Mufti seru asatizah sumbang dalam membina masyarakat Islam yang progresif
Perbincangan agama dalam kalangan asatizah perlu berpaksikan konteks kehidupan di Singapura dan menghormati status ‘Urf atau norma kehidupan yang sudah diterima masyarakat umum.

Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram menyampaikan amanat Hari Raya 2018 kepada asatizah setempat. (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Perbincangan agama dalam kalangan asatizah perlu berpaksikan konteks kehidupan di Singapura dan menghormati status ‘Urf atau norma kehidupan yang sudah diterima masyarakat umum. Ini selagi norma-norma itu tidak bercanggah dengan syariat agama.
Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menekankan demikian semasa berucap di majlis Perjumpaan Hari Raya Asatizah Bersama Mufti 2018 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Suntec Isnin lalu (2 Jul).
Dalam ucapannya, Dr Fatris merujuk kepada frasa al-khitab ad-dini iaitu wacana keagamaan. Para asatizah kata beliau harus mengorak langkah ke hadapan dalam memahami erti sebenar wacana yang berlandaskan konteks Singapura itu secara menyeluruh.
“Jika bicara dan perbincangan kita hanya berligar sekitar bahasa dan makna sahaja, walaupun berpaksikan nas dan wahyu, tetapi terasing daripada realiti kehidupan, maka ia tidak diklasifikasikan sebagai sebuah wacana yang serius dan berkesan,” kata Dr Fatris.
Tambah beliau, asatizah memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat Islam yang teguh dengan pegangan agama, pada masa yang sama berkeyakinan tinggi untuk berinteraksi dan menyumbang di dalam masyarakat majmuk.
Lantaran itu, wacana atau perbincangan agama seperti itu diharapkan dapat membangunkan keupayaan para asatizah khusus dalam isu-isu berkaitan dengan silang agama serta kepelbagaian aliran dalam Islam.
JANGAN “TERPERANGKAP” DENGAN ISU-ISU LAMA
Beliau turut menekankan bahawa ini penting untuk difahami dengan betul supaya para asatizah tidak “terperangkap” dengan isu-isu lama yang diulang-ulang dari satu generasi ke satu generasi yang lain, seolah-olah tiada penghujungnya.

Acara tahunan kali ini membawa tema 'Semarak Langkah, Bersama Mencorak Kehidupan Beragama'. (Gambar: MUIS)
“Hasilnya, kita akan lihat, generasi asatizah hari ini – yang kurang peka akan al-Khiṭāb ad-Dīnī masakini – akan menghangatkan atau memanaskan semula isu-isu lama yang sudah dibahaskan dahulu oleh para ulama dan guru-guru kita,” tegas Dr Fatris.
Sebagai contoh beliau memetik isu hukum menyambut awal Muharram dan bacaan doa awal dan akhir tahun yang ditimbulkan setiap kali menjelang awal Muharram, perbincangan soal menyambut Maulid ar-Rasul pada bulan Rabiul Awwal serta isu berapa rakaat solat terawih yang diterima Syara’ pada bulan Ramadan.
ASATIZAH CORAK KEHIDUPAN KEAGAMAAN MASYARAKAT
Selain itu, kegagalan untuk memahami konsep al-Khitab ad-Dini secara menyeluruh menyebabkan “kita turut terpegun dengan paluan gendang yang dipukul oleh golongan agamawan negara-negara lain, sehingga kita terbawa-bawa menari sama seirama dengan paluan tersebut”.
Sekali lagi Dr Fatris menekankan bahawa konteks di Singapura sangat berbeza dengan konteks di negara-negara lain.
“Kitalah yang harus mencorak agenda al-Khiṭāb ad-Dīnī di dalam masyarakat kita, bukan mereka yang mencorakkan kehidupan keagamaan bagi masyarakat kita. Sampai bila kita akan terus terperangkap dalam isu sedemikian yang tidak memberi sumbangan utuh kepada pembangunan dan kesatuan institusi asatizah,” kata Dr Fatris.
“BERLAPANG DADA, HORMAT MENGHORMATI” DALAM ISU KHILAF ULAMA
Dr Fatris juga merujuk kepada isu-isu yang termasuk dalam kategori yang dikhilafkan ulama, seperti hukum bermaaf-maafan di Hari Raya, hukum imsak sebelum azan subuh dalam bulan Ramadan serta hukum solat taubat serta solat tasbih berjemaah.

Lebih 500 asatizah menghadiri perjumpaan Hari Raya tahun ini. (Gambar: MUIS)
“Kita telah dididik untuk berlapang dada dan bersikap saling hormat menghormati di dalam perkara-perkara berkenaan. Setiap kita diberi hak untuk memilih pendapat mana yang diyakininya, berdasarkan dalil dan hujah yang ada,” ujar beliau.
Sungguhpun demikian, apabila pelaksanaan sesuatu amalan sudah diterima secara meluas untuk sekian lama, ini bermakna ia sudah membentuk norma dalam kehidupan beragama masyarakat. Maka ia tidak boleh diperlekehkan mahupun diserang dengan kekasaran sikap atau bicara.
“Tidak wajar kita memaksa ukur tara pandangan kita ke atas orang lain yang berbeza pandangan, dengan merasakan ia lebih penting daripada ukur tara yang sudah menjadi ‘Urf yang sebati di dalam masyarakat,” kata Dr Fatris.
KESAN NEGATIF ABAIKAN ‘URF
Sekiranya ini diabaikan, Dr Fatris menggariskan tiga kesan negatif yang akan timbul.
Pertama, ia akan memecah-belahkan perpaduan masyarakat Islam, kedua ia memberi isyarat bahawa para asatizah gagal letakkan keutamaan wacana keagamaan untuk masyarakat dan ketiga, terlepas pandang keperluan asatizah sebagai ilmuwan agama untuk memainkan peranan yang lebih kritikal bagi mencorak norma baru yang positif untuk masa depan bersama masyarakat.
Sebagai mengakhiri ucapannya itu, Dr Fatris sekali lagi menyeru kepada para asatizah untuk sama-sama memahami al-Khitab ad-Dini berdasarkan konteks Singapura secara menyeluruh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.