Skip to main content

Singapura

MUIS akan lantik empat penasihat bagi sediakan bimbingan agama, jadi mentor bagi pegawai masjid

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Oct 2026 06:01PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 01:59AM
MUIS to appoint four advisers to provide religious guidance and mentor mosque officers
  • On Oct 10, Acting Minister Zaqy Mohamad announced three MUIS initiatives to strengthen mosques’ support for the Singapore community.
  • Four District Advisers from the Office of the Mufti will connect the Office of the Mufti with 72 mosques in the western, northern, eastern and southern districts, and guide MROs without taking over their duties.
  • MUIS is also developing a framework to train asatizah to identify emotional and spiritual needs earlier, while working with PPIS and continuing family support at several mosques.
  • Through Qaryah 2.0, QaryahKITA and Qaryah Emas, mosques will reach out to families in rental flats, neighbourhoods and seniors through home visits and local activities, so that help reaches those who find it difficult to attend mosques.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melantik empat orang Penasihat Daerah Pejabat Mufti (DOMA) untuk menyediakan bimbingan agama yang boleh dipercayai dan menjadi mentor kepada para Pegawai Agama Masjid (MRO).

Mereka akan berkhidmat di empat daerah masjid iaitu di bahagian barat, utara, timur dan selatan negara.

72 masjid di Singapura dibahagi-bahagikan mengikut empat daerah tersebut.

DOMA JADI JAMBATAN ANTARA PEJABAT MUFTI – MASYARAKAT

Ini antara tiga inisiatif baharu yang diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad di acara Dialog Awam Sektor Satu Masjid pada Sabtu (10 Okt).

“Pertama, (membawa) panduan agama lebih dekat di lapangan. Apabila anak muda ajukan soalan rumit, mereka tidak patut perlu tunggu lama atau tanya kepada orang yang tidak dikenali secara online. Kami akan lantik Penasihat Daerah Pejabat Mufti sebagai jambatan antara Pejabat Mufti dengan masjid-masjid kita di empat daerah. Mereka akan sediakan panduan yang sesuai dengan konteks tempatan kita dan menjadi mentor kepada para MRO supaya bimbingan yang boleh dipercayai dan pakar lebih dekat (dengan kita) bila diperlukan,” kata Encik Zaqy dalam ucapannya.

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad di acara Dialog Awam Sektor Satu Masjid. (Gambar: MUIS)

Penolong Pengarah, Unit Pengisian dan Bimbingan Agama, MUIS, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed berkata DOMA akan membimbing MRO serta membantu mereka menangani persoalan agama yang semakin rumit.

"DOMA bukan bertujuan untuk menggantikan peranan MRO, sebaliknya untuk memperkukuh dan memperkasakan mereka," katanya.

"Sebagai asatizah yang berpengalaman, DOMA akan membimbing para MRO, membantu mereka menangani persoalan agama yang semakin kompleks serta menghubungkan mereka dengan kepakaran dan sumber
rujukan agama yang lebih luas di MUIS," kata beliau.

Dengan ini, Masyarakat juga boleh menjangkakan sokongan yang lebih tersusun daripada MRO, selain bimbingan agama yang lebih selaras dan sesuai dengan konteks tempatan.

SOKONGAN KEROHANIAN DAN KELUARGA

Selain itu, MUIS juga kini membangunkan sebuah Rangka Kerja Penjagaan dan Bimbingan Kerohanian Islam yang berstruktur.

Di bawah rangka kerja tersebut, para asatizah akan dilengkapi dengan kemahiran untuk mengenal pasti keperluan kerohanian dan emosi masyarakat dengan lebih awal.

Ini supaya mereka dapat memberi sokongan kepada para jemaah yang sedang berduka, tertekan atau menghadapi masalah keluarga, selain merujuk mereka kepada bantuan yang sesuai.

Related article image
Rangkaian Qaryah akan dimanfaatkan untuk membawa masjid lebih dekat kepada golongan yang menghadapi kesukaran untuk datang ke masjid secara fizikal. (Gambar: MUIS)

“Kadangkala masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar hukum agama. Mereka berduka, atau ada anggota keluarga yang bersedih atau rasa tertekan. Kadang-kadang asatizah kita menjadi orang pertama mereka dapatkan bantuan dan mereka boleh jadi pihak yang sentiasa ada dalam waktu mencabar itu untuk mendengar, berdoa bersama. Menerusi Rangka Kerja Penjagaan dan Bimbingan Kerohanian Islam, kami akan lengkapi para asatizah kita dengan mengenal pasti keperluan-keperluan sebegini dengan lebih awal lagi,” kata Encik Zaqy.

Ini akan mengukuhkan lagi usaha MUIS sebelum ini menerusi Pegawai Pembangunan Keluarga yang ditempatkan di Masjid Al-Khair, Masjid An-Nur, Masjid Al-Falah dan Masjid Darul Ghufran bagi membantu pasangan, ibu bapa dan keluarga mendapatkan sokongan bila diperlukan.

Dalam pada itu, MUIS juga bekerjasama dengan PPIS bagi mengkaji dan memahami lebih baik lagi bagaimana masjid boleh menyokong keperluan masyarakat, khususnya golongan warga emas, keluarga dan belia.

MASJID 'TURUN PADANG' MENERUSI QARYAH

Bagi mengeratkan lagi hubungan antara masjid dengan masyarakat, rangkaian Qaryah akan dimanfaatkan untuk membawa masjid lebih dekat kepada golongan yang menghadapi kesukaran untuk datang ke masjid secara fizikal.

Rangkaian Qaryah 2.0 memberi tumpuan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada sokongan termasuk penduduk di rumah sewa.

Rangkaian QaryahKITA pula mendekatkan kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan kepada penduduk di kawasan kejiranan yang lebih luas, manakala Qaryah Emas memberi perhatian kepada warga emas yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke masjid secara kerap.

Related article image
Pegawai Pembangunan Keluarga akan ditempatkan di Masjid Al-Khair, Masjid An-Nur, Masjid Al-Falah dan Masjid Darul Ghufran. (Gambar: Hidir Ezat)

Timbalan Pengurus Masjid Assyakirin, Ustaz Ahmadusshafa Zainudin berkata usaha itu bukan sekadar menganjurkan program tetapi membina hubungan yang berpanjangan dengan penduduk.

"Melalui ziarah dari rumah ke rumah dan perbualan secara bersemuka, kakitangan masjid serta para sukarelawan dapat mengenali penduduk dengan lebih dekat, memahami keadaan mereka dan menghubungkan mereka kepada bantuan yang bersesuaian."

"Kami mahu setiap penduduk tahu bahawa walaupun mereka tidak dapat datang ke masjid, masjid tidak pernah melupakan mereka. Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga tempat masyarakat mendapatkan sokongan, menjalin hubungan dan saling membantu dalam mengharungi pelbagai fasa kehidupan," Ustaz Ahmadusshafa.

Menerusi pendekatan itu, masjid akan lebih memahami keadaan keluarga yang mungkin memerlukan bantuan kewangan tetapi belum memohon zakat, serta warga emas yang tidak lagi mampu ke masjid seperti dahulu.

Di Daerah Barat, Qaryah 2.0 misalnya mendekati keluarga di estet rumah sewa menerusi pembelajaran agama dari rumah.

Masyarakat boleh menjangkakan lebih banyak usaha turun padang dan kegiatan di kawasan kejiranan, di samping langkah keselamatan yang diperkukuh bagi memastikan masjid kekal terbuka, mesra dan selamat.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita