Mufti sampaikan ceramah kepada sekitar 400 banduan; terapkan keyakinan & sifat cekal
Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini (30 Mac) bertemu dengan sekitar 400 banduan Muslim kesemuanya dan menyampaikan satu sesi ceramah sempena pertemuan itu.
SINGAPURA: Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini (30 Mac) bertemu dengan sekitar 400 banduan Muslim kesemuanya dan menyampaikan satu sesi ceramah sempena pertemuan itu.
Ini merupakan kunjungan beliau yang pertama ke kompleks penjara selaku Mufti dan merupakan sebahagian daripada program pendidikan agama di bawah inisiatif FITRAH.
FOKUS PENTING DALAM BANTU BANDUAN RAIH SIJIL
Dihukum penjara atas kesalahan dadah sejak lima tahun lalu, 'Aqil' - bukan nama sebenar - kerap terbayangkan kesulitan yang mungkin dihadapi selepas keluar penjara kelak.
Berbekalkan azam mahu merubah hidupnya, lelaki berusia 32 tahun itu menduduki dan berjaya lulus Peperiksaan GCE 'N' pada 2018 dan Peringkat 'O' setahun kemudian dari dalam bilik penjara.
Kini penuntut Diploma Pengajian Perniagaan dalam jurusan Pengurusan Rantaian Bekalan Antarabangsa, akur aspek fokus itu penting untuk mencapai matlamat yang disasarkan.
"Kesilapan besar saya adalah saya hilang fokus apa matlamat yang saya ingin capai untuk diri sendiri dan keluarga. Saya rasa dengan ada fokus lebih baik, dapat menjauhi segala masalah-masalah seperti gejala sosial dan banyak lagi. Dengan fokus, saya dapat meneruskan mata pelajaran saya dengan lebih baik dan juga memperolehi sijil yang saya inginkan setelah sekian lama," kata Aqil.
Faktor itu juga merupakan antara yang disentuh Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam lawatannya ke Pusat Tanah Merah hari ini (29 Mac).
PENTINGNYA SIFAT BERDAYA TAHAN DALAM AGAMA
Di sini beliau turut menyampaikan ceramah motivasi kepada 20 pesalah secara bertemu muka dan lagi sekitar 380 pesalah lain dari Kompleks Penjara Changi mengikutinya secara langsung menerusi online.

"Tujuan saya untuk memberikan mereka harapan, dan juga kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka seperti kita juga, boleh menjadi insan yang lebih baik dan juga memperbetulkan segala kesilapan yang lampau, dan boleh memiliki daya tahan yang tinggi dalam diri mereka untuk menghadapi apa pun cabaran dan kesukaran apabila mereka keluar nanti," kata Dr Nazirudin.
Dalam sesi ceramah itu, Dr Nazirudin turut menarik perhatian tentang sifat daya tahan dalam agama dan bagaimana ia dapat membantu para pesalah.
Ia turut disampaikan melalui nukilan kisah-kisah dan doa para Nabi seperti yang terkandung dalam Al-Quran.
Para tahanan antara lain juga bertanya tentang Ramadan serta hukum pengambilan vaksin COVID-19 dan jika ujian swab membatalkan puasa mereka.
Ceramah Mufti itu adalah sebahagian daripada program FITRAH yang memberi sokongan menyeluruh kepada para pesalah dan keluarga mereka.

"Kita bukan sahaja membangunkan kurikulum yang lebih holistik tetapi juga di mana kita dapat memberikan ruang kepada mereka bukan sahaja untuk mendapatkan ilmu, tetapi juga mengimbas kembali kehidupan mereka dan mengadakan proses refleksi dalam kehidupan mereka," menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Antara rancangan Pejabat FITRAH adalah untuk meningkatkan mutu program dalam penjara serta menghulurkan bantuan segera kepada pesalah dan keluarga mereka selepas mereka bebas dari penjara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.