Mufti gesa masyarakat kuatkan azam perbaiki kelemahan dalam menjaga hubungan sesama insan
Selain meraikan Hari Kebangsaan, umat Islam Singapura juga secara serentak menyambut Tahun Baru 1443 Hijrah hari ini (9 Ogos).
SINGAPURA: Selain meraikan Hari Kebangsaan, umat Islam Singapura juga secara serentak menyambut Tahun Baru 1443 Hijrah hari ini (9 Ogos).
Majlis meraikan kedatangan awal Muharram dipimpin Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, di Masjid Al-Mukminin dan disiarkan secara online di saluran YouTube SalamSG TV.
Dalam ceramah beliau sempena tahun baru Hijrah, Dr Nazirudin mengajak masyarakat untuk menguatkan azam bagi memperbaiki segala kelemahan diri lebih-lebih lagi dalam menjaga hubungan sesama insan.
"Ayuh kita mengenal pasti dan mencari kelemahan sendiri, kalau tak banyak satu pun jadi. Kemudian kita berazam untuk memperbaikinya.
Hari ini kita banyak melihat bagaimana dengan wujudnya media sosial dan juga ruang-ruang untuk kita berikan luahan hati kita tentang apa sahaja perkara, apa sahaja berita yang kita baca. Kadangkala kita tergopoh dan tersilap langkah. Mudah mengungkapkan kata-kata yang menyakiti orang lain," kata Dr Nazirudin.
Dr Nazirudin juga berharap pada tahun baru ini, masyarakat dapat mempertingkatkan ukhuwah perikatan sesama mereka bukan sahaja dalam masyarakat Melayu/Islam tetapi juga dengan masyarakat lain.
ERTI PENGORBANAN DALAM PANDEMIK COVID-19
Selain itu, beliau juga menekankan tentang erti pengorbanan di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.
"Memang kita terus merindui saat-saat di mana kita dapat kembali beramal dengan sebanyak mungkin di masjid kita. Namun kita masih lagi berpeluang untuk ke masjid walaupun belum lagi dapat kita kerapkan seperti sediakala," ucap Dr Nazirudin.
Sebelum mengakhiri ceramahnya, Dr Nazirudin mengingatkan dan menggalak masyarakat untuk meneruskan segala kebaikan yang sudah mereka usahakan sebelum ini.
"Teruskan sifat gotong-royong, bantu membantu, nasihat-menasihati, percaya-mempercayai satu sama lain dan membina ukhuwah yang kuat antara kita, sambil meletakkan perbezaan di tepi," kata Dr Nazirudin.
"Ini agar kita dapat membantu dan juga membina kekuatan sebagai satu masyarakat dan menunjukkan keindahan agama kita kepada orang lain," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.