Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS agih zakat tambahan bernilai S$2.2 juta kepada 7,400 isi rumah, individu memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak isi rumah dan individu memerlukan akan menerima zakat tambahan sempena Ramadan kali ini, iaitu sekitar 7,400 penerima bantuan.

Zakat tambahan berjumlah S$2.2 juta, yang akan diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu adalah tambahan kepada bantuan zakat bulanan mereka.

Penerima akan mendapat wang tunai antara S$150 hingga S$1,000 bergantung kepada saiz isi rumah masing-masing.


(Gambar: MUIS) 

Ini dihulurkan kepada para penerima bantuan kewangan zakat MUIS, penerima terpilih Bantuan Jangka Panjang ComCare, termasuk anggota keluarga mereka dan isi rumah terpilih yang dirujuk oleh Pusat Khidmat Keluarga serta kanak-kanak dan penghuni warga emas di rumah kebajikan terpilih.

SEKITAR 100 TETAMU SERTAI PRESIDEN HALIMAH YACOB DALAM MAJLIS BERBUKA PUASA MUIS

Di samping itu, MUIS juga mengadakan majlis berbuka puasa di Hab Islam Singapura hari ini, yang dihadiri Presiden Halimah Yacob.

Beliau disertai sekitar 100 tetamu termasuk para penerima zakat dan penghuni dari tiga rumah kebajikan iaitu Rumah Muhibah Warga Tua PERTAPIS, Persatuan Kanak-Kanak di Sunbeam Place dan Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.


(Gambar: MUIS) 

Semasa menyampaikan ucapannya, Puan Halimah turut menarik perhatian kepada peranan penting zakat sebagai sebuah "institusi penting yang mengukuhkan masyarakat".

"Agihan ini merupakan satu peluang untuk kita sama-sama berkongsi keberkatan bulan suci Ramadan dan memeriahkan sambutan Hari Raya yang bakal menjelang," ucap Puan Halimah.

"Saya dimaklumkan beberapa keluarga tersebut dan warga daripada rumah tumpangan yang dibantu hadir untuk berbuka puasa dengan kita hari ini. Ini satu inisiatif yang baik," tambah beliau.

PRESIDEN HALIMAH BANGGA DENGAN USAHA & KERJASAMA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM SEPANJANG PANDEMIK

Sempena tahun kedua meraikan Ramadan tanpa langkah-langkah pengurusan selamat yang ketat, Puan Halimah melahirkan rasa "bangga" melihat masyarakat Melayu/Islam saling bekerjasama dan melakar pelbagai penyesuaian dan inisiatif sepanjang pandemik.

"Ingin saya tekankan bahawa daya tahan dan kekuatan yang ditampilkan masyarakat ketika itulah yang membantu kita ke tahap lebih selamat yang kini dinikmati seluruh negara," ujar Puan Halimah.

"Sumbangan anda semua bukan sahaja membantu masyarakat Islam, khususnya golongan yang memerlukan, tetapi juga memperkukuh Singapura sebagai sebuah negara yang inklusif dan bersatu padu," tambah beliau.

Puan Halimah juga memuji usaha MUIS dan masjid-masjid menyingsing lengan dengan kumpulan-kumpulan masyarakat untuk "mendampingi dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama".


(Gambar: MUIS) 

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan usaha Yayasan Rahmatan Lil Alamin bersama para sukarelawan daripada badan-badan silang agama serta pertubuhan pertubuhan akar umbi.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, serta para pemimpin masyarakat, madrasah dan masjid.

MUIS juga akan menghantar hamper hadiah kepada lebih 220 penerima Bantuan Jangka Panjang ComCare dan para penghuni dari lebih 40 rumah kebajikan dan institusi.

Mereka juga akan menyediakan juadah berbuka puasa kepada rumah-rumah kebajikan terpilih bagi menyemarakkan lagi sifat murah hati dan semangat menyantuni golongan memerlukan pada Ramadan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan