Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti S'pura: 13 pemimpin Melayu/Islam hargai "kesungguhan dan keikhlasan" minta maaf

"Penting untuk kita terus menjaga saluran komunikasi yang terbuka," kata Dr Fatris Bakaram.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Fatris Bakaram berkata, 13 pemimpin Melayu/Islam yang ditemui Paderi Yang Tuck Yoong dari Gereja Masyarakat Cornerstone (CSCC), "menghargai keikhlasan dan kesungguhan" paderi tersebut datang berkunjung ke Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk meminta maaf.

Ini berhubung komen-komen yang dikatakan anti-Islam oleh seorang pendakwah Kristian dari Amerika Syarikat, Lou Engel, semasa beliau berada di Singapura pada bulan lalu. Pendakwah tersebut diundang oleh CSCC.

"Penting untuk kita terus menjaga saluran komunikasi yang terbuka, kesungguhan kita untuk memelihara keharmonian ini dan juga perhatian yang kita berikan kepada saluran hubungan terbuka itu yang membolehkan pertemuan yang amat istimewa ini untuk dijalankan," ujar Mufti Fatris kepada pihak media, selepas pertemuan dengan Paderi Yang itu.

Selain Mufti dan mantan mufti Shaykh Syed Isa Semait, antara pemimpin Melayu/Islam lain yang hadir semasa sesi pertemuan itu termasuklah Ustaz Hasbi Hassan (PERGAS & RRG); Abdul Razak Maricar (MUIS); Rahayu Mohamed (PPIS); Rahayu Buang (MENDAKI); Hussaini Abdullah (Pertapis); Safarin Amerudin (Perdaus); Abdul Hamid Abdullah (AMP) dan Mohamed Ghouse (FIM).
"Saya sendiri telah sendiri menekankan betapa pentingnya sebagai pemimpin agama, sama ada di pihak kita orang Islam mahupun masyarakat Kristian, mahupun masyarakat agama yang lain, amat penting untuk kita menghargai kehidupan bersama yang penuh dengan harmoni," tekan Dr Fatris lagi.

MENGAPA PADERI YANG MEMINTA MAAF?

Paderi Yang menyatakan dalam pertemuan dengan para pemimpin Melayu/Islam itu bahawa beliau meminta maaf kerana “mengundang pendakwah" tersebut.

Encik Lou Engle membuat beberapa kenyataan yang dikatakan boleh menjejas keharmonian agama di Singapura.

Ini termasuklah mengatakan bahawa “orang Muslim sedang mengambil alih selatan Sepanyol. Tapi saya ada impian di mana saya akan bangunkan gereja di seluruh Sepanyol untuk menentang gerakan Muslim moden baru.” Komen tersebut mendapat perhatian dari Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang kemudian mengulasnya dalam Facebook beliau.

Hari ini, Paderi Yang pula tampil cuba mencerahkan keadaan.

"Saya berdiri di hadapan anda sebagai penganjur persidangan itu dengan rendah diri dan secara ikhlas ingin meminta maaf atas kesilapan yang ditimpakan kepada masyarakat Islam.

"Kami akur Encik Engle tidak sensitif dan kenyataan yang diberikan itu seharusnya dielakkan. Kami kini mengetatkan proses kami, melakukan segala apa yang kami mampu untuk memastikan insiden yang sama seperti ini tidak akan berlaku lagi," ujarnya Paderi Yang.

Kenyataan beliau itu disampaikan dalam satu sidang media secara bersama selepas satu pertemuan tertutup yang dijalankan di MUIS malam tadi (4 April).

INISIATIF DATANG DARI PADERI YANG SENDIRI; IKRAR PERISTIWA TIDAK AKAN BERULANG

Pihak kami dimaklumkan bahawa pertemuan yang dijalankan selama setengah jam itu merupakan inisiatif daripada Encik Yang sendiri kepada para pemimpin Melayu/Islam setempat.

"Jadi dalam memenuhi permintaan beliau itu, saya mengundang bersama para pemimpin agama dan masyarakat Islam kita untuk bersama saya dan mendengar sendiri kata-kata yang diluahkan oleh beliau.

"Beliau meminta maaf secara sepenuhnya, mengakui apa yang telah berlaku itu merupakan satu kesilapan dan beliau berikrar bahawa beliau dan gerejanya tidak akan mengulangi perkara yang sama," ujar Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram.

MUFTI: AKAN LEBIH BANYAK PERTEMUAN ANTARA PEMIMPIN AGAMA

Dr Fatris ditanya wartawan, apakah langkah seterusnya daripada pihak MUIS dan pemimpin agama yang lain untuk memastikan insiden yang sama tidak akan berlaku dalam masa hadapan.

Menjawab, Dr Fatris menekankan bahawa langkah dan usaha yang lebih pelbagai akan dijalankan untuk memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku.

"Masih terdapat ruang untuk kita perbaiki, masih terdapat langkah-langkah yang tersilap yang akan berlaku sebab dalam kehidupan manusia perkara ini tidak dapat kita elakkan.

"Tetapi bagaimana menjadikan kesilapan itu sebagai satu anjakan kepada kehidupan yang lebih positif, saya rasa platform telah banyak kita lakukan, institusi yang lain perlu disuburkan seterusnya," katanya.

Beliau turut menambah bahawa pemimpin Melayu/Islam yang lain turut memberikan pandangan bahawa pertemuan silang agama sebaiknya tidak hanya akan dilakukan hanya apabila ada kemaafan, namun menurut mereka inisiatif seperti itu perlu lebih kerap dilaksanakan.

Langkah ini menurutnya "demi mewariskan satu kehidupan yang sihat dan postif yang membina keharmonian untuk generasi kita akan datang." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan