Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhammad Fauzi Haji Moktar muncul mahasiswa terbaik bukan dari Mesir di Universiti Al-Azhar

Anggaran Waktu Membaca:
Muhammad Fauzi Haji Moktar muncul mahasiswa terbaik bukan dari Mesir di Universiti Al-Azhar

(Gambar: Muhammad Fauzi Haji Moktar)

BERITAmediacorp: "Belajar betul-betul."

Meskipun ringkas, nasihat ibu bapa Muhammad Fauzi Haji Moktar tersirat dalam benak fikirannya hingga ke hari ini.

Nasihat itu jugalah yang menjadi kata-kata semangat dan pendorong buat mahasiswa tahun ketiga di Universiti Al-Azhar itu untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Ini sehingga Fauzi berjaya muncul sebagai pelajar terbaik dalam kalangan penuntut bukan dari Mesir di universiti itu, dalam jurusan Bahasa dan Sastera Arab.

FAUZI PELAJAR TERBAIK BUKAN DARI MESIR DI UNIVERSITI AL-AZHAR

Dalam pengajian tahun ketiganya, Fauzi mengambil 14 subjek kesemuanya dan dia berjaya meraih gred mumtaz (cemerlang) bagi lapan daripada mata pelajaran itu.

Secara keseluruhan, Fauzi meraih 1260 mata daripada markah keseluruhan sebanyak 1400 mata.

"Sejujurnya saya sangat gembira, Alhamdulillah. Saya terkejut juga tetapi apabila saya pandang ke belakang, saya rasakan bahawa segala kerja keras saya berbaloi, dan saya sangat berpuas hati," ujar Fauzi.

Pencapaian yang diperoleh Fauzi itu memang tidak datang bergolek.

Antaranya, Fauzi perlu bekerja lebih keras berbanding sewaktu tahun kedua pertamanya di Universiti Al-Azhar.

"Apabila saya tamat pengajian tahun kedua, saya sudah tekad perlu lebih gigih belajar. Tahun ketiga di universiti ini, ramai yang kata adalah "killer year". Jadi saya sebagai seorang yang suka dengan cabaran, menjadi lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik," kata Fauzi.

"Apabila memulakan pengajian tahun ketiga ini, saya memulakan pelajaran sangat awal. Sebelum kuliah, saya sudah membaca nota-nota. Selepas kuliah, saya sambung belajar dan membuat hafalan. Saya membuat itu sehinggakan senang untuk memetik sahaja daripada benak fikiran apa yang diperlukan dalam soalan-soalan," tambahnya lagi.

Bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu antaranya perlu menghafal tiga juz pertama kitab Al-Quran dan 150 bait syair Arab.

Untuk memahami secara mendalam subjek-subjek yang dipelajarinya, Fauzi cuba berinteraksi dan merapatkan diri dengan para penuntut dari negara-negara Arab di universiti itu.

"Kawan-kawan saya dari Arab, mereka sangat rajin dan mahir membuat nota-nota. Saya juga meminta pertolongan mereka dari segi nota-nota dan dari situlah saya rasakan saya lebih memahami topik-topik yang diajar di dalam kuliah," kata Fauzi.

Meski menjadi pelajar terbaik yang bukan berasal dari Mesir, Fauzi akur bahawa ada banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilaluinya.
Muhammad Fauzi Haji Moktar (dua dari kiri) dan rakan-rakannya. (Gambar: Muhammad Fauzi Haji Moktar)
"Saya selama dua tahun tidak pulang ke Singapura, jadi rasa rindu itu sangat kuat. Bukan sekadar rindu juga tetapi perasaan ingin bersama saya secara fizikal. Perasaan ini yang selalu saya fikirkan dan kadangkala ia menjejas fokus saya semasa belajar," kata Fauzi.

"Namun saya perlu terus mengawal perasaan saya. Bila masa untuk belajar, saya perlu belajar. Jadi saya perlu ketepikan perasaan rindu itu, untuk mencapai yang terbaik untuk pelajaran saya," tambahnya.

Kini setelah dua tahun, beliau dapat mengubati rindunya dan pulang ke tanah air bagi meluangkan masa bersama anggota keluarga dan sahabat handai selama tiga bulan.

Ini sebelum Fauzi kembali ke Mesir pada Oktober akan datang bagi memulakan pengajian tahun keempatnya.

INGIN JADI PELAJAR NOMBOR SATU DI UNIVERSITI AL-AZHAR

Dengan tekad yang lebih teguh, Fauzi akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk cuba memperbaiki prestasi yang dicapainya.

"Saya akan cuba mendapatkan keputusan cemerlang sekali lagi dan kali ini, akan cuba untuk mendapat tempat pertama bagi seluruh kohort fakulti Bahasa dan Sastera Arab," ujar Fauzi.

Fauzi juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa azamnya untuk meraih keputusan paling cemerlang pada tahun depan, adalah untuk membanggakan ibu bapanya.

"Memang daripada dahulu, mereka ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan, dan juga dalam pelajaran. Jadi dengan pencapaian yang saya pernah raih dan insya-Allah, akan saya akhir, saya harap akan dapat membuat mereka gembira dan bangga," ujar Fauzi.

Di samping menjadi seorang penuntut Universiti Al-Azhar, Fauzi juga menyertai jawatankuasa luar darjah untuk menganjurkan acara-acara bagi para penuntut dari masa ke masa.

Fauzi berkata: "Antara objektif saya sebagai pelajar adalah juga untuk menolong kawan-kawan saya. Semasa pengajian tahun pertama, ada beberapa kawan saya yang tidak dapat melangkah ke peringkat pengajian seterusnya, dan hal itu membuat saya sangat sedih. Ia seakan-akan membuat saya merasakan seperti saya tidak dapat menolongnya."

Lantaran itu, Fauzi juga berikhtiar untuk meluangkan lebih banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakannya.

Jika tiada aral melintang, Fauzi akan menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar pada bulan Jun tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan