Muhammad Syahmi pupuk kesedaran belia tentang kesejahteraan mental, muncul sebagai 'Valedictorian' Program Kepimpinan Pasukan Belia
SINGAPURA: Tidak ingin melihat belia lain melalui apa pernah dilaluinya sendiri sebelum ini.
Inilah yang menjadi antara dorongan Muhammad Syahmi Sumadi, 21 tahun, untuk menjadi seorang sukarelawan bagi membantu golongan belia sepertinya mengatasi isu kesejahteraan mental.
Lantaran itu, di bawah Program Kepimpinan Pasukan Belia (YCLP), Syahmi dan pasukannya mengendalikan projek masyarakat dengan rakan kerja antara 9 hingga 12 bulan.
"Sebenarnya motivasi saya merupakan sesuatu yang agak peribadi. Saya sudah melalui pelbagai pengalaman yang meletakkan kesihatan mental saya dalam kesukaran," kongsi Syahmi kepada BERITAmediacorp.
"Disebabkan itu, ia memberi motivasi kepada saya untuk ingin melakukan lebih banyak bagi mereka di luar sana. Sesungguhnya, saya tidak ingin mereka melalui apa yang saya melalui sebelum ini," tambahnya.
GUNA KAEDAH "ART JAMMING" PUPUK KESEJAHTERAAN MENTAL
Projek yang dipanggil 'Youth Corps Mindscape' itu bertujuan memupuk kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan belia yang tinggal di flat sewa Marsiling.
"Mindscape merupakan sebuah inisiatif yang kami lakukan untuk membina ruang selamat bagi mereka di luar sana untuk berbicara dan berkomunikasi secara terbuka," menurut Syahmi.
(Gambar: Muhammad Syahmi Sumadi)
Istimewanya, kaedah menarik seperti “art jamming” digunakan sebagai cara para peserta ekspresikan diri.
Bagi Syahmi, kepuasan dapat dirasakan apabila beliau dan pasukannya berjaya mencapai matlamat projek ini.
(Gambar: Muhammad Syahmi Sumadi)
Seramai 56 belia dari usia 12 hingga 25 tahun, didampingi mereka sepanjang 12 sesi.
"Kami dapat memupuk kesihatan mental dan kami juga dapat menolong mereka dan membina ruang selamat. Itu yang kami inginkan kerana melalui sesi-sesi yang kami adakan, mereka juga mula bertutur dengan lebih baik, mereka juga mula lebih selesa berinteraksi dengan orang lain apabila mereka berada di ruang yang kami sediakan," ujar Syahmi.
SYAHMI DIIKTIRAF DALAM YCLP; JADI 'VALEDICTORIAN' PROGRAM ITU
Beliau juga melahirkan rasa gembira apabila menjadi antara 170 pemimpin belia yang diiktiraf atas sumbangan mereka menjadi relawan selepas menamatkan YCLP.
Beliau juga terpilih menjadi antara dua 'Valedictorian' program itu tahun ini.
"Saya berasa amat bahagia kerana tidak menyangka saya akan mendapat pengiktirafan sebegini. Walaupun begitu, saya berasa bahawa sebenarnya terdapat ramai orang di luar sana yang patutnya mendapat pengiktirafan yang sama, terutamanya kumpulan saya kerana tanpa mereka, mungkin Projek Mindscape ini tidak akan menjadi," kongsi Syahmi.
(Gambar: Muhammad Syahmi Sumadi)
Menerusi projek 'Youth Corps Mindscape' ini juga, Syahmi berharap dapat menyokong lebih ramai belia dengan memahami keadaan kesihatan mereka dengan lebih baik lagi.
Presiden Halimah Yacob yang hadir bagi menyampaikan sijil-sijil itu kepada para pemimpin belia, memberi galakan kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Ini bagi membangunkan sebuah masyarakat yang penyayang dan bersepadu.
"Mereka mempamerkan keinginan kamu semua untuk melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat dan mewujudkan perubahan positif, meskipun dalam tahun-tahun pandemik yang mencabar di mana kamu tangkas menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi untuk terus berkhidmat bagi golongan kurang bernasib baik," kata Presiden Halimah.
Sejak dimulakan pada 2014, lebih 1,300 pemimpin belia sudah meraih manfaat daripada program YCLP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.