Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

mudaSG: Pemuzik & 'barber' Akid Amir ingin beri inspirasi dan kongsi ilmu kepada generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siang hari sibuk jadi tukang gunting rambut, bila malam menjelma pula, salon rambutnya bertukar menjadi tempat 'jamming'.

Sejak kecil lagi, Noor Akid Amirullah sudah didedahkan kepada pelbagai genre muzik dan minatnya mula timbul.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Akid Amir, kini boleh berbangga kerana dapat merealisasikan impiannya itu.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Pemuzik dan penyanyi berusia 33 tahun itu mengenang antara pengaruh awalnya dalam bidang muzik.

"Dahulu dalam kereta, ibu bapa saya memberi saya dengar lagu-lagu seperti Barry White dan saya akhirnya jadi terpengaruh dengan Bob Marley semua. Adik-beradik saya juga memang dari dulu minat Hip Hop jadi mereka membawa saya pergi menyaksikan persembahan-persembahan Hip Hop," kongsi Akid kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Pak Cik saya juga pernah menjadi Pengarah di Universal Music jadi memang dari dulu, beliau mendedahkan saya kepada banyak majalah, CD terutama jika ada kugiran-kugiran baharu," tambahnya.

PELAJARI CARA MAIN GITAR & TERBITKAN LAGU SENDIRI PADA USIA 15 TAHUN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Dengan minat yang begitu mendalam, Akid belajar sendiri cara bermain gitar dan mula menerbitkan lagu pada usia 15 tahun.

Setakat ini, beliau sudah hasilkan 20 lagunya sendiri merentasi pelbagai genre termasuk R&B, Hip Hop, dan Indie, yang kebanyakan dihasilkan di studionya di Geylang.

"(Studio) ini namanya Owl’s Nest dan ia dikendalikan oleh jiran saya, Adir Kaisan. Jadi ini di mana kita melakukan latihan, menerbitkan muzik serta mencurahkan pendapat untuk idea-idea baharu bagi masa depan dan selalunya, set dram ini dikongsi antara pelbagai pemuzik lain yang selalu menggunakan tempat ini," menurut Akid.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Selain dapat melakukan hobi mereka, para penggiat muzik di situ juga sudah ibarat menjadi sebuah masyarakat di situ.

"Masyarakat di sini agak istimewa untuk saya sebab ada pelbagai ahli muzik berlainan yang datang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Ada budak-budak 'punk', 'Ska' dan 'jazz' yang juga datang sini. Jadi kita boleh saling berkongsi idea dan kadangkala kita juga anjurkan acara di luar dengan pelbagai jenis muzik dalam satu ruang," ujar Akid.

CABARAN BERKECIMPUNG DALAM BIDANG MUZIK

Namun begitu, pelbagai cabaran perlu diharunginya untuk terus berkecimpung dalam bidang yang diminatinya itu.

"Memang pasaran di Singapura kecil jugakan? Jadi itu yang membuat seorang ahli pemuzik susah untuk hidup terutama sekali untuk menghasilkan muzik sendiri kerana pertama, ramai rakyat Singapura yang tidak mendengar muzik tempatan juga. Kebanyakan dengar muzik luar negara," dedah Akid.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Lantaran itu, Akid memutuskan untuk timba satu lagi kemahiran baharu sebagai tukang gunting rambut.

Ini setelah mendapat dorongan daripada bekas majikannya.

"‘(Bekas majikan) saya kata, 'Kau selalu lepak di sini, patut kau kerja sini sahaja.’ Saya cakap 'Kerja buat apa?' (Dia) cakap 'tukang gunting rambut'. 'Tapi aku tak pernah gunting rambut'. Dia pun kata 'tidak apa, kalau kau boleh main muzik, kau boleh gunting rambut'," kongsi Akid.

"Pada bulan-bulan pertama memang mencabar, memang tidak suka sebab dari dulu saya tidak suka pergi ke kedai gunting rambut dan selalu memilih untuk ke salon tetapi lama kelamaan, saya jadi terbiasa dengannya," tambahnya.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Kerja itu dimudahkan lagi dengan niat Akid sendiri untuk menyokong keluarganya.

Daripada satu 'kerja suka-suka', beliau akhirnya berjaya buka kedai gunting rambutnya sendiri yang dipanggil Kidting, pada usia 28 tahun.

Perniagaan itu kini diuruskan bersama rakan niaganya, Cik Tay Ting Wei, yang juga menyokong minat Akid dalam bidang muzik
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


"Apabila beliau penat dan saya perlu bantu mempersiapkan kedai, jadi itu saya faham. Banyak komunikasi untuk kita sebab ia adalah satu ruang yang dikongsi jadi seperti mana ia merupakan ruangnya, ia juga merupakan ruang saya, asalkan pelanggan kami semua okey," kongsi Cik Tay.

"Saya gembira beliau dapat memilih laluan ini dan hakikatnya apabila beliau dapat menceburi (bidang muzik) ini untuk beberapa tahun dengan mudah, ia bermakna beliau berada dalam jalan yang benar dan asalkan beliau mempunyai minat, saya akan menyokong (minatnya)," tambahnya.

DAPAT IMBANGI MUZIK DAN PERNIAGAAN

Bagi Akid, itu merupakan caranya tersendiri dalam usaha menggapai kejayaan.

"Tahun pertama menguruskan perniagaan sendiri, saya lihat macam boleh hidup, cukup makan, boleh bayar sewa dan boleh membantu keluarga sedikit. Itu sahaja pada saya sudah cukup daripada kerja sepenuh masa dan tidak bahagia," luah Akid.

"Lagi senang (juga) ingin menguruskan jadual saya terutama sekali dalam memburu muzik pada masa yang sama. Kalau saya pilih pekerjaan sepenuh masa, memang susah untuk imbanginya, lebih-lebih lagi dengan persembahan pada hujung minggu," tambahnya.

Akid antaranya dapat bekerjasama dengan artis tempatan, Aisyah Aziz. (Gambar: Junas Band/Instagram)
Berkat usaha gigihnya, Akid juga berjaya menarik perhatian artis tempatan lain dan melebarkan sayap untuk bekerjasama dengan mereka.

Antaranya, beliau telah menulis lagu untuk Aisyah Aziz dan Fariz Jabba serta menjadi anggota kugiran pengiring buat konsert Hady Mirza.

Mengenang kembali perjalanan hidupnya, Akid bangga masih dapat berkarya hingga ke hari ini.

"Definisi kejayaan ialah 'sustenance' atau kebolehan untuk menampung diri jadi asalkan saya cukup makan, ada tempat tinggal, boleh menyokong keluarga, itu saya sudah cukup bersyukur. Tidak perlu jadi kaya kerana kaya duit itu tidak bermaksud kejayaan," jelas Akid.

LALUAN UNTUK BERJAYA BUKAN SATU SAHAJA
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Malah, Akid juga tidak membiarkan tahap pendidikan akademiknya itu menjadi penghalang bagi beliau mencapai dan mengukir kejayaan sendiri.

"Kelayakan tertinggi saya juga hanya Peringkat 'N' tetapi ibu saya tidak begitu tegas dan hanya ingin saya lulus sahaja. Itu juga agak sukar bagi saya dari segi pelajaran akademik. Namun, ibu bapa saya memang memberi saya kebenaran untuk lakukan apa sahaja yang saya ingin lakukan," ujar Akid.

"Asalkan ada niat yang betul untuk menyokong keluarga, menyara kehidupan dan mempunyai keinginan untuk timba pengalaman baharu. Laluan untuk berjaya bukan satu sahaja. Jika anda ingin berjaya dalam akademik, biar belajar terus sahaja dan jika anda ingin jadi tukang gunting rambut atau ahli muzik, teruskan sahaja," tambah beliau.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Melangkah ke hadapan, Akid berharap dapat terus berkarya dan beri inspirasi kepada pemuzik baharu untuk berkarya dan menzahirkan kreativiti masing-masing.

Begitu juga harapannya bagi penglibatannya dalam bidang gunting rambut.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan