Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti: Asatizah perlu tegakkan kepimpinan moral semasa masyarakat hadapi krisis, cabaran

Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir mengeluarkan amaran kepada para asatizah bahawa masyarakat mungkin hilang kepercayaan dan keyakinan kepada mereka jika masyarakat meragukan kualiti dan kredibiliti kepimpinan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir mengeluarkan amaran kepada para asatizah bahawa masyarakat mungkin hilang kepercayaan dan keyakinan kepada mereka jika masyarakat meragukan kualiti dan kredibiliti kepimpinan mereka.

Menurut beliau jika itu berlaku, kepercayaan masyarakat kepada asatizah akan menjadi pudar dan lemah.

"Lebih-lebih lagi pada hari ini di mana terdapat banyak suara dan pandangan dari pelbagai sumber dan tempat – tidak ada batasan. Jika masyarakat hilang kepercayaan dan keyakinan mereka pada kita, mereka tidak akan teragak-agak untuk menggantikan kita dengan alternatif yang lain.

"Bahayanya adalah apa yang ditawarkan sebagai pengganti ini mungkin bercanggah dengan konteks situasi kita serta keperluan masyarakat kita," kata Dr Nazirudin.

Lantaran itulah, kepimpinan keagamaan yang berkesan serta dipercayai "sangat penting" dalam berhadapan dengan krisis. Kepimpinan moral atau keagamaan juga penting ditegakkan semasa masyarakat menghadapi cabaran dan krisis, kata beliau.

Dr Nazirudin berucap demikian kepada 780 asatizah semasa majlis Perjumpaan Hari Raya Bersama Asatizah 2021 yang diadakan hari ini (2 Jun).

Beliau menekankan, untuk memastikan kepimpinan asatizah hari ini boleh diterima dan boleh memberikan huraian kepada masyarakat, "kepimpinan keagamaan memerlukan tiga ciri yang penting: Integriti, Keberanian dan Empati" dengan cabaran-cabaran kompleks dan ketidaktentuan masa depan.

INTEGRITI KEPIMPINAN AGAMA

Kemampuan ilmiah, penghafalan al-Quran dan hadith, mahupun penampilan diri asataizah yang terzahir kepada orang awam, semuanya belum lagi dapat menjamin kepercayaan masyarakat, jika integriti dalam diri asatizah dipersoalkan, kata Mufti.

"Penggunaan media sosial yang berleluasa, yang boleh menggugat kewibawaan dan kejujuran kita... Perlumbaan untuk pujian dan pemujaan manusia menjadi lumrah.

"Namun sebagai pemimpin agama, dalam usaha bermuhasabah, kita seharusnya menilai niat serta tujuan kita terlebih dahulu apa yang kita ingin kita memuat naikkan, kongsikan dan bincangkan di media sosial. Apakah tujuan dan maslahatnya?" ujar beliau secara terus terang.

Ustaz Dr Nazirudin akur bahawa memang sukar untuk tidak terkesan dengan dunia yang mementingkan kemasyhuran dan populariti individu.

Namun beliau menarik perhatian bahawa para asatizah "adalah pemimpin agama".

"Kerana itu, adalah amat membimbangkan dan menyedihkan apabila kita mendapat berita tentang kes-kes yang menggambarkan hilangnya atau pudarnya integriti beberapa individu di kalangan kita, secara tidak langsung menimbulkan keraguan masyarakat terhadap kewibawaan para Asatizah," tambah beliau lagi.

Beliau kemudian menyebut tentang penghinaan dan salah laku terhadap wanita termasuk terhadap para asatizah. Minggu lalu terbongkar skandal 17 asatizah dijadikan objek seksual dalam dua tinjauan lucah online berbeza.

Laporan-laporan polis sudah dibuat berhubung gangguan seksual itu dan Majlis Ugama Islam Singapura juga sedang menyiasat. Presiden Halimah Yacob juga bersuara menekankan bahawa sekiranya benar sebilangan daripada dalang perbuatan itu adalah para pelajar bidang ukhrawi, "kita perlu dengan serius mempertimbangkan sama ada mereka layak untuk mengajar agama kepada masyarakat apabila mereka tamat pengajian kelak".

KEPIMPINAN PERLU KEBERANIAN

Menurut Dr Nazirudin dalam perutusannya itu, kepimpinan memerlukan keberanian dan "dalam situasi krisis, kepimpinan memerlukan keberanian moral dalam mencari huraian".

Dalam situasi krisis, kata beliau, para asatizah harus mencari panduan dan jalan keluar dari segenap penjuru. Bukan menyempitkan ruang penyelesaian dengan membataskan pencarian mereka hanya kepada pandangan yang tertentu atau yang selesa dan selamat.

Itu jugalah yang diperlukan semasa menghadapi krisis seperti pandemik COVID-19 sejak tahun lalu. Dr Nazirudin menekankan bahawa para asatizah adalah pakar agama, tapi bukan pakar perubatan atau saintis. Para perubatanlah yang mendidikan golongan agamawan tentang virus, jangkitan, mutasi, vaksin dan sebagainya.

"Adalah satu musibah sekiranya agamawan mula berlagak seperti pakar penyakit berjangkit. Kepimpinan yang berkesan adalah kepimpinan yang tahu bila harus mereka bersuara, bila harus mereka berdiam, dan siapa rujukan yang sesuai ketika cabaran melanda. Ini adalah langkah pertama dalam mencari huraian yang tepat," ujar beliau.

KEPIMPINAN BEREMPATI

Seterusnya Dr Nazirudin menegaskan peri perlunya kepimpinan asatizah yang berempati, iaitu yang "merasakan keperitan, kebimbangan, keprihatinan serta kegelisahan masyarakat".

Selain itu, kepimpinan berempati juga memerhatikan pengalaman dan perspektif orang lain, terutama mereka yang tidak mampu bersuara dan tidak memiliki sebarang kuasa, kata beliau.

Maka itu beliau menegur sikap sesetengah pendakwah yang menyatakan bahawa cabaran yang masyarakat hadapi sekarang ini merupakan tanda kemurkaan Allah ke atas umat akhir zaman.

Sedangkan di dalam sesuatu krisis dan cabaran, kata beliau, kepimpinan agama seharusnya membawa harapan kepada masyarakat.

"Namun, ke manakah arah tujuan kita jika kita mengambil pendekatan sedemikian? Adakah kita ingin katakan kepada anak-anak dan generasi muda bahawa tiada harapan buat mereka dan bahawa mereka akan terus hidup dalam suasana kemurkaan Allah?" tekan Dr Nazirudin lagi.

Oleh itu, Mufti Singapura itu memberi jaminan bahawa pihaknya ingin menyokong para Asatizah dalam menyebarkan lebih banyak pesanan yang penuh dengan harapan serta memberikan perspektif yang positif tentang cabaran yang masyarakat hadapi.

Ini agar masyarakat dapat melihat peluang serta harapan dan bukanlah digerunkan oleh ancaman serta hidup dalam ketakutan, ujar beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan