Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS akan berikan panduan agama lebih mantap berhubung tuntutan makanan halal, naik taraf 4 masjid

Tiga bidang tumpuan menjadi tunggak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelang tahun depan untuk bangkit lebih kukuh serta melindungi dan meningkatkan lagi cara kehidupan beragama di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga bidang tumpuan menjadi tunggak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelang tahun depan untuk bangkit lebih kukuh serta melindungi dan meningkatkan lagi cara kehidupan beragama di Singapura.

Ini merangkumi usaha memperkasakan masyarakat dengan panduan agama yang kukuh dan mantap bagi menangani cabaran-cabaran baru, usaha memperkukuhkan sektor agama sebagai persiapan masa hadapan serta memastikan kemampanan jangka panjang institusi-institusi agama.

Demikian umum Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Seminar Pelan Kerja MUIS hari ini (8 Mei).

Bertemakan 'Bangkit Lebih Kukuh: Membina Masa Depan Lebih Berdaya Tahan', seminar MUIS tahun ini mencerminkan penghargaan kepada pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat terhadap kesulitan dan cabaran yang dihadapi dalam menempuhi pandemik COVID-19.

Ia juga mengajak masyarakat untuk sama-sama membina masa depan yang lebih berdaya tahan.

PANDUAN AGAMA LEBIH MANTAP BERHUBUNG TUNTUTAN MAKANAN HALAL

MUIS akan terus memberikan panduan agama lebih mantap berhubung tuntutan makanan halal di Singapura serta mengukuhkan proses pensijilan halalnya.

Ini sedang masyarakat terus berubah di samping menangani cabaran dan perkembangan baru.

"Sedang kita mematuhi tuntutan makanan halal, kita mesti terus berpegang teguh kepada nilai-nilai hormat kepada budaya dan agama lain dan mewujudkan nilai-nilai itu semasa berinteraksi dengan masyarakat-masyarakat lain.

"Ini akan mengukuhkan kepercayaan dan perpaduan yang sudah sekian lama dibina dengan masyarakat-masyarakat lain di Singapura sejak berpuluh-puluh tahun lalu," kata Encik Masagos.

Ini kerana sistem dan model sedemikian membolehkan masyarakat Islam Singapura hidup dengan aman dan makmur sebagai masyarakat minoriti Muslim yang disanjung tinggi di peringkat dunia.

Sidang Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) juga akan diadakan bagi berkongsi perkembangan dan amalan panduan agama bagi masyarakat minoriti Islam yang mahu menjadi anggota yang turut menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat.

Ia akan membolehkan lebih banyak pendampingan dan kolaborasi antara ulama, pegawai negara dan pemimpin masyarakat.

Menjelang sidang tersebut, MUIS akan turut menganjurkan dua seminar pada tahun ini bagi menghimpunkan ulama-ulama antarabangsa dan untuk membangunkan badan ilmu dan tradisi agama.

Ia sebagai panduan bagi Muslim dalam masyarakat minoriti mengharungi dan berjaya dalam masyarakat kontemporari dan berbilang kaum.

CPE 2.0 DIPERKENALKAN SUKU KE-4 TAHUN INI

Rangka kerja yang dipertingkatkan, Pendidikan Profesional Berterusan (CPE 2.0) akan diperkenalkan bermula suku keempat tahun ini.

CPE 2.0 akan menjadi peningkatan penting pada Rangka Kerja CPE sedia ada.

Ia akan memberi tumpuan kepada empat bidang - Integrasi, Kualiti, Tahap Relevan dan Daya Mudah Akses (IQRA).

Timbalan Mufti Pengerusi Panel CPE, Dr Hannan Hassan berkata: "Apa yang baharu dan kita menambah nilai kepada CPE 2.0 ini adalah bahawa kita telah mengintegrasikan sudut kemahiran para asatizah.

"Kalau sebelum ini fokusnya kepada isi atau bahan-bahan intelektual atau akademik, sekarang ini kami telah menggabungkan kemahiran dan ini sesuai dengan program Rangka Kerjaya dan Kecekapan Asatizah ataupun CCF. Jadi, integrasi antara pengisian dan juga kemahiran."

Enam saranan juga dibangkitkan oleh sejumlah 56 asatizah daripada pelbagai bidang serta para majikan semasa perbincangan kumpulan fokus diadakan tahun lalu.

Hasilnya, keenam-enam saranan bagi CPE 2.0 itu akan dijalankan secara beransur-ansur dalam masa lima tahun akan datang.

"Melebihi sokongan peningkatan kemahiran yang meluas, kami juga mahu mewujudkan barisan bakat mampan dalam kalangan asatizah kita berkhidmat sebagai pucuk pimpinan agama masa depan.

"MUIS akan berkongsi tentang pelannya membangunkan pucuk pimpinan dan bakat agama lewat tahun ini," kongsi Encik Masagos.

NAIK TARAF 4 MASJID, PAJAKAN LEBIH LAMA 2 MASJID

MUIS juga menyemak semula Program Naik Taraf Masjid (MUP) bagi memastikan dana masyarakat digunakan dengan lebih berhemah.

Ini memandangkan pandemik COVID-19 menjejas kehidupan ramai, pemulihan krisis tersebut akan mengambil masa dan tahun-tahun mendatang dijangka mencabar bagi masyarakat.

Lantaran itu, pelan membina masjid-masjid baru di Tampines North akan ditangguhkan dan disemak apabila ekonomi kembali pulih kelak.

MUIS sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha naik taraf empat masjid - Masjid Darul Makmur, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Darussalam- dalam masa lima tahun akan datang.

Badan tersebut juga akan mendapatkan pegangan pajakan lebih lama bagi Masjid Tentera dan Masjid Ahmad Ibrahim, yang kini di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) dan merancang usaha naik taraf bagi kedua-dua masjid tersebut.

Encik Masagos berkata: "Masjid-masjid ini akan dinaik taraf dengan kemudahan akses lebih baik, seperti lif dan tanjakan bagi menyokong jumlah besar jemaah warga emas dalam masyarakat kita.

"Reka bentuk baru itu akan mendakapi amalan lebih hijau dan mampan - seperti lebih jimat air dan tenaga.

"Bukan sahaja ia lebih menjimatkan bagi jangka panjang, kita juga menjadi anggota bertanggungjawab ke atas alam sekitar."

Sejak lima tahun lalu, sebanyak S$60 juta diperuntukkan bagi membina dua masjid baru - Masjid Maarof dan Masjid Yusof Ishak - dan menaik taraf 11 masjid sedia ada.

PENCAPAIAN TAHUN LALU

Dalam kad laporannya sepanjang tahun lalu, MUIS antara lain mengumpulkan zakat sebanyak S$52 juta, naik 11 peratus berbanding 2019.

Sejumlah S$21.8 juta pula dihulurkan bagi bantuan kewangan zakat, naik S$4.7 juta daripada 2019.

Badan tersebut juga memperuntukkan sebanyak S$2.2 juta bagi menubuhkan Dana Sokongan COVID-19 MUIS bagi 5,500 keluarga.

Sebanyak S$200,000 juga dihulurkan bagi membantu para asatizah yang terjejas oleh penutupan masjid dan penggantungan kelas fizikal.

Tahun lalu juga, MUIS melancarkan portal derma sehenti ourmasjid.sg dan ourmadrasah.sg serta saluran YouTube SalamSG.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan