Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhammad Noramin harumkan nama S'pura; dianugerahi Belia Cemerlang Seni & Budaya India-ASEAN

Seorang anak Melayu/Islam Singapura adalah antara 10 belia yang menerima Anugerah Belia India-ASEAN yang diadakan buat julung-julung kalinya tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhammad Noramin harumkan nama S'pura; dianugerahi Belia Cemerlang Seni & Budaya India-ASEAN

Muhammad Noramin diiktiraf semasa Sidang Puncak Peringatan India-ASEAN. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Seorang anak Melayu/Islam Singapura adalah antara 10 belia yang menerima Anugerah Belia India-ASEAN yang diadakan buat julung-julung kalinya tahun ini.

Muhammad Noramin Mohamed Farid, 31 tahun, mengharumkan nama Singapura menerusi Anugerah Belia India-ASEAN dalam kategori Belia Cemerlang - Seni dan Budaya.

Acara pemberian anugerah itu diadakan semasa Sidang Puncak Peringatan Khas India-ASEAN di New Delhi, antara 23 dengan 24 Januari.

Anugerah itu mengiktiraf para usahawan dan karyawan muda dari India dan ASEAN dalam lingkungan usia antara 18 dengan 40 tahun, yang cemerlang dalam 10 kategori termasuk seni dan budaya, sukan serta perniagaan.

Ia diberikan berdasarkan sumbangan, pencapaian kerja, peranan kepimpinan, kesannya ke atas masyarakat dan keupayaan para penerima untuk mengharungi pelbagai cabaran.

KOMITED PULIHARA, PERKARA SENI & BUDAYA

Noramin diiktiraf berdasarkan komitmen beliau untuk memulihara dan memperkasa seni dan budaya persembahan tradisi Melayu.

Beliau sentiasa menguji batas diri untuk terus kekal relevan dalam landskap tarian Melayu yang berubah-ubah.

Ini mendorong Noramin mengasaskan dua buah syarikat seni, di mana beliau menghasilkan karya-karya inovatif bersama penari-penari lain menjangkaui sempadan negara.

Menerusi karyanya, Noramin bertekad menyediakan wadah untuk para penari muda menghasilkan karya baru yang inovatif.

Noramin juga mengadakan bengkel-bengkel untuk membentuk sebuah masyarakat yang menjadikan tarian tradisional relevan, mudah diakses dan inklusif.

Beliau juga merupakan anggota INSPIRIT, iaitu sebuah masyarakat yang menyatukan para pemimpin muda bagi memperjuangkan kepentingan belia.

KARYA SENI RELEVAN, PENTING

"Saya bangga dapat mewakili Singapura dan ASEAN menerusi anugerah ini. Yang paling penting, saya melihatnya sebagai batu loncatan buat para pejuang seni tradisional dan cendekiawan seperti saya untuk terus menekankan bahawa karya seni kami masih relevan hari ini dan juga pentingnya peranan seni serta golongan muda yang memperjuangkan seni untuk menerajui perubahan ke arah masyarakat lebih baik," kata Noramin.

Pencapaian Noramin sememangnya boleh dijadikan contoh oleh golongan belia lain.

Noramin pernah menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong bagi kategori cemerlang sebagai mengiktiraf usaha beliau memperkasa seni tari Melayu di pentas dunia menerusi himpunan seni "The Bhumi" di Britain, pada tahun 2016.

Tahun lalu, Noramin sekali lagi diiktiraf menerusi Anugerah Belia Singapura 2017.

Selain Noramin, dua lagi belia Singapura turut menerima pengiktirafan dalam bidang perniagaan.

2 LAGI BELIA S'PURA TURUT DIIKTIRAF

Jesher Loi, 32 tahun, menerima anugerah dalam kategori Belia Cemerlang - Perniagaan Keluarga. Beliau merupakan generasi ketiga yang mengendalikan perniagaan keluarganya di Singapura, iaitu Ya Kun.

Beliau berjaya mengembangkan perniagaan keluarganya ke Asia Tenggara, Jepun, Korea dan negara-negara lain dan banyak menyumbang kembali kepada masyarakat.

Seorang lagi penerima Singapura, Daryl Neo, 33 tahun diiktiraf dalam kategori Idea Perniagaan Paling Inovatif, menerusi aplikasi Handshakes yang dihasilkannya.

Aplikasi itu adalah wadah maklumat risikan perniagaan yang menggabungkan kecerdasan buatan dengan Analisis Rangkaian untuk menganalisis struktur syarikat.

Anugerah Belia India-ASEAN itu dikendalikan oleh Kementerian Ehwal Luar India (MEA) dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perusahaan India (FICCI). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan