Skip to main content

Singapura

Muhammad Yusry juara Senandung Rock Jiwa Retak WGS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Muhammad Yusry Abdullah Musa, 34 tahun, menjuarai kedua-dua anugerah Senandung Rock Jiwa Retak dan Persembahan Paling Mencengkam, anjuran Wisma Geylang Serai.

Pertandingan yang dianjurkan buat julung-juling kalinya itu dihadiri lebih 500 peminat tegar muzik rock.

Sebaik sahaja nama Yusry diumumkan pemenang, para penonton bersorak gembira dan beliau mengambil alih pentas, menjadikannya seperti sebuah konsert rock yang gah.

Manakan tidak, para pesaing diiringi band 'otai' profesional, Mansoor and the Rock Revolution yang turut menampilkan Mansoor Mohamad, Ady Cradle, Boy Nizam dan lain-lain lagi.

Yusry, seorang pekerja penghantaran dengan syarikat Grab, mengalahkan enam peserta lain, Saiful Kasmuri, Fadhli Wahab, Puti Indah, Mohd Mazli, Izzan Adlan dan Taufiq Tarigan.

Setiap peserta memberikan persaingan sengit kepada satu sama lain kerana kesemua mereka sudah biasa menyertai peraduan nyanyian.

Ini kemenangan berganda kedua Yusry yang sebelum ini pernah hilang keyakinan diri setelah tiba-tiba gugup di atas pentas di peringkat awal pertandingan Anugerah anjuran Mediacorp Suria pada 2009.

Pada tahun lalu, Yusry menjuarai anugerah adu bakat Grab, dan anugerah pilihan ramai.

Kemenangan berganda kali kedua ini sangat bermakna dan memulihkan semangatnya yang hilang.

"Saya menjadi lebih yakin untuk menyertai satu lagi pertandingan namun saya tidak menaruh harapan untuk menang. Jadi, sangat bermakna saya merancang untuk mendalami lagi dalam bidang muzik. Mungkin, saya akan tonjolkan bakat saya di TikTok," kata Yusry, 34 tahun.

Beliau membawa pulang hadiah utama berupa baucar restoran Mutiara Seafood bernilai S$450 dan S$100 bagi Persembahan Paling Mencengkam.

Enam peserta lain tidak pulang dengan tangan kosong.


Masing-masing membawa pulang hadiah baucar Mutiara Seafood bernilai S$350, S$200 dan S$100.

Pertandingan sulung itu menampilkan penyanyi undangan ala 'Ella versi Singapura' - Shahkila Hamid dari kumpulan Yezz, yang pernah popular dengan lagu 'Bicara Rindu'.

Selain menjadi tamu undangan, Shahkila menjadi juri pertandingan.

Sewaktu ditemui wartawan Roslinda Rahmat, Cik Shahkila meluahkan rasa besar hati bahawa setiap peserta pertandingan cukup bersedia dan menunjukkan potensi untuk pergi lebih jauh.

Diminta mengulas tentang pemenang tempat pertama, beliau meluahkan rasa yakin bahawa dengan tatarias, usaha dan peluang serta memanfaatkan wadah-wadah media sosial, Yusry boleh berjaya.

Cik Shahkila berkata, sambutan luar biasa terhadap pertandingan yang bak konsert malam Sabtu, cukup menunjukkan Rock terus diminati masyarakat Melayu dan bahawa WGS berupaya membantu memberi wadah untuk penyanyi-penyanyi muda bertapak dalam industri muzik.

Selain markah juri, undian penonton membentuk 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pemarkahan.

Aktivis teater, pelakon tv dan pengarah Rafaat Hamzah mengadili keputusan bagi Persembahan Paling Mencengkam.

Para penonton bernostalgia dan menyanyikan bersama lagu-lagu rock yang popular pada tahun-tahun 80-an dan 90-an seperti yang dinyanyikan para peserta, seperti 'Seroja' dari Search, 'Bukan Aku Tak Cinta' oleh Iklim, 'Tiara' oleh Kris dan 'dalam Gerimis' oleh Visa.

Izzan Adlan merangkul naib juara dan membawa pulang baucar bernilai S$350, sementara Mohd Mazli mendapat tempat ketiga dengan hadiah baucar S$200.

Satu-satunya peserta wanita, Puti Indah, mendapat hadiah saguhati baucar S$100.
 
Sejak dilancarkan pada tahun 2019, WGS sering menyediakan wadah bagi bakat-bakat tanah air.
Pertandingan ini tidak terkecuali.

Bersama Rudy Djoharnaen dan pasukannya, WGS mahu meraikan kreativiti yang luar biasa dalam arena muzik rock tempatan Singapura.

Encik Rudy sebagai pengarah kreatif Senandung Rock Jiwa Retak menekankan pentingnya disediakan pentas besar untuk peserta tempatan sebagai motivasi untuk mereka terus belajar dan berusaha.

Tetamu kehormat Profesor Madya Faishal Ibrahim berkata WGS komited untuk menyokong dan memupuk bakat tempatan.

"Acara seperti ini adalah penting dalam menyediakan peluang kepada pemuzik kita untuk berkembang, mendapat pendedahan, dan membina kerjaya mereka.

"Muzik rock mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan orang ramai, melangkaui sempadan budaya dan memupuk rasa kesatuan. Malam ini, kita menyaksikan kuasa muzik untuk menghubungkan dan memberi inspirasi, " kata Dr Faishal.

Tambahnya, WGS bangga dapat memainkan peranan dalam ekosistem yang menyokong seni dan budaya tempatan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita