Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS akan kukuhkan ekosistem asatizah, bentuk kehidupan beragama & manfaatkan aset masyarakat dalam Pelan Kerja baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Membentuk kehidupan beragama dengan nilai-nilai Identiti Muslim Singapura (SMI), membangunkan ekosistem asatizah serta menggembleng sumber bagi membiayai pembangunan sosio-agama
masyarakat.

Demikian antara teras utama pelan kerja Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang ketujuh iaitu bagi tahun 2022 hingga 2024 yang diumumkan semasa Seminar Pelan Kerja MUIS pagi tadi (28 Mei).

Selain itu, MUIS juga akan memberi tumpuan kepada dua teras dalaman bagi membangun dan mengukuhkan keupayaan dalaman pertubuhan itu.

Dua teras strategik itu termasuk mendorong perubahan positif menerusi sesi-sesi pendampingan dan kerjasama serta melanjutkan transformasi dan memperkukuhkan tadbir urus.

Ini sejajar dengan tiga prinsip utama yang membentuk Pelan Kerja Tiga Tahun MUIS (7M3YP) iaitu tadbir urus, pendampingan dan transformasi.

Bagi tadbir urus, MUIS menekankan pentingnya untuk mendukung piawaian yang tinggi dalam hal tadbir urus, kebertanggungjawapan dan profesionalisme pentadbiran.

Di bawah prinsip kedua iaitu pendampingan pula, MUIS akan mempertingkatkan keterlibatan dan perbincangan tentang isu-isu 'hangat' dan cabaran sosial yang rumit.

Selain itu, MUIS juga akan mempercepatkan proses pendigitalan serta kepimpinan yang berpandangan ke hadapan untuk menyokong masyarakat, asatizah, institusi agama dan kumpulan yang kurang diberikan sokongan.
(Gambar: Hakim Irwan)
MEMBENTUK KEHIDUPAN BERAGAMA DENGAN NILAI-NILAI IDENTITI MUSLIM S'PURA

Untuk memperkasa masyarakat dengan bimbingan agama yang progresif, MUIS akan menumpukan kepada tiga projek teras iaitu inisiatif-inisiatif masyarakat gemilang, bimbingan dan kepimpinan pemikiran agama serta pendidikan awam dan pembelajaran agama masyarakat.

Antara inisiatif tersebut termasuk Gerakan SalamSG dan Persidangan Antarabangsa bagi Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang akan diadakan pada September tahun ini.

Dalam ucapannya, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata: "Dengan tema 'Warga yang Menyumbang, Institusi Dinamik' persidangan itu akan menyediakan platform untuk cendekiawan agama, pegawai rasmi negara dan pemimpin masyarakat dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu semasa dan akan datang yang memberi kesan kepada kehidupan sosio-agama masyarakat di sini."

Encik Masagos juga berkata bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura perlu mempunyai ilmu dan daya kecekapan untuk menangani isu-isu sosial yang kian menjadi lebih rumit dan mencabar di peringkat nasional dan global.

"Misalnya, kita dapat lihat reaksi masyarakat mengenai pengumuman sambutan Syawal tahun ini yang berlainan dengan negara-negara lain. MUIS dengan cepat memberikan penjelasan mengikut data untuk membantu masyarakat lebih memahami pertimbangan yang diambil di sebalik pengumuman tersebut," kata Encik Masagos.

"Secara amnya, masyarakat bertindak balas kepada pengumuman tersebut dengan rahmah, hormat dan dengan cara yang membina," tambah beliau.

Menurut Encik Masagos, contoh tersebut menunjukkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap MUIS dan kepimpinan agamanya.
(Gambar: Hakim Irwan)
Kejadian itu juga kata beliau, menggambarkan visi Identiti Muslim Singapura (SMI) yang menjadikan masyarakat Muslim tempatan lebih progresif, inklusif dan bersesuaian dengan konteks kehidupan di Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Nilai-nilai sebegitu kata Encik Masagos adalah antara sebab mengapa masyarakat Muslim Singapura dianggap sebagai peran contoh yang baik, sekalipun membentuk kaum minoriti di sini.

MEMPERKUKUHKAN EKOSISTEM ASATIZAH

Dalam tempoh tiga tahun ini juga, MUIS mempertingkatkan usaha untuk menjadikan sektor keagamaan bagi asatizah lebih menarik menerusi dua projek utama iaitu Pembangunan Madrasah dan Asatizah serta Pembangunan Sektor.

Antara usaha untuk menambah jumlah asatizah yang bersedia untuk masa depan termasuk semakan skim Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) 2.0, Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), Kolej Islam Singapura (SIC) dan Sistem Madrasah Bersama (JMS).

Dengan permintaan sektor keagamaan yang semakin meningkat, peranan asatizah semakin berkembang, lebih daripada sebagai seorang pendidik sahaja.

Menurut MUIS, program-program baru perlu diadakan untuk menarik lebih ramai bakat ke dalam sektor itu, sekali gus membuatkannya lebih berdaya saing.

Inisiatif seperti Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) serta Bimbingan Kerjaya dan Pendidikan juga akan dilancarkan bagi menangani isu-isu berkaitan pembangunan ekosistem asatizah.

Berkenaan gaji asatizah pula, MUIS akan bekerjasama dengan masjid-masjid dan madrasah untuk melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) untuk golongan asatizah.

Ini berdasarkan saranan Jawatankuasa Asatizah Masa Hadapan (COFA).

Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen berkata, "MUIS akan terus bekerjasama dengan institusi madrasah dan masjid untuk memperhalusi sistem penilaian prestasi serta penyesuaian gaji setimpal dengan sumbangan asatizah kita."

"Kita akur bahawa penyesuaian yang akan dilakukan ini memerlukan sumbangan yang lebih. Dengan ini, MUIS akan bekerjasama dengan masyarakat untuk bagaimana kita dapat menambah dan mengoptimumkan aset masyarakat kita untuk sektor yang amat dihargai ini," tambah Encik Kadir.

Menurut Encik Masagos pula, penyelarasan gaji itu akan berlandaskan sistem berdasarkan prestasi asatizah di tempat kerja mereka.

Encik Masagos berkata: “Kita mahu sektor keagamaan kita kekal menarik, berdaya saing dan mampu menjamin masa depan yang lebih cerah untuk barisan asatizah kita.”

Menurut beliau, Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan menjadi sumber penting bagi membiayai inisiatif CSG dan usaha seumpamanya.

MEMANFAATKAN ASET MASYARAKAT UNTUK PEMBANGUNAN SOSIO-AGAMA

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG) memerlukan institusi agama, masjid-masjid dan madrasah untuk menjadi berdaya tahan dan mampan dari segi kewangan.

Lantaran itu, MUIS akan membina dan membangunkan aset masyarakat menerusi projek-projek seperti Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dan Pelan Pelaburan Wakaf Masjid.

Encik Masagos juga mengumumkan bahawa menjelang akhir tahun ini, MUIS akan mereka sebuah platform digital untuk menyediakan masyarakat kita dengan ilmu dan kemahiran mengenai perancangan harta dan warisan.

"Kita mahukan masyarakat kita mempunyai kebolehan untuk menjaga keperluan peribadi dan keluarga masing-masing terlebih dahulu, dan harta yang berlebihan pula boleh dihulurkan untuk kebaikan masyarakat menerusi WMS,"

"Di peringkat institusi, MUIS merancang untuk menggerakkan dana sedia ada di dalam sektor masjid-masjid termasuk untuk melancarkan pelan pelaburan untuk menjana lebih banyak pulangan kepada dana lebihan masjid," kata Encik Masagos.

Dengan pelan tiga tahun ketujuh itu, MUIS berharap masyarakat Muslim Singapura akan lebih yakin dengan identiti "Muslim Singapura" mereka dan akan melihat MUIS serta kepimpinan asatizah tempatan sebagai penguasa agama yang berwibawa.

Ini selain kerjasama lebih kukuh dan tadbir urus yang lebih cekap dengan menumpukan pada pengurusan kewangan dan data yang berkesan.

Seramai 250 tetamu menghadiri majlis itu pagi tadi yang diadakan di HomeTeamNS Khatib.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan