Mufti seru masyarakat Islam perbaharui azam, perteguh ketakwaan sempena tahun baharu 1445H
SINGAPURA: Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir menyeru masyarakat Islam untuk mengambil kesempatan tahun baharu 1445 Hijrah bagi membuka lembaran baharu, memperbaharui azam dan menyegarkan semula keimanan.
Beliau menekankan demikian dalam tazkirah yang disampaikannya di majlis sempena tahun baharu di Masjid Muhajirin hari ini (18 Jul).
Bagi lebih mudah diingati, Dr Nazirudin menjelaskan hal itu menggunakan singkatan 3 'R'.
"Moga-moga tahun baharu ini kita dapat 'reset', maksudnya kita mulakan semula dengan baik hubungan kita dengan Allah swt. Kedua kita 'reset' dari segi akhlak kita, maknanya ini perlu muhasabah. Lihat mana tabiat yang tak baik," kata Dr Nazirudin.
"Setelah kita 'reset', kedua kita 'refresh' maknanya kita segarkan semula keimanan kita. Kita segarkan semula hubungan kita dengan agama kita. Yang ketiga, tahun baharu ini cuba kita 'recharge' bermakna keimanan ini kita tambah dengan amalan-amalan baik," tambah beliau.

Tazkirah itu disampaikan selepas Mufti memimpin bacaan doa awal tahun usai solat Maghrib berjemaah.
Dr Nazirudin juga mengingatkan jemaah supaya menjauhi perkara-perkara yang tidak baik.
"Hari ini terlalu mudah sangat, jalan-jalan untuk kebaikan pun mudah tapi jalan-jalan kejahatan pun mudah, boleh dibahaskan ia barangkali lebih mudah kerana ia selari dengan naluri manusia, jadi kena berhati-hati," jelas beliau.
TIMBALAN MUFTI SENTUH TENTANG KEPENTINGAN MUHASABAH DIRI
Awal sebelum itu, sekitar 500 jemaah yang hadir di Majlis 'Fi Rihabi Rahmah' itu turut mengikuti ceramah yang disampaikan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar.
Majlis sambutan awal Muharam itu juga merupakan yang pertama bagi beliau selaku Timbalan Mufti sejak menyandang jawatan itu pada Mei lalu.
Timbalan Mufti Negara, Dr Izal Mustafa Kamar berkata: "Di penghujung tahun ini merupakan masa yang begitu sesuai untuk setiap individu itu membuat muhasabah beliau ini juga membuat perhitungan semula akan masa yang Allah kurniakan.
"Persoalannya adalah bagaimana dia dapat mempergunakan masa yang Allah swt kurniakan sebaik mungkin."
Majlis itu dianjurkan bersama Pejabat Mufti, Masjid Muhajirin dan SalamSG.
Rakaman penuh tazkirah oleh kedua-dua Dr Nazirudin dan Dr Izal boleh ditonton di YouTube SalamSG TV.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.