Skip to main content

Singapura

MUIS agih dana wakaf lebih S$3 juta kepada 50 institusi

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengagihkan $3,022,234 dana wakaf kepada masjid, madrasah, badan-badan Islam dan golongan yang memerlukan pada hari ini (10 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS agih dana wakaf lebih S$3 juta kepada 50 institusi

Majlis pengagihan bagi dana wakaf di Masjid Yusof Ishak. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengagihkan $3,022,234 dana wakaf kepada masjid, madrasah, badan-badan Islam dan golongan yang memerlukan pada hari ini (10 Mei).

Jumlah itu, kurang 2.59% atau $77,766 berbanding tahun lalu.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Abdul Razak Maricar merasmikan majlis pengagihan dana wakaf itu di Masjid Yusof Ishak, petang tadi.

Encik Abdul Razak berkata jumlah yang diagihkan tahun ini rendah sedikit berbanding tahun lalu kerana mengambil kira usulan untuk memastikan para mutawalli mengetepikan sebahagian daripada keuntungan bersih wakaf bagi tujuan penyenggaraan bangunan.

"Pindaan kepada AMLA telah diluluskan dan dilaksanakan pada tahun ini. Pihak kami akan bekerjasama dengan para mutawalli wakaf untuk memastikan pelaksanaan yang terbaik," kata Encik Abdul Razak.

Beliau juga menarik perhatian kerjasama erat MUIS dengan para pengamanah dan mutawalli serta syarikat pengurusan hartanah wakaf MUIS, Warees Investments.

(Ketua Eksekutif MUIS, Encik Abdul Razak Maricar ketika merasmikan majlis agihan dana wakaf. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

LANGKAH PENTING BAGI PEMAMPANAN WAKAF SETEMPAT

Pengarah, Dasar Aset & Pembangunan Industri bagi MUIS, Cik Dewi Hartaty berkata langkah mengadakan 'sinking fund' atau mengenepikan sebahagian daripada keuntungan bersih wakaf bagi tujuan penyenggaraan bangunan, dianggap penting kerana selain ia menggambarkan pendekatan yang seimbang yang diambil oleh MUIS bagi memastikan pemampanan jangka panjang wakaf di Singapura, ia juga 'memastikan penerima wakaf dapat sebahagian pulangan wakaf.'

Namun yang lebih penting lagi menurutnya, langkah itu memastikan bangunan-bangunan wakaf disenggara dengan baik agar dapat terus menjana pulangan yang baik bagi masyarakat Islam Singapura.

"Sekiranya kita tidak ada 'sinking fund' ini, bangunan-bangunan wakaf ini akan menjadi usang, dan lama-kelamaan, kita tidak dapat menarik penyewa yang akan memberi pulangan yang baik untuk penerima-penerima pulangan wakaf, seperti masjid, madrasah dan pertubuhan Islam," jelas Cik Dewi Hartaty.

Cik Dewi turut berkongsi dengan pihak BERITAMediacorp bahawa langkah ini bukan sesuatu yang baru dan sudah dilaksanakan oleh beberapa wakaf. Namun, ia dikuatkuasakan secara menyeluruh bermula tahun ini.

LEBIH $1.6 JUTA DIAGIH KEPADA 25 MASJID

Di majlis hari ini, sebanyak $2,561,571 diagihkan kepada para penerima tempatan seperti masjid, madrasah, badan-badan Islam serta golongan memerlukan.

Jumlah terbesar sekitar $1.6 juta, diperuntukkan kepada 25 masjid tempatan bagi menampung kos operasi dan kerja-kerja naik taraf. Sebagai contoh, Masjid Angullia menerima sebanyak $30,000 bagi kerja-kerja pembangunan semula termasuk kemudahan yang lebih baik dan ruang solat yang lebih besar. Masjid Malabar menerima $10,000 dari Wakaf Hjh Daing Tahira Daeng Tadaleh manakala Masjid Bencoolen, menerima lebih $31,000 dari pelbagai wakaf.

Sebanyak $460,663 pula akan disalurkan kepada para penerima di luar negara seperti Arab Saudi, Indonesia, India dan Yaman.

(Ustaz Abu Bakar Sidik wakil daripada Madrasah Al-Arabiah bersama Encik Abdul Razak Maricar. Gambar: MUIS

WAKAF ILMU: $346,955 DIAGIHKAN KEPADA MADRASAH, PUSAT aLIVE

Sebanyak $346,955 juga dihulurkan kepada semua madrasah di bawah naungan 'wakaf ilmu' dalam usaha membangunkan program bagi para asatizah dan para pelajar madrasahnya, di samping membantu dalam usaha kerja naik taraf bagi prasarana madrasah setempat. Misalnya, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah yang mendapat sebanyak $84,040 pada tahun ini.

"Saya rasa dengan adanya wakaf ini, para pelajar kita akan dapat meraih manfaat dengan kita dapat menggunakan dana ini untuk membangunkan kurikulum kita, supaya ia menjadi lebih seimbang dan lebih memenuhi citarasa masyarakat kita pada hari ini," kongsi Ustaz Abu Bakar Sidik
Ketua Jabatan, Bahasa Arab & Pengajian Islam, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

25 BADAN ISLAM DAPAT BANTUAN BIAYAI PELBAGAI PROGRAM DAN KHIDMAT

Lebih $200,000 diagihkan kepada 25 pertubuhan Islam termasuk Casa Raudha, Kelab Heal dan Pesatuan India Muslim Bersatu (UIMA) bagi membiayai pelbagai program yang ditawarkan termasuk bagi pembangunan sosial, jagaan kesihatan dan pendidikan Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita