkan sesuatu yang boleh diteladani masyarakat Islam minoriti lain.
Encik Masagos menjelaskan, "(ICCOS) memperkasa bukan hanya masyarakat Islam di Singapura tetapi masyarakat Islam minoriti lain untuk hidup sebagai warga dan Muslim contoh dalam masyarakat majmuk. ICCOS menawarkan model bagaimana kita, sebagai masyarakat Islam minoriti, boleh menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran negara."
Beliau juga berkata usaha-usaha dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas lagi turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ini termasuk Anugerah Al-Qarafi yang diterima Jawatankuasa Fatwa tahun lalu yang mengiktiraf kepimpinan utuh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan jawatankuasa tersebut dalam memberi panduan kepada masyarakat dalam bermacam-macam isu kontemporari semasa pandemik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.