Skip to main content

Singapura

Mufti Dr Nazirudin Nasir utus ucapan Krismas kepada masyarakat Kristian Katolik; seru junjung nilai keharmonian, keamanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Nasir mengutuskan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh masyarakat Katolik Kristian di Singapura sempena perayaan itu pada Ahad (25 Dis) bagi pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Pusat Harmoni.

Ia disampaikan menerusi sepucuk surat, bertarikh 19 Dis, kepada Ketua Biskop Gereja Roman Katolik William Goh.
Dalam surat itu, yang dimuat naik ke laman Instagram Pusat Harmoni pada Ahad (24 Dis), Ustaz Dr Nazirudin menzahirkan harapan supaya nilai keamanan dan keharmonian tidak lenyap dalam kalangan masyarakat setempat biarpun pada waktu sukar dan suram ini, memandangkan nilai-nilai inilah yang membentuk kemanusiaan dalam masyarakat.

Dr Nazirudin berkata demikian sedang masyarakat Kristian Katolik tempatan menyambut hari Krismas di tengah-tengah konflik dan keganasan yang sedang berterusan di Gaza.

Setakat ini, angka korban akibat serangan Israel sudahpun mencecah lebih 20,000 nyawa, dengan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita. Serangan itu juga memusnahkan sebilangan hospital, sekolah, kem pelarian dan tempat ibadat.

"Ia merupakan tragedi besar (bukan sahaja) bagi masyarakat agama kita, (bahkan) bagi kemanusiaan, apabila keganasan dan pembunuhan sedemikian berlaku di tanah di mana Nabi Isa telah menjejakkan kaki dan menyampaikan mesejnya mengenai harapan dan belas kasihan untuk semua manusia," ujar Dr Nazirudin.

Mufti juga menambah: "Krismas merupakan sambutan nilai (keamanan dan keharmonian), sepertimana dipaparkan semasa kelahiran dan hayat Nabi Isa."

HARGAI SOKONGAN MASYARAKAT KATOLIK KRISTIAN TERHADAP PENGUMPULAN DANA BAGI PENDUDUK GAZA

Sehubungan itu, Dr Nazirudin memberi penghargaan kepada masyarakat Kristian Katolik tempatan atas sumbangan mereka dalam kempen pengumpulan dana, kendalian Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), yang dilancarkan pada 19 Oktober dan dilanjutkan sehingga 17 November lalu.

Usaha itu dilaksanakan bagi menyediakan bantuan kemanusiaan kepada para penduduk Gaza.

Semasa kempen tersebut dijalankan, RLAF bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) untuk menyediakan bantuan, bekalan perubatan dan tempat perlindungan bagi orang awam di Gaza yang dilanda perang antara Israel dan Hamas.

"Semoga keceriaan hari Krismas mengisi ruang hati anda dengan kebahagiaan dengan dikelilingi orang-orang yang tersayang. Semoga kita juga terus mengukuhkan hubungan dan ikatan serta seiringan dalam berbicara tentang keamanan, harapan dan belas kasihan demi kemanusiaan."
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita