Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti seru asatizah terus bimbing masyarakat & berani berpendirian teguh

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Asatizah berperanan untuk terus membimbing masyarakat Islam agar tidak mudah dipengaruhi dengan kepalsuan dan kekeliruan yang mudah tersebar di media sosial mahupun ruang-ruang lain.

Asatizah juga harus memelihara dan memperkukuhkan pendekatan jama’i di Singapura, yang dipimpin oleh Jawatankuasa Fatwa dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), khususnya dalam isu-isu yang terkait dengan masyarakat dan asatizah setempat.

Malah, asatizah sendiri tidak sepatutnya menambahkan kekusutan, apatah lagi sekiranya sesuatu yang dipertikaikan itu adalah sangkaan semata-mata ataupun kerana kurang ilmu dan kefahaman di luar bidang pengkhususan mereka.

Nasihat ini ditekankan oleh Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir semasa menyampaikan ucapannya di Majlis Hari Raya Asatizah Bersama Mufti 2022 yang dihadiri 250 asatizah semalam (19 Mei).

"Keyakinan sedemikian mudah luntur dan dilemahkan dengan sangkaan bahawa kita adalah masyarakat Islam minoriti, di dalam negara sekular dan majoriti bukan Islam, dan negara yang amat kecil sekali," tegas Mufti semasa menyampaikan ucapannya yang bertajuk “Daya Tahan Keagamaan dan Peranan Kepimpinan Agama di Era Pasca Pandemik”.

Bagi menekankan mesejnya itu, Mufti merujuk kepada betapa pentingnya masyarakat Islam mengambil pengajaran daripada pengalaman bersama dalam menangani krisis COVID-19.

Dalam ucapannya itu, Mufti turut menyentuh bagaimana keprihatinan dan tanggungjawab para asatizah dan kepimpinan keagamaan, bergabung dengan pakar sains perubatan, mengorak langkah keselamatan dan berjaga-jaga yang bukan saja berjaya menyelamatkan nyawa bahkan memelihara dan mengekalkan semangat keagamaan dalam kalangan masyarakat Islam.

Menurut Mufti, keyakinan terhadap identiti agama umat Islam Singapura yang unik serta peraturan kontekstual adalah kunci bagi kepimpinan dan bimbingan agama yang berkesan, terutamanya sedang negara ini menuju ke era pasca pandemik.

"Tidak dinafikan penyesuaian adalah sesuatu yang sukar dan mencabar, apatah lagi dalam masa yang amat singkat dan dalam situasi yang tidak menentu. Namun, kemampuan serta keyakinan untuk membuat penyesuaian berdasarkan pendekatan yang perlu diambil, yang kemudiannya menghasilkan natijah yang baik, seharusnya memberi kita suntikan semangat dan kepastian bahawa kita berada di atas landasan yang betul."

"Oleh itu, kami amat menghargai peranan para asatizah yang telah banyak berkorban dalam mengemudi bahtera kepimpinan agama di tanah air tercinta ini dan saya amat menyanjung sikap serta usaha asatizah sebagai pelopor penyesuaian berpandukan ilmu yang mendalam dan prinsip yang tegas."

"Kita juga mengekalkan kesatuan sesama kita agar masyarakat tidak keliru dan bingung dengan apa yang harus dilakukan dalam situasi yang amat mencabar, " kata Dr Nazirudin.

<p>Gambar: MUIS</p>

Dr Nazirudin turut menasihatkan para asatizah agar bersedia menangani pelbagai cabaran mendatang, terutama yang melibatkan juga masyarakat yang berbeza-beza.

"Masih banyak lagi cabaran yang menanti, di hari ini dan di hari muka. Namun, kita perlu bersedia dalam berhadapan dengan beberapa perkara (1) tiada contoh dalam turath keagamaan; (2) tiada kesamaan dengan pengalaman masyarakat dan negara lain; (3) terdapat perbezaan dengan negara-negara Islam dalam sesuatu keputusan."

"Keputusan-keputusan kita barangkali berbeza dengan negara-negara lain kerana perbezaan realiti, cabaran, serta keperluan masing-masing. Kita perlu terus berlapang dada dan menghormati satu sama lain, tanpa merasa pendirian kita lemah atau harus diragui," jelas beliau selanjutnya.

Beliau juga menyeru para asatizah supaya terus bersatu dalam memberikan bimbingan agama kepada masyarakat Islam Singapura.

"Apabila berhadapan dengan situasi unik ini, adalah tanggungjawab kita untuk mencari huraiannya, bukan tanggungjawab orang lain, atau badan fatwa lain, atau institusi ulama dan asatizah lain. Yang kita benar-benar perlukan adalah keyakinan dengan identiti keagamaan kita dan pendekatan kita tersendiri, walaupun di luar sana ramai yang memberi komentar, serta melontar tuduhan ataupun cemuhan. Yang memikul amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T. adalah kita, orang Singapura," tegas beliau.

Dr Naziruddin juga merakamkan penghargaannya kepada pengorbanan dan sumbangan para asatizah semasa pandemik dan menggesa mereka supaya mengekalkan pengajaran yang diperolehi.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan