Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhammadiyah agih hamper barangan dapur pada 700 keluarga memerlukan menjelang Ramadan

Seramai 700 keluarga memerlukan menerima hamper barangan dapur pada Sabtu (10 Apr) daripada Persatuan Muhammadiyah sempena menyambut ketibaan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Muhammadiyah agih hamper barangan dapur pada 700 keluarga memerlukan menjelang Ramadan

Agihan hamper kepada keluarga memerlukan anjuran Muhammadiyah pada 10 Apr 2021 (Gambar: Facebook/Muhammadiyah Association of S'pore)

Diterbitkan : 11 Apr 2021 04:36PM Dikemas Kini : 11 Apr 2021 04:48PM

SINGAPURA: Seramai 700 keluarga memerlukan menerima hamper barangan dapur pada Sabtu (10 Apr) daripada Persatuan Muhammadiyah sempena menyambut ketibaan Ramadan.

Menurut kenyataan badan itu, keluarga-keluarga tersebut terdiri daripada para penerima zakat yang dibantu Muhammadiyah. Kebanyakan daripada mereka merupakan keluarga Melayu/Islam yang terjejas oleh pandemik COVID-19 dan sedang menghadapi cabaran dari segi kewangan.

Sekitar 100 relawan terlibat dalam proses membungkus dan menghantar hamper yang disumbangkan oleh para penaja dan melalui derma awam.

Agihan pada Sabtu itu adalah sebahagian daripada usaha Muhammadiyah untuk menyokong masyarakat sempena bulan Ramadan ini.

"Lebih dari 1,000 keluarga akan menerima bantuan dari Muhammadiyah pada bulan Ramadan ini. Ia merupakan jumlah penerima habuan yang tertinggi dari Muhammadiyah, mungkin kerana keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan akibat kesan pandemik COVID-19," kata Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Roszanah Abdul Salim, dalam satu kenyataan.

"Dengan sokongan yang berterusan dari para dermawan dan sukarelawan, kami berharap bantuan yang kami hulurkan kekal relevan dan dapat memberikan sinar harapan kepada keluarga yang menerima. Semoga juga Ramadan kami dan mereka lebih bermakna," tambah beliau.

KERJASAMA DENGAN KEMPEN DADAH ITU HARAM

Turut diagihkan bersama hamper tersebut adalah risalah, tuala dan pelekat Dadah Itu Haram, sebagai sebahagian daripada usaha menyebarkan mesej anti dadah.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhamamd Faishal Ibrahim, yang turut menyerikan acara agihan pada Sabtu, berkata bahawa kerjasama dengan Muhammadiyah adalah sebahagian daripada siri kerjasama dengan pelbagai badan lain sempena bulan Ramadan.

"Dengan rakan kerja seperti Persatuan Muhammadiyah, kita boleh membina daya tahan masyarakat dan membentuk masa depan belia kita. Bersama-sama, kita terus menekankan mesej bahaya dadah dalam minda kita," kata Dr Faishal.

"Kesedaran seperti ini adalah perlu demi melindungi diri kita dan orang tersayang daripada bahaya dadah."

Menurut Muhammadiyah, satu lagi agihan akan dilakukan pada 1 Mei apabila 700 keluarga akan menerima kurma, kuih-muih Hari Raya dan baucar tunai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan