Skip to main content

Singapura

Mufti: Keunikan identiti Muslim S'pura patut dibanggakan

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (18 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong akur dan mengiktiraf bahawa Islam adalah "tunggak" masyarakat Melayu. Mengulas pengiktirafan itu, Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata "keunikan identiti kita" itu sememangnya patut dibanggakan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (18 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong akur dan mengiktiraf bahawa Islam adalah "tunggak" masyarakat Melayu, dan betapa para asatizah tempatan memainkan peranan penting dalam memupuk sebuah masyarakat Islam Singapura yang progresif.

Orang Melayu juga kata PM Lee sudah "berjaya membina identiti yang tersendiri" yang berbeza daripada Melayu atau Muslim lain di dunia.

DWIABAD TAHUN "IKTIRAF SUMBANGAN ORANG MELAYU"

Masyarakat Melayu/Islam Singapura semalam diangkat oleh PM Lee sebagai sebuah model dan contoh masyarakat Islam minoriti yang dikagumi di mata dunia.

Tahun memperingati dwiabad Singapura ini kata beliau adalah peluang untuk seluruh Singapura "mengiktiraf sumbangan orang Melayu kepada Singapura dan meraikan pencapaian mereka.

"Orang Melayu Singapura berjaya membina identiti yang tersendiri berbeza dari orang Melayu lain di rantau ini dan masyarakat Islam lain di dunia. Dari pertuturan sahaja anda boleh kenal, ah, ini orang Melayu Singapura.

"Pada masa yang sama bersatu padu dengan masyarakat lain dan memiliki naluri serta jati diri sebagai anak watan Singapura," kata PM Lee lagi.

MUFTI: KEUNIKAN IDENTITI PERLU DIBANGGAKAN

Mengulas pengiktirafan PM Lee itu, Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata "keunikan identiti kita" itu sememangnya patut dibanggakan.

Identiti unik yang dimaksudkan Mufti merujuk kepada ciri-ciri masyarakat yang maju dalam penghayatan agama, namun pada masa yang sama tetap menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Related article image

"Alhamdulillah saya rasa ia adalah satu perkara yang apabila keunikan identiti kita sebagai sebuah masyarakat Muslim di Singapura yang bercirikan progresif kita, berkeinginan untuk bergerak ke hadapan, yakin diri.

"Sumbangan bukan sahaja kepada masyarakat Islam sahaja tetapi keinginan kita untuk menyumbang kepada negara, saya rasa ciri-ciri ini adalah sesuatu yang patut kita banggakan kita syukuri kerana dikurniakan keinginan, kesungguhan dan keberanian untuk maju ke arah itu, saya rasa asas-asas telah diletakkan oleh generas-generasi kita terdahulu," kata Mufti.

PM LEE NANTIKAN SARANAN COFA

PM Lee juga mengatakan, beliau "menanti-nantikan saranan" sebuah jawatankuasa yang kini mengkaji cara-cara untuk meningkatkan profesionalisme asatizah tempatan.

Jawatankuasa tersebut merujuk kepada Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) yang dipengerusi oleh Dr Mohd Maliki Osman.

Saranan yang diusulkan oleh COFA itu bertujuan menghasilkan golongan asatizah bermutu tinggi dan menjadi pemimpin lebih konfiden pada masa depan.

Dalam pada itu, Muslim Singapura juga sedang meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam yang akan membantu mencorak model Kolej Islam Singapura (SIC) yang tersendiri.

Antara lakaran pertama yang akan dijalankan oleh MUIS pada tahun depan termasuklah Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bagi golongan siswazah dengan lulusan Islam dari luar negara.

PCICS akan memberi fokus kepada bidang-bidang sains kemasyarakatan untuk mengajar kemahiran-kemahiran seperti dalam urusan kerja sosial dan kaunseling.

"Kami dapati bahawa menginginkan ataupun mengharapkan para asatizah kita itu dibantu untuk membangunkan kemahiran mereka dalam memahami konteks, membimbing masyarakat beragama itu mengikut konteks ialah ekspektasi, ataupun harapan, permintaan yang ditempat pertama, yang disuarakan oleh semua peserta (golongan siswazah Islam) yang berbincang dengan kami dan memberikan maklum balas.

"Jadi, ternyata apa yang kita hasratkan, apa yang kita hajatkan, apa yang kita impikan adalah sejajar dengan apa yang dijangkakan dan diharapkan dengan masyarakat kita sendiri," kongsi Dr Fatris Bakaram yang turut merupakan anggota COFA.

FIKIRKAN CARA BAWA MASYARAKAT KE DEPAN

Memberikan pendapatnya, Ustaz Zahid Zin, yang diiktiraf PM Lee semalam, turut menyeru bagi golongan asatizah yang seangkatan dengannya untuk memikirkan cara terbaik untuk " membawa masyarakat kita ke depan."

Related article image

"Sebagai asatizah apabila sudah diberikan tanggungjawab untuk membimbing saya rasa bimbingan itu tidak terhad kepada bimbingan agama sahaja ia juga perlu kepada bimbingan kehidupan, untuk membina masyarakat kita yang lebih baik.

"Saya rasa amat penting untuk kita definisikan siapa kita (asatizah) dan kita kena yakin apa yang kita buat, akhir sekali sebagai rakyat Singapura saya rasa itu kepentingan kita untuk menjaga keserasian dan juga kemakmuran masyarakat," tambah Ustaz Zahid.

Semua itu sejajar dengan apa yang dinyatakan PM Lee di Rapat tahun ini, bahawa Islam yang diamalkan di Singapura mempunyai semangat saling menghormati, toleransi dan bersikap inklusif. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita