Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti tulis surat kepada PM Lee berhubung pemakaian tudung; penting sampaikan pandangan MUIS secara langsung

Dasar pemakaian tudung bagi para jururawat yang menurut pemerintah berkemungkinan akan diubah rata-rata menerima sambutan yang positif daripada masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dasar pemakaian tudung bagi para jururawat yang menurut pemerintah berkemungkinan akan diubah rata-rata menerima sambutan yang positif daripada masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini (31 Mac), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan bahawa Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam suratnya itu, Mufti berpendapat bahawa menyampaikan pandangan MUIS berhubung isu itu secara langsung kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong adalah sesuatu yang bermanfaat.

Dalam surat yang dikirimkan kepada PM Lee pada Sabtu (27 Mac), Dr Nazirudin berkata masyarakat Muslim meluahkan penghargaan kerana ia adalah satu keputusan yang rumit dengan banyak pertimbangan yang sukar dan bercanggah.

"Anda menjelaskan kepada masyarakat sebelum ini bahawa kedudukan Pemerintah tidak statik dan dasar-dasar harus berubah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

"Kami diberi jaminan bahawa pemerintah dapat melihat sebab-sebab mengapa para jururawat Muslim boleh memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian dan menyatakan bahawa satu keputusan akan dibuat apabila rundingan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan berhubung isu itu selesai dijalankan.

"Dengan penilaian semula ini, kami berharap para jururawat Muslim akan meraih keselesaan dan dapat terus cemerlang dalam kerjaya mereka," kata Dr Nazirudin.

Dalam surat yang sama, Dr Nazirudin turut menyampaikan penghargaan kepada pemerintah, bagi pihak para jururawat Muslim.

"Dalam sebuah masyarakat berbilang agama, ia benar-benar tidak mudah untuk menangani aspirasi dan jangkaan yang berbeza-beza dan mengekalkan tahap kepercayaan dan keyakinan tinggi antara masyarakat pada masa yang sama.

"Kami menyokong sepenuhnya pendekatan tidak berpihak Pemerintah dalam memberi layanan adil kepada pelbagai kumpulan agama, di samping mengadakan rundingan dengan masyarakat dan menimbangkan kesan dasar-dasarnya terhadap masyarakat.

"MUIS sangat menghargai peluang untuk terus menyediakan maklum balas dan sumbangan berhubung pelbagai isu negara termasuk isu tudung," kata Dr Nazirudin.

PEMERINTAH FAHAM PENTINGNYA SOSIO-AGAMA

Dalam suratnya kepada Mufti Negara pada Rabu (31 Mac), PM Lee berkata Pemerintah memahami betapa pentingnya sosio-agama dari sudut pemakaian tudung dalam kalangan masyarakat Muslim di Singapura dan juga keinginan sebilangan jururawat Muslim untuk memakai tudung di tempat kerja jika mereka berhasrat untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu, PM Lee juga menarik perhatian bagaimana Singapura telah mencapai keseimbangan halus dari semasa ke semasa, yang menimbangkan dan mengambil kira kepentingan semua masyarakat di negara ini.

"Namun keseimbangan ini adalah dinamik. Sedang generasi muda rakyat Singapura semakin meningkat usia dan terdapat perubahan sikap, isu-isu dan tekanan baru akan muncul. Ia perlu ditangani dengan mengambil kira konteks Singapura.

"Sebarang perubahan perlu dipertimbangkan secara berhati-hati dan berperingkat. Selepas itu, perubahan tersebut dapat difahami dan diterima oleh semua masyarakat dan hasilnya, ia akan mengukuhkan dan tidak melemahkan keharmonian kaum dan agama di sini," kata PM Lee.

Mengakhiri suratnya, PM Lee mengucapkan terima kasih kepada MUIS atas usahanya dalam membantu mengukuhkan keharmonian kaum dan agama di Singapura sejak sekian lama.

"Saya mengalu-alukan kerjasama bersama MUIS untuk mengukuhkan perpaduan sosial dan mencapai kemajuan bagi masyarakat Muslim dan kesemua rakyat Singapura," kata PM Lee.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan