Skip to main content

Singapura

Muhammadiyah hadiahkan cermin mata kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah juga kini dibantu bagi dapatkan cermin mata baharu sebagai persiapan untuk mulakan tahun persekolahan 2025 yang bakal menjelang.

Ini antara keistimewaan inisiatif ‘Back to School’ anjuran Persatuan Muhammadiyah kali ini, yang menyediakan keperluan sekolah bagi para pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan rendah.

Buat pertama kalinya, para pelajar dengan masalah penglihatan juga boleh mendaftar untuk pemeriksaan mata bagi mendapatkan cermin mata baharu percuma.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ini dapat dilakukan dengan sokongan AeroV - The Orthokeratology and Myopia Control Clinic dan Warees Investments serta sumbangan masyarakat menerusi Give.Asia.

"Ini berkesinambungan dengan kajian daripada Pusat Mata Kebangsaan Singapura (SNEC) di mana mereka menyatakan 10 peratus daripada anak-anak yang berusia 5 tahun akan mengalami masalah miopia (rabun jauh)," kongsi Setiausaha Agung Persatuan Muhammadiyah, Roszanah Abdul Salim kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Jadi untuk itu, kami merasakan perlu untuk memberi sedikit kelonggaran ataupun kesenangan dalam bantuan untuk anak-anak yang kurang berkemampuan ini untuk memberikan akses kepada cermin mata yang boleh dimampui. Ini supaya mereka dapat akses kepada kaca mata daripada usia yang lebih muda lagi agar mereka dapat mengatasi gejala miopia pada masa hadapan," tambahnya.

25% PENERIMA BANTUAN DAFTAR UNTUK PEMERIKSAAN MATA

Gambar: Persatuan Muhammadiyah

Selain cermin mata, kanak-kanak itu juga diberi beg sekolah dan kit alat tulis yang lengkap dalam majlis pengagihan di Blok 224 Bukit Batok.

Secara keseluruhannya, sekitar 120 pek keperluan sekolah diagihkan hari ini (8 Dis) oleh tetamu terhormat Menteri Negara Undang-Undang merangkap Pengangkutan, Murali Pillai, yang juga merupakan penasihat kepada GRO Bukit Batok.

Lagi 190 pek pula akan diagihkan oleh para sukarelawan Muhammadiyah pada bulan ini semasa lawatan rumah.

Sekitar 25 peratus penerima bantuan hari ini (8 Dis) mendaftar untuk membuat pemeriksaan mata bagi mendapatkan cermin mata percuma itu.

Menurut Cik Roszanah, rakan kerjasama AeroV akan mengendalikan pemeriksaan mata itu bagi mereka dan akan memberikan baucar untuk menebus cermin mata itu jika mereka memerlukannya.

TERUJA DAPAT CERMIN MATA BAHARU

Aqasha bersama neneknya, Cik Haryati (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Antara pelajar yang meraih manfaat daripada usaha tersebut ialah Ezhar Aqasha Ezhwan, 16 tahun.

"Saya berasa bersyukur dan gembira dapat menerima barangan keperluan sekolah kerana ibu bapa saya tidak perlu membuang masa, wang dan usaha mereka untuk keluar membeli barang-barang sekolah untuk saya," kongsi Aqasha kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Malah, Aqasha juga berbesar hati dapat melakukan pemeriksaan mata untuk mendapatkan cermin mata baharu.

"Saya teruja dan saya bersyukur juga kerana saya sebenarnya memerlukan cermin mata dan ini peluang terbaik untuk saya membuat cermin mata untuk sekolah pada masa hadapan," ujar pelajar itu.

Malah neneknya, Cik Haryati Latif turut mengalu-alukan inisiatif itu, lebih-lebih lagi dalam menyediakan cermin mata bagi kanak-kanak yang memerlukannya.

"Kalau macam kita yang membelinya, kita mesti perlu melihat bajet. Kalau macam mahal-mahal, kita tidak sanggup bukan?" kongsi Cik Haryati.

"Saya rasa (inisiatif) ini lebih baik kerana ia (satu) keperluan. Kalau mereka tidak nampak macam mana? Tidak boleh membaca sebab bahan-bahan bacaan ini semua kecil-kecil jadi mesti perlu memakai cermin mata," tambahnya.

BANTU KELUARGA MEMERLUKAN YANG TIDAK MAMPU LAKUKAN PEMERIKSAAN MATA

Encik Mohammed Irzan bersama anaknya, Irfan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Bagi Encik Mohammed Irzan Imran yang turut mendaftarkan anaknya bagi pemeriksaan mata percuma itu menganggap ia sebagai langkah yang baik untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan mata dalam masyarakat.

"Ia akan membantu bukan sahaja kepada saya dan anak saya sahaja, malah kepada orang-orang yang memerlukan, yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan pemeriksaan untuk mata. Sebab apa, zaman sekarang ini, mereka (kanak-kanak) banyak menggunakan telefon bimbit dan menumpukan lebih banyak perhatian terhadapnya dan ini sebabnya mereka lebih memerlukan konsultasi percuma sebegini untuk mata mereka," jelas Encik Irzan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"(Ini) bagus kerana mata saya mungkin kurang baik dan saya juga ingin lakukan pemeriksaan untuk membuat keluarga saya gembira," kongsi anaknya pula, Mohammed Irfan Mohammed Irzan, 12 tahun.

"Saya (juga) rasa gembira kerana saya dapat banyak alat tulis dan adik saya juga boleh mendapat alat-alat tulis baharu," tambahnya.

Buat masa ini, Persatuan Muhammadiyah masih lagi menerima sumbangan untuk membiayai projek cermin mata percuma itu menerusi kempen pengumpulan dana di give.asia

FORUM KELUARGA 2024 KONGSI TIP UNTUK KEJAYAAN ANAK-ANAK

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain pengagihan itu, Persatuan Muhammadiyah dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah dan MAEC Bukit Batok turut menganjurkan satu Forum Keluarga 2024.

Ia menekankan kepentingan untuk menyediakan persekitaran keluarga yang ceria sebagai asas untuk kejayaan anak-anak.

Dengan tema "Keluarga Ceria, Anak Berjaya", forum itu menampilkan para panel seperti Ketua Pegawai Eksekutif, SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Pakar Keluarga, Mohamed Khair Mohamed Noor and pengasas dan pengarah YusriYusoff Consulting, Dr Mohammad Yusri Yubhi.

Ia antaranya membincangkan cabaran yang dihadapi keluarga hari ini dan berkongsi tip untuk mengukuhkan rumah tangga serta kepentingan untuk berkomunikasi secara berkesan dan positif bagi keluarga.

Ia juga selaras dengan usaha Muhammadiyah dalam menggalak ciri-ciri keluarga bahagia dan ibu bapa untuk menyertai program Anak Titipan bagi berkongsi kasih sayang bagi kanak-kanak yang memerlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita