Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Dr Fatris: Nabi bahkan izinkan kaum Nasrani sembahyang dalam Masjid Nabawi

Ini kerana kerohanian tersebut mampu memberikan seseorang itu kekuatan untuk menghadapi kehidupan dan cabaran. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram mengajak masyarakat Islam supaya membina rasa percaya diri dalam kehidupan beragama. Ini termasuklah apabila bermasyarakat dengan sesiapapun, mereka hendaklah berinteraksi dengan penuh yakin.

Menyampaikan demikian dalam khutbah Aidilfitri di Masjid Sultan, yang dihadiri 5,000 jemaah termasuk Presiden Halimah Yacob, Mufti Dr Fatris menekankan betapa masyarakat Islam terutama golongan muda perlu mempunyai rasa penuh yakin diri dan tidak dibelenggu keraguan yang berpanjangan.

(Gambar-gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

Beliau berkata, umat Islam hari ini tidak boleh bertindak menyelamatkan akidah dan agamanya dengan hanya berlari menjauhkan diri daripada realiti kehidupan dan dunia.

"Hari ini kita melihat semakin ramai di kalangan belia dan masyarakat Islam Singapura ikut terlibat dalam dialog atau perbincangan tentang agama lain. Dengan keyakinan yang jitu, masyarakat Islam Singapura menziarahi rumah peribadatan untuk saling mengenal keunikan agama masing-masing."

"Kita lakukan demikian dengan berbekalkan pemahaman yang kukuh terhadap agama kita. Kita tidak mudah terpengaruh dengan pandangan yang menyatakan bahawa jika anak-anak kita menziarahi rumah peribadatan agama lain ia boleh melemahkan keimanan mereka," menurut Mufti Negara Dr Fatris Bakaram.

Dr Fatris menambah, langkah paling wajar yang perlu diambil masyarakat muslim ialah mempertingkatkan pengetahuan dan kefahaman agama mereka.

Ini agar mereka tidak "dibelenggu keraguan yang berpanjangan" dan keutuhan identiti keagamaan masyarakat muslim menjadi terasing dan rapuh.

"Contoh Nabi (s.a.w.) sendiri. Baginda menerima kunjungan rombongan kaum Nasrani Najran di dalam Masjid Nabawi dan diriwayatkan ketika tiba waktu sembahyang mereka, Nabi (s.a.w.) bahkan mengizinkan mereka melaksanakannya di dalam Masjid Nabawi. Subhanallah, ini adalah isyarat kenabian bahawa apabila seorang Muslim mempunyai kerohanian yang tinggi dan keyakinan keagamaan yang jitu, beliau tidak perlu bimbang dalam berhubungan dengan orang-orang yang beragama lain," tekan Dr Fatris Bakaram lagi.

Beliau juga berharap, masyarakat muslim tempatan dapat membangun generasi muslim akan datang yang tidak kira di mana mereka berada, mereka terasa tenang bahawa mereka adalah muslim kerana kefahaman, bukan semata-mata kerana dilahirkan sebagai muslim, tetapi tiada penghayatan.

Dalam khutbahnya juga Mufti Negara meluahkan harapan agar nilai-nilai yang diraih semasa bulan Ramadan dapat terus disemai selepas ini. Ini agar ia dapat membawa manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga membina masyarakat yang utuh dan cemerlang sepanjang masa.

MENTERI MASAGOS SANGAT TERKESAN DENGAN KHUTBAH MUFTI

Mengulas mengenai khutbah yang disampaikan Mufti Negara semasa solat Aidilfitri, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata beliau berasa "terkesan sekali" dengan pesanan Dr Fatris bahawa kerohanian seorang muslim itu sangat penting.

Ini kerana kerohanian tersebut mampu memberikan seseorang itu kekuatan untuk menghadapi kehidupan dan cabaran.

Dalam khutbah Mufti juga, beliau menyentuh tentang bagaimana masyarakat yang tidak harus mengasingkan diri daripada masyarakat dan menghadapi realiti dunia.

"Itu satu pesanan yang sangat baik bahawa kita hidup di dunia ini bukan hanya meningkatkan kerohanian demi untuk membersihkan jiwa tetapi untuk menguatkannya supaya dapat menghadapi cabaran-cabaran kehidupan seharian. Apalagi kalau semua kita bersatu, kita dapat mengatasi apa sahaja yang menjadi cabaran kepada masyarakat kita," kata Encik Masagos.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa perkembangan di dalam dan luar negara, seperti penangkapan para individu yang menjadi radikal, ia tidak bermakna keyakinan masyarakat terhakis. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan