Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti kongsi 3 petua kehidupan berkeluarga dalam sesi perbincangan bersama masyarakat Melayu/Islam

Kepentingan menerapkan nilai-nilai Islam dalam sebuah institusi keluarga dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang erat menjadi intipati edisi keempat Muhasabah Masyarakat bersama Mufti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kepentingan menerapkan nilai-nilai Islam dalam sebuah institusi keluarga dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang erat menjadi intipati edisi keempat Muhasabah Masyarakat bersama Mufti.

Sekitar 100 peserta menyertai sesi perbincangan bersama Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir di Anjung, Wisma Geylang Serai malam ini. (19 Nov).

Tema kali ini bertajuk: “Memperkukuh Masyarakat Bersama Keluarga – Air Dicincang Tidak Akan Putus”.

Mufti Dr Nazirudin berkongsi tiga petua bagi kehidupan berkeluarga yang diajar dalam agama Islam.

“Yang pertama adalah sifat rahmah dalam kehidupan berkeluarga. Rahmah dalam erti kasih sayang yang mana kita utamakan perasaan kasih sayang dan cinta walaupun berdepan ahli keluarga yang bermasalah.”

“Yang kedua adalah sifat ihsan, yang boleh diistilahkan sebagai sifat empati di mana kita boleh letakkan diri kita dalam kedudukan seseorang.”

“Dan yang ketiga, mendalami ilmu dalam erti kata masalah-masalah dengan remaja dan anak-anak kita perlu mempelajari cara-cara terbaik untuk menangani isu itu. Bukan sahaja ilmu agama tetapi ilmu komunikasi dan juga motivasi,” kata Dr Nazirudin.

Dr Nazirudin turut menarik perhatian kepada program-program kendalian yang membekalkan keluarga-keluarga Melayu/Islam dengan ilmu pengetahuan yang relevan.

Beliau memberi contoh sesi 'Sembang Santai dengan Naib Kadi Bersamamu' yang membincangkan tentang resipi membina mahligai yang bahagia.

Satu lagi acara yang diadakan petang tadi adalah 'SaturDATE bersama ARIF oleh Project ARIF', di mana para anggota panel berkongsi tip-tip mengukuhkan hubungan keluarga.

Antara soalan-soalan yang diajukan sewaktu sesi soal jawab bersama Mufti adalah cara-cara untuk menangani masalah perbezaan pendapat antara anak dengan ibu bapa serta bagaimana setiap individu dapat memainkan peranan untuk mengukuhkan institusi keluarga.

Mengulas tentang topik perbincangan malam ini, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata ia sejajar dengan pendekatan yang dilakarkan oleh M³ sebelum ini.

"Kalau kita lihat selama ini dengan adanya pendekatan M³  yang dilakarkan di mana kita mahu memberikan ruang bagi kita untuk memulakan perkahwinan yang kukuh dan juga proses keluarga yang kukuh, yang kuat, yang mantap.  

"Bagaimana kita boleh memberi ruang kepada masyarakat kita untuk membangun dan mengetahui tentang aspek-aspek membangunkan keluarga, aspek-aspek apakah hubungan di kalangan di antara suami dan isteri, mengapa mereka mahu berkahwin. 

"Kita beruntung kerana mendapat sokongan daripada naib kadi yang menjalankan proses ataupun aktiviti dan inisiatif Bersamamu. Saya berasa gembira dengan adanya program 3M ini, ia mencantumkan semua yang kita lakarkan di mana kita mendapatkan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan termasuk Mufti kita," kata Dr Faishal kepada BERITAmediacorp.

Sesi Muhasabah Masyarakat bersama Mufti turut disiarkan secara langsung di laman Facebook dan YouTube SalamSG TV.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan