MUIS akan perkenal Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS)
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memperkenalkan sebuah program kajian baru yang akan menjadi wadah untuk menghasilkan serta mengembangkan lagi para pemikir, sarjana dan pemimpin agama Islam di Singapura.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memperkenalkan sebuah program kajian baru yang akan menjadi wadah untuk menghasilkan serta mengembangkan lagi para pemikir, sarjana dan pemimpin agama Islam di Singapura.
Dipanggil Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Cemerlang (RPCS), wadah itu juga akan membimbing masyarakat Islam tempatan mengenai isu-isu kontemporari yang penting bagi jangka panjang.
Inisiatif baru itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, semasa berucap di Seminar Pra-Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) hari ini (15 Jun), yang dihadiri 260 peserta.
RPCS juga mahu membangunkan dan mencipta kelompok ilmu-ilmu baru yang khusus menangani keperluan-keperluan dan cabaran-cabaran masyarakat Muslim yang tinggal di negara-negara sekular atau negara maju.
Menurut laman MUIS, mereka yang layak menyertai program kajian itu sebagai zamil adalah asatizah yang mempunyai sekurang-kurangnya ijazah Sarjana, atau asatizah yang mempunyai pengalaman luas yang khusus mengenai sesuatu bidang.
Tiga tumpuan utama yang akan diteroka kajian RPCS itu termasuklah dalam bidang tadbir urus, sosial pembangunan serta sains dan teknologi. Mereka yang diterima menjadi zamil dalam program itu akan mendapat sokongan kewangan dan sokongan institusi antara 3 bulan hingga 12 bulan.
Mengulas lebih lanjut mengenai RPCS, Encik Masagos berkata: "Program itu akan... membangunkan bimbingan berkonteks yang berakarkan tradisi-tradisi Islam yang kaya, pelbagai dan kompleks bagi masyarakat sedemikian.

(Gambar: Petikan skrin Masagos Zulkifli di seminar pra-ICCOS)
"Menerusi proses itu kita mula membina kelompok pengetahuan dan apabila lebih sempurna nanti kami berharap ia akan mencetuskan kesedaran semula terhadap Islam sebagai sebuah aset untuk Muslim maju, menyumbang dan hidup dengan yakin sebagai minoriti di negara masing-masing."
Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Menteri Kedua Kesihatan mengajak semua orang agar menyatukan kekuatan, bakat dan kebolehan supaya saling bekerjasama untuk mencapai visi Masyarakat-Masyarakat Muslim Gemilang.
Seminar pra-ICCOS yang dijalankan secara online itu turut disertai para ulama dan sarjana dari Australia, Bosnia Herzegovina dan Brunei, selain dari Singapura sendiri.
ICCOS dijangka dianjurkan tahun depan bagi memperluaskan ilmu, menimba perspektif dan mempelajari model-model kejayaan masyarakat minoriti muslim berjaya di negara lain.
BERDEPAN CABARAN DUNIA KONTEMPORARI
Dalam masa pandemik COVID-19 ini, sebilangan besar masyarakat muslim tempatan terpaksa menunaikan solat di rumah, manakala orang ramai pula terpaksa mendakapi platform digital bagi pembelajaran agama.
Malah masyarakat minoriti muslim di negara-negara terbuka, moden dan sekular turut berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kontemporari.
"Saya yakin kita boleh, dan sudah menjadikan pandemik ini sumber daya ketahanan dan kekuatan masyarakat-masyarakat kita.
"Bagaimanapun kita juga mahu mempelajari bagaimana masyarakat-masyarakat lain berdepan dengan pandemik ini, terutama sekali bagaimana ulama-ulama agama memberi panduan kepada masyarakat mereka sebagai respons kepada isu-isu yang tidak pernah berlaku daripada pandemik ini," kata beliau dalam ucapannya itu.
Ini memandangkan pengetahuan terkumpul bagi membantu masyarakat minoriti muslim menangani cabaran unik mereka "tidak mencukupi dan tidak terurus", jelas beliau.
"Jika kita dapat ilmu terkumpul (body of knowledge) yang betul, masyarakat minoriti muslim mempunyai rujukan kepada prinsip relevan dan bernas untuk sama-sama menyertai rakan senegara mereka, dengan yakin dan bermakna.
"Di mana rakyat-rakyat tidak kira kaum mahupun agama bekerjasama bagi menyumbang ke arah kebaikan bersama.
"Di mana institusi-institusi agama muslim kukuh dan berkebolehan dan dilihat sebagai aset dan bukan tanggungjawab kepada negara,
"Kita perlukan badan ilmu ini bagi membina Masyarakat Gemilang dalam kalangan masyarakat minoriti kita," tekan Encik Masagos.
Pengalaman semasa pandemik ini ujar beliau lagimesti dimanfaatkan dan dibangunkan bagi membantu masyarakat menghadapi cabaran-cabaran dan menggalak masyarakat muslim ke arah wawasan menyeluruh bagi kejayaan.
Ini terutama sekali relevan kepada Singapura, dalam konteks masyarakat minoriti muslim sebagai rakyat dalam negara terbuka, moden, progresif dan sekular.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.