Mufti Negara: Asatizah perlu dukung 'Manhaj Wasatiyyah' dalam membentuk 'Masyarakat Gemilang'
Golongan asatizah perlu mengangkat 'Manhaj Wasatiyyah' atau Aturan Kesederhanaan yang meliputi nilai kebersamaan dan kepelbagaian dalam kehidupan seharian mereka.
SINGAPURA: Golongan asatizah perlu mengangkat 'Manhaj Wasatiyyah' atau Aturan Kesederhanaan yang meliputi nilai kebersamaan dan kepelbagaian dalam kehidupan seharian mereka.
Mufti Negara, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, menekankan demikian di Majlis Hari Raya Bersama Asatizah, hari ini (2 Jul).
Nilai-nilai itu menurut Ustaz Dr Fatris dapat membangunkan sebuah masyarakat yang gemilang sejajar dengan '3K' - Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan - yang digagaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.
ASATIZAH PERAN CONTOH MUSLIM & BUKAN MUSLIM
Ustaz Dr Fatris berkata asatizah hari ini berbeza dari segi peranan dan tanggungjawab mereka yang diperluaskan bersesuaian dengan cabaran semasa.
Lantaran itu, Mufti melahirkan rasa gembiranya apabila golongan asatizah memberikan komitmen mereka untuk melindungi keharmonian agama baru-baru ini, di bawah Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS).

Namun, Dr Fatris berkata peranan mereka tidak terhenti di situ saja.
Apa yang dipersetujui dan ditandatangani perlu dilaksanakan.
Maka itu, beliau menyeru agar asatizah mendukung dan membudayakan 'Manhaj Wasatiyyah' atau Aturan Kesederhanaan yang meliputi nilai-nilai kebersamaan, kepelbagaian, kontekstual dan kredibiliti.
"Kerana kita menyedari kita sebagai asatizah ini sama ada kita suka atau tidak kita merupakan 'role model' yang diperhatikan oleh anggota masyarakat kita, sama ada masayarakat kita atau masyarakat lain.
"Manhaj wasatiyyah sangat-sangat menitik-beratkan penyertaan golongan agamawan dalam isu-isu semasa yang sangat rencam yang terjadi di tengah-tengah masyarakat dunia pada hari ini; sama ada di peringkat lokal mahupun di peringkat global.
"Seperti isu kemiskinan global, kesamarataan sosial, pemanasan udara dan ideologi radikal," tekan Ustaz Dr Fatris
Nilai-nilai ini menurut Dr Fatris penting dalam memperkasa dan meningkatkan kedudukan asatizah.
Pemberdayaan juga kata beliau boleh dilakukan dalam bentuk kemahiran dan latihan dalam meningkatkan kerjaya mereka.

(Asatizah mapan di Majlis Hari Raya Asatizah. Gambar: MUIS)
DIRI SAMA TINGGI DUDUK SAMA RENDAH
Asatizah tambah Dr Fatris 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan profesi-profesi lain' yang turut sama-sama memakmurkan Negara.
"Institusi Asatizah bukan hanya menjadi sebuah institusi yang perlu dibanggakan oleh masyarakat Islam setempat, tetapi sebenarnya ia adalah sebuah aset yang sangat berharga yang perlu dipelihara, dipupuk dan diperjuangkan oleh setiap individu yang digelar sebagai Ustaz dan Ustazah di Singapura ini," kata beliau lagi.
Majlis di Kelab Temasek itu dihadiri 650 asatizah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.