Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhammadiyah agih hamper dan pek prihatin berjumlah S$72,000 jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Jemila Bibi Ibrahim, 73 tahun, tidak perlu bersusah payah untuk ke pasar untuk menyiapkan juadah untuk bersahur dan berbuka puasa esok.

Ini kerana beliau dalam kalangan 300 warga emas di Yishun yang menerima pek prihatin perayaan pagi tadi (11 Mac).

Agihan itu adalah inisiatif bersama Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Hari untuk Warga Tua Muhammadiyah (MHCC) dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah (MAAC) pada Isnin (11 Mac).

Tengah: Cik Jemila (Gambar: MHCC)

Setiap pek berjumlah S$50 dan mengandungi pelbagai barang keperluan termasuk minyak, tepung, kurma, teh, biskut, dan makanan tin.

Para penerima turut mendapat baucar pasar raya bernilai S$30.

Cik Jemila, yang mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi terharu dengan sumbangan tersebut.

"Dapat masak untuk hari-hari puasa, anak-anak datang sini puasa buka (bersama). (Saya dapat) membeli barang keperluan rumah kerana untuk Hari Raya, semua perlu belikan?" kata beliau.

Usaha itu turut membawa keceriaan kepada penduduk warga emas yang bukan Melayu/Islam.

Encik Yeo di sebelah kiri Dr Faishal. (Gambar: MHCC)

"(Usaha) memberi barang kepada kita sangat baik sekali. Hati kita pun cukup senang," kongsi Encik Yeo Ee Teng.

"Bila (sukarelawan) anda datang ke sini, kita pun ketawa (gembira)," tambahnya yang menghidap penyakit Osteoporosis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang menyertai pengagihan pagi tadi memuji sikap ihsan yang ditonjolkan para relawan.

Ini lebih-lebih lagi dengan lebih ramai penduduk Singapura yang semakin menua.

Gambar: MHCC

"Walaupun Singapura ini adalah sebuah negara yang maju, dan berjaya tapi kenyataan kehidupan ini adalah di mana kita pergi di merata dunia, ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang memerlukan sokongan. Banyak badan-badan kita seperti Muhammadiyah hari ini, kita dapat lihat memainkan peranan sebagai satu badan untuk memberikan ruang pembangunan dalam ekosistem penuaan dan juga menolong mereka yang memerlukan.

"Ekosistem ini bukan sahaja diterajui oleh pemerintah atau agensi-agensi pemerintah tetapi badan-badan masyarakat seperti Muhammadiyah dan juga anggota masyarakat kita di Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam. Justeru, dengan adanya pendekatan seperti ini, ia memantapkan ekosistem sosial bagi kita untuk menjaga kemaslahatan kehidupan mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang sedang menua," kongsi Dr Faishal yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Gambar: MHCC

Beliau turut menyentuh tentang peranan penting yang dimainkan badan-badan Melayu/Islam untuk menyebarkan rahmat Ramadan ini.

"Pada bulan Ramadan ini, ia adalah satu peluang bagi Muhammadiyah untuk menonjolkan ciri-ciri murni dan juga manfaat yang boleh kita raikan dalam bulan Ramadan dan apabila kita mendekati penduduk-penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum, ini menunjukkan bagaimana kita mempunyai jati diri dan juga mempunyai ciri-ciri kemanusiaan yang penting," tambah Dr Faishal.

KERJASAMA DENGAN GRAB SINGAPORE

Gambar: Muhammadiyah

Pengagihan hari ini (11 Mac) bukan yang pertama menjelang Ramadan ini.

Pada Sabtu lalu (9 Mac) Persatuan Muhammadiyah bekerjasama dengan Grab Singapore untuk menghantar hamper berupa barangan makanan kepada 400 penerima bantuannya.

Ia dijalankan dengan bantuan 200 relawan.

Ia termasuk pemandu, kakitangan Grab Singapore serta relawan Muhammadiyah.

"Alhamdulillah, pada tahun ini kami menerima lebih daripada dua kali ganda para relawan yang telah datang untuk menyumbang dalam projek Ramadan ini. Tahun ini juga merupakan kali kedua kami bekerjasama dengan pihak Grab di mana mereka mempunyai para pemandu yang sedia membantu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kongsi Pengurus Pendekatan dan Penglibatan Masyarakat, Persatuan Muhammadiyah, Fadillah Razali.

"Kami sangat bersyukur dengan kolaborasi ini. Kami telah mengajak masyarakat untuk menyumbang semula tenaga dan juga kewangan untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan. Kami juga berterima kasih kepada para penderma, para penaja, individu-individu dan juga anggota korporat yang telah menyumbang kepada projek kami," tambahnya.

Ini adalah kerjasama kedua Grab Singapore dengan Persatuan Muhammadiyah.

"Kami teruja untuk bergabung dengan Persatuan Muhammadiyah dalam membantu mereka yang memerlukan menjelang Ramadan. Mengerah 50 pemandu-kongsi yang berdedikasi untuk menghantar habuan menjelang Ramadan - ini lebih daripada satu tanda penghargaan," kongsi Pengarah Urusan, Grab Singapore, Yee Wee Tang pula.

"Ia mencerminkan komitmen kami untuk meninggalkan kesan kepada masyarakat kita. Kami sangat berterima kasih kepada pemandu kongsi yang dengan murah hatinya sudah menyumbang masa mereka untuk mengambil bahagian dalam pendekatan berkesan itu. Komitmen (mereka) merangkumi semangat kemasyarakatan Grab," tambahnya.

PELUANG UNTUK SUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT

Sukarelawan dari Grab Encik Abdullah Yusof, 36 tahun, teruja dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Ini adalah sesuatu yang baik untuk kita sebagai penunggang Grab untuk memberi kembali kepada masyarakat jadi kita akan beri sokongan terutama sekali dalam bulan Ramadan ini. Ia merupakan satu usaha yang murni untuk semua,

"Jadi bila kita menghantar makan, kita dapat lihat bagaimana penerima itu sungguh bahagia apabila mendapat makanan itu. Jadi kalau kita dapat memberikan lebih - apa yang mereka memerlukan - saya rasa ia satu kerja yang sangat memuaskan yang kita boleh menyumbang kembali kepada masyarakat," ujar Encik Abdullah.

Gambar: Muhammadiyah

Bantuan yang diberikan itu amat dihargai para penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah seperti Siti Asmaniah, 71 tahun.

Cik Siti, yang menghidap barah usus, merupakan penjaga kepada anak istimewanya, 44 tahun, yang menghidap penyakit cerebral palsy.

Suaminya pula baru sahaja menjalani pembedahan jantung.

"Saya amat berterima kasih kepada Muhammadiyah yang boleh membantu saya. Sekarang saya pun banyak masalah, anak saya dan suami saya juga sudah begini. Jadi untuk suami mencari rezeki agak payah sedikit sebab dia ada masalah sebegini," ujar Cik Siti.

"Dia (suami) memang membawa Grab juga. Jadi doktor sudah pun mengarahkannya kalau boleh jangan membawa Grab sebab beliau ada masalah sebegini," tambahnya.

Secara keseluruhannya, Muhammadiyah sudapun mengagihkan 1,000 hamper dan pek prihatin perayaan berjumlah S$72,000 menjelang Ramadan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan