Muhd Noh, Zuraidah Ghani antara penerima Anugerah Emas Pengangkutan
Sekitar 570 kakitangan pengangkutan menerima Anugerah Emas Pengangkutan tahun ini - iaitu rekod tertinggi sejak ia diperkenalkan pada tahun 2000. Anugerah itu diberikan di bawah Anugerah Baik Budi Kebangsaan yang kini masuk tahun ke-22.
SINGAPURA: Sekitar 570 kakitangan pengangkutan menerima Anugerah Emas Pengangkutan tahun ini - iaitu rekod tertinggi sejak ia diperkenalkan pada tahun 2000. Anugerah itu diberikan di bawah Anugerah Baik Budi Kebangsaan yang kini masuk tahun ke-22.
Buat pertama kalinya para pemandu daripada industri kereta sewa turut disertakan dalam anugerah tersebut.
Dalam majlis yang diadakan di Muzium Tamadun Asia (ACM) itu, 30 pekerja sektor pengangkutan terpilih menjadi penerima kategori Anugerah Cemerlang.
Anugerah-anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pengangkutan S Iswaran. Berucap di majlis acara itu, Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata bahawa usaha untuk membina masyarakat yang baik budi bersifat dua hala.
"Kempen-kempen dan jawatankuasa-jawatankuasa memang penting. Tetapi itu tidak mencukupi. Pada akhirnya ia bergantung kepada setiap individu seperti anda dan saya. Apabila perbuatan berbaik budi menjadi lebih berleluasa, masyarakat kita akan menjadi lebih budiman," kata Encik S Iswaran.
"Muncul lebih kuat daripada pandemik ini bukan sahaja mengenai soal daya tahan ekonomi. Ia juga melibatkan keperibadian dan ketabahan masyarakat kita."
MUHAMMAD NOH ABDUL SUKOR SELAMATKAN 2 NYAWA
Salah seorang pemenang bagi kategori Anugerah Cemerlang Emas ialah Encik Muhammad Noh Abdul Sukor, Pengurus Stesen bagi SMRT Trains.
Beliau memberi bantuan kecemasan kepada seorang bayi yang pengsan setelah mengalami sawan. Ketika kejadian itu, seorang lelaki menghampirinya dalam keadaan cemas sambil mendukung bayinya.

Meskipun Encik Muhammad Noh akur bahawa beliau pada mulanya berasa gementar juga, beliau sedar pentingnya kekal tenang supaya dapat menangani keadaan itu dengan lebih baik.
"Saya menenangkan lelaki ini dan menyuruhnya mendukung bayinya dalam keadaan meniarap dan menepuk belakangnya supaya mungkin apa yang dia tersedak dalam mulutnya dapat keluar.
"Alhamdulillah setelah beberapa minit dia menepuk bayinya itu, bayi itu muntah dan pernafasannya kembali sederhana. Sebelumnya dia pucat dan pernafasannya agak lemah pada mulanya," cerita Encik Noh tentang pengalaman tersebut kepada BERITAmediacorp.
Karyawan pengangkutan itu berkongsi betapa beliau dapat memahami perasaan lelaki tersebut kerana beliau sendiri seorang bapa.
Selain insiden itu, Encik Noh juga pernah menyelamatkan satu lagi nyawa dalam kejadian berasingan, melibatkan seorang penumpang yang mengadu sakit dada dan kemudian rebah.
"Saya bergegas ke sana. Saya memeriksa nadinya dan mendapati dia hampir pengsan. Jadi saya terus menepuknya tanya 'sir, you ok?' supaya dia dapat sedar. Jangan pengsan.
"Saya juga mendapati dia agak berpeluh sebab dia pakai baju kemeja. Kita semua membawanya ke tempat pintu kecemasan dan saya membuka semua pintu kecemasan itu supaya udara segar - dapat hirup udara segar. Alhamdulillah, beberapa minit dia dapat sedar juga dan kami beritahunya jangan risau," cerita Encik Noh lagi, yang sudah enam tahun bekerja dengan SMRT.
ZURAIDAH GHANI SELAMATKAN PEMANDU TEKSI YANG NYARIS CEDERA
Seorang lagi penerima Anugerah Cemerlang hari ini (1 Dis) ialah Cik Zuraidah Ghani, seorang juruwang di stesen minyak ComfortDelGro Engineering Pte Ltd.
Cik Zuraidah, 51 tahun, diiktiraf kerana bertindak pantas untuk menyelamatkan seorang pemandu teksi yang nyaris cedera, apabila teksinya tiba-tiba berundur ke belakang.
"Bila kakak terpandang pakcik itu cuba nak berhentikan kenderaannya, sebab kakak dah nampak kenderaannya dah nak mengundur ke belakang.
"Jadi dengan spontan kakak keluar. Saya masuk ke dalam teksinya dan menarik brek tangan supaya teksinya tidak mengundur ke belakang," kongsi Cik Zuraidah kepada BERITAmediacorp.
Tindakan berani beliau itu turut berjaya mencegah teksi tersebut daripada merosakkan harta benda awam.
Menurut Cik Zuraidah beliau berasa bangga kerana bukan sahaja dapat menyelamatkan pemandu teksi tersebut tetapi juga memastikan keselamatan orang lain yang lalu lalang di kawasan tersebut.
7 PENUMPANG BUDIMAN TURUT DIJULANG
Selain kakitangan pengangkutan, turut mendapat pengiktirafan adalah tujuh orang penumpang budiman.
Antaranya termasuk Cik Anju dan Cik Bermoy serta rakan kerja mereka yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan menunju ke Stesen Punggol NE17. Mereka kemudian terlihat seorang lelaki warga emas mengalami pendarahan dan baring di lantai.

Tanpa membuang masa, Cik Anju menghampirinya dan memeriksa pernafasan dan nadinya. Beliau menyedari bahawa pernafasannya lemah dan tidak dapat merasa denyutan nadinya.
Lantaran itu, beliau serta-merta memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan rakan kerjanya memberi bantuan, sementara Cik Bermoy menelefon ambulans.
Meskipun Cik Anjuu berasa letih kerana melakukan CPR selama lapan minit, beliau enggan berehat dan sebaliknya terus memeriksa nadi lelaki itu.
Mereka bertiga hanya beredar dari tempat tersebut setelah memastikan lelaki warga emas itu dalam keadaan selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.