Skip to main content

Singapura

MUIS, agensi relevan kaji mana silapnya ibadah korban terjejas di 4 masjid, ingin kukuhkan penyelarasan

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS, agensi relevan kaji mana silapnya ibadah korban terjejas di 4 masjid, ingin kukuhkan penyelarasan

Acara pengagihan daging korban menerusi inisiatif SalamSG Gives di North Bridge Road pada Khamis (18 Jun).(Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 18 Jun 2026 06:33PM Dikemas Kini : 18 Jun 2026 10:52PM
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bekerjasama dengan NParks dan
Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk meneliti gangguan yang menjejas sebahagian pelaksanaan korban di Singapura tahun ini.

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, berkata ini untuk memperkukuh pelaksanaan ibadah korban dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi pelaksanaan ibadah korban pada masa hadapan.

Beliau menjawab pertanyaan para wartawan di luar acara pengagihan daging korban menerusi inisiatif SalamSG Gives di North Bridge Road pada Khamis (18 Jun).

Isu berkenaan timbul selepas sekitar 400 kambing korban kendalian The Meat Brothers (TMB) gagal dibawa masuk dari Australia, sekali gus menjejas sebahagian pelaksanaan korban tempatan yang dilaksanakan di empat masjid.
Mengulas perkara itu, Dr Faishal berkata urusan korban di Singapura melibatkan banyak pihak dalam rantaian bekalan namun menegaskan bahawa pengendali dan pembekal perlu memastikan mereka boleh memenuhi syarat-syarat tertentu dan menunaikan komitmen mereka kepada para sohibul korban.

Beliau turut akur dengan rasa kecewa yang ditanggung para sohibul korban yang terjejas akibat gangguan yang berlaku.

“Ramai sohibul korban telah membuat persiapan dan amanah korban mereka dengan penuh kepercayaan. Saya memahami kebimbangan dan keresahan yang dirasai, lebih-lebih lagi kerana korban merupakan satu ibadah yang amat bermakna bagi mereka serta keluarga mereka.

“Saya menghargai kesabaran, kefahaman dan sokongan yang ditunjukkan para sohibul korban yang terjejas sepanjang tempoh ini," kata Dr Faishal.

Menurut beliau, MUIS kini sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengenal pasti punca gangguan dan memastikan masyarakat tetap yakin terhadap urusan korban di Singapura.

"Tumpuan kami adalah untuk memastikan masyarakat kita terus mempunyai keyakinan terhadap pelaksanaan korban tempatan pada masa hadapan," kata Dr Faishal.

PERTIMBANGKAN PELAN KONTINGENSI JIKA KAMBING TAK DAPAT DIBAWA MASUK

Pada masa yang sama, MUIS sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan bagi mengukuhkan proses dan pelaksanaan korban di sini pada tahun-tahun mendatang.

“MUIS sedang meneliti perkara ini dan bekerjasama dengan agensi serta rakan-rakan kongsi untuk memperkukuh penyelarasan, semakan tahap persediaan pengendali serta pelan kontingensi bagi pelaksanaan korban tempatan pada masa hadapan," kongsinya.

Dr Faishal menegaskan matlamat utama adalah untuk memastikan kedua-dua program korban luar negara dan korban tempatan dapat terus dilaksanakan dengan lancar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam.

KORBAN LUAR NEGARA SALAMSG

Program Korban Luar Negara SalamSG terus mendapat sambutan memberangsangkan tahun ini dengan lebih 5,400 tempahan.

Daging-daging korban dari Australia itu telah diterbangkan ke Singapura dan sudah mula diagihkan kepada para sohibul korban.

Menurut MUIS, 80 peratus daging itu yang didermakan turut diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Menerusi inisiatif SalamSG Gives, sekitar 140 keluarga menerima agihan daging korban dalam acara yang berlangsung pada Khamis (18 Jun).

Dalam beberapa minggu akan datang, masjid-masjid di seluruh Singapura akan meneruskan pengagihan daging korban, dengan sekitar 5,000 keluarga yang memerlukan dijangka meraih manfaat daripada usaha tersebut.

Selain itu, program Korban luar negara SalamSG juga meneruskan inisiatif bantuan kemanusiaan ke Gaza tahun ini.

Sebahagian daging biri-biri daripada program korban luar negara akan diproses dan dimasukkan ke dalam tin sebelum dihantar kepada masyarakat yang terjejas di sana.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita