Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti seru masyarakat Islam ambil serius semua langkah keselamatan COVID-19

Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir menyeru masyarakat Islam supaya terus memelihara dan melindungi segenap lapisan masyarakat dengan mengambil serius semua langkah keselamatan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir menyeru masyarakat Islam supaya terus memelihara dan melindungi segenap lapisan masyarakat dengan mengambil serius semua langkah keselamatan COVID-19.

Dalam khutbah Aidilfitri beliau yang juga dibacakan di masjid-masjid serata negara hari ini, Dr Nazirudin juga mengajak masyarakat supaya "berazam agar tidak berlaku sebarang jangkitan di musim Raya ini dan selanjutnya".

Beliau menekankan bahawa walaupun "kita mula merasa lelah", "perjuangan ini masih berterusan".

Seruan beliau itu dibuat sedang Singapura menyaksikan jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat, mencecah 24 orang pada Khamis (13 Mei) - iaitu yang tertinggi dalam sehari sejak Julai tahun lalu.

MUFTI PIMPIN SOLAT AIDILFITRI DI MASJID YUSOF ISHAK

Di Masjid Yusof Ishak, gema takbir yang berkumandang terasa cukup syahdu dan memecah keheningan pagi Syawal.

Solat Aidilfitri pada pagi boleh dianggap cukup istimewa, kerana tahun lalu tidak satu pun masjid di Singapura menganjurkannya dek langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 (Circuit Breaker) yang bertujuan memerangi penularan COVID-19.

Namun demikian, solat Hari Raya pada Khamis (13 Mei) dijalankan di bawah iklim pengurusan selamat yang diperketat kerana jangkitan dalam masyarakat terus bertambah.

Maka itulah sekitar 17,000 jemaah sahaja berpeluang mengerjakannya di masjid-masjid merata Singapura.

Encik Amzah Abdul Salam, 69 tahun, yang dapat menempah slot bagi sesi pertama berkongsi kepada BERITAmediacorp kegembiraannya dapat mengerjakan ibadah itu pagi tadi: "Pertama sekali apabila saya dapat dipilih dalam laman tempahan itu, saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan pertolonganNya, saya dapat hadir ke solat Aidilfitri ini."

"Bagi mereka yang dapat solat Aidilfitri pada pagi ini memang kita rasa sangat bersyukur. Ini kerana ia peluang yang Tuhan sudah berikan untuk kita datang ke masjid, ke rumah Allah, peluang yang sangat dinanti-nantikan," kata Encik Mohd Zubair Hariz Mohd Zaki, 28 tahun, yang juga mendapat slot di masjid yang sama.

KEFAHAMAN AGAMA YANG TEPAT DORONG PENYESUAIAN KETIKA KESULITAN

Dalam khutbah Aidilfitri beliau di masjid ini kemudian, Mufti Dr Nazirudin menarik perhatian betapa umat Islam tempatan berjaya bangkit membuat penyesuaian di tengah-tengah cabaran pandemik ini.

Itu bukti bahawa "kehidupan agama kita tidak beku dan layu" serta "tidak menyebabkan kemudaratan" kata Mufti.

Kefahaman agama yang diamalkan Muslim Singapura juga tidak "condong kepada kesusahan dan menyempitkan", tambah beliau lagi.

"Kita masih di dalam keadaan serba kekurangan. Ramai yang tidak dapat turut serta di dalam solat Hari Raya di masjid. Pastinya ada yang kecewa dan bersedih. Yang menjadi penghalang adalah keadaan kita yang masih mencabar dan tidak menentu.

"Namun, kita boleh membuat pilihan saudara-saudara sekalian, sama ada kita melihat Hari Raya ini dengan kaca mata kekurangan, kita berasa sedih dengan segala kekurangan yang kita hadapi.

"Atau dengan mengenang nikmat yang dapat kita rasakan walaupun tidak sebanyak yang kita dambakan, lantas kita merasa syukur kepada Allah s.w.t, bergembira dan meraikan maksud Aidilfitri," menurut Dr Nazirudin.

BERAYA DENGAN SELAMAT ADALAH TANGGUNGJAWAB SEMUA

Dalam khutbahnya itu, Ustaz Nazirudin turut memberi nasihat kepada masyarakat untuk berazam agar tidak berlaku sebarang jangkitan sepanjang bulan Syawal ini.

Beliau akur, masyarakat sudah memainkan peranan masing-masing, namun perjuangan kita mengatasi pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Para jemaah yang BERITAmediacorp temui rata-rata bersetuju bahawa semua orang perlu bekerjasama dalam perjuangan melawan COVID-19.

"Kita perlu sentiasa ingat bahawa SOP dan segala yang kita sudah buat selama ini untuk menghalang virus ini daripada merebak, kita patut teruskan jangan leka dan alpa," ujar Encik Sufyan.

Encik Amzah turut menyuarakan sentimen yang sama: "Bagaimana yang dikehendaki Pemerintah dan juga pihak MUIS, kita akur dengan apa yang diusahakan. Kita ikut sahaja, asalkan itu datangkan kebaikan dan manfaat kepada semua umat Islam di Singapura."

Yang pasti kata Mufti, Hari Raya tahun ini lebih baik daripada tahun lalu.

Namun demikian, di banyak negara lain ramai penduduknya yang tidak dapat menyambutnya dengan meriah dan hidup dalam ketakutan kerana penularan wabak COVID-19. Ada pula yang sedang cedera di tempat konflk dan keganasan, kata beliau.

Lantaran itu Dr Nazirudin menasihati agar masyarakat hanya mengejar kebaikan untuk semua orang di sekeliling.

Di masjid-masjid seluruh Singapura , tidak seperti zaman sebelum pandemik, solat Aidilfitri selesai dengan tiada tradisi bersalaman dengan Mufti mahupun saling berdakapan antara jemaah.

Jelas, suatu norma baru demi kebaikan semua.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa