mudaSG: Pakar & teknisyen gitar termuda SG Hazieq Nizam berjaya tarik perhatian kugiran antarabangsa
Dibesarkan dalam keluarga seni, muzik sudah sebati dengan jiwa Muhammad Hazieq Muhammad Nizam sejak kecil lagi.
SINGAPURA: Dibesarkan dalam keluarga seni, muzik sudah sebati dengan jiwa Muhammad Hazieq Muhammad Nizam sejak kecil lagi.
Daripada minat, bertukar menjadi kerja yang menguntungkan apabila Hazieq mula menyediakan khidmat membaiki gitar dari rumah pada usia 18 tahun.
"Ayah saya memang seorang pemain gitar dan ibu saya suka berdansa. Ayah dan ibu saya pernah katakan yang perkataan pertama saya bukan perkataan tapi merupakan melodi lagu," kata Hazieq kepada wartawan Syawal Yusoff.
BUKA KEDAI SENDIRI PADA USIA 25 TAHUN
Ketekunan dan dedikasi anak muda ini berbaloi apabila akhirnya berjaya membuka kedainya sendiri, Wax Guitar Services pada 2023.
Dalam tempoh lapan tahun, Hazieq sudah menyelenggara dan membaiki lebih 2,000 gitar.
"Saya akan membersihkannya dengan sangat teliti. Saya akan memeriksa (bahagian) elektronik sama ada ia berfungsi. Saya akan menggilap bahagian tertentu gitar untuk memastikan ia lancar dimainkan. Akhirnya, gitar akan kelihatan baik seperti baharu, jika tidak lebih baik daripada itu," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Meskipun baru berusia 26 tahun, beliau rasakan dirinya perlu berani dalam menentukan laluan kejayaannya sendiri.
"Saya tahu yang saya akan membuat atau membaiki gitar, seumur hidup saya. Cuma bila sahaja. Pada umur saya ini, saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk saya mengambil risiko," ujar Hazieq, anak kedua daripada empat adik beradik.
Hazieq atau lebih dikenali sebagai 'Wax' bertukang di bengkelnya hampir setiap hari.
Beliau bertugas secara solo dan belum ada kakitangan sejauh ini.
Bergantung kepada keadaan gitar, proses memperbaikinya boleh mengambil masa antara dua minggu hingga enam bulan untuk disiapkan.
Harga yang dikenakan pula serendah S$65.
Tugas yang perlukan konsentrasi serta kerja tangan yang teliti menjadikan bidang ini tidak diceburi ramai.
"Termasuk saya, ada lima teknisyen gitar (di Singapura). Ini tidak termasuk kedai gitar. Saya adalah seorang sahaja anak Melayu dan yang termuda dalam bidang ini," katanya,
ANAK SG PERTAMA JADI TEKNISYEN GITAR; IKUT 'BAND' JELAJAH DUNIA
Minatnya itu juga membawa Hazieq ke luar negara untuk mendalami ilmu tentang alat muzik ini sehingga boleh buat gitar sendiri.
"Pada Januari 2023, saya berada di Kuala Lumpur untuk satu bulan di atas bukit untuk membuat gitar daripada pokoknya sendiri. Pokok itu saya tebang dan potong mengikut bentuk gitar ini. Semasa saya menghalusi dan mengukir bahagian kepala gitar saya, saya berasa seolah-olah berada di atas awan. Pada masa itulah, saya tahu bahawa saya perlu bekerja dengan gitar seumur hidup saya," jelas Hazieq.
(Facebook/Wax Guitar Services)
Potensi Hazieq dalam bidang muzik turut mendapat perhatian kugiran-kugiran tempatan dan antarabangsa.
Baru-baru ini, beliau ditawarkan untuk menjelajah Eropah selama sebulan bersama sebuah 'band' bergenre 'grindcore', Wormrot sebagai seorang teknisyen gitar.
"Artis antarabangsa pertama yang bekerjasama dengan saya ialah Yvette Young. Jadi Yvette Young adalah salah seorang idola gitar saya. Saya telah mendengar muziknya sejak saya berumur kira-kira 14 tahun. Pada ketika itu, saya baru sahaja mula melakukan khidmat membaiki gitar.
"Saya dan Yvette Young telah lama berhubung di Instagram dan kemudian saya memberi idea kepadanya jika saya boleh membaiki gitar untuknya. Disebabkan beliau berkongsi tentang kerja tangan saya, Wormrot melihat kerja saya dan kami berkawan rapat," kongsi Hazieq yang juga pernah bekerjasama dengan kumpulan rok dari Kanada, Sum 41.
Menurut Hazieq, setakat ini beliau satu-satunya anak Singapura yang diberi peluang berbuat demikian.
"Saya harus pastikan yang 'amplifier', gitar-gitar dan dram beroperasi dengan baik. Tugas saya adalah untuk memastikan bahawa artis-artis boleh ekspresikan diri mereka dengan sepenuhnya di pentas.
"Untuk saya percepatkan pembelajaran saya, saya harus membawanya ke ekstrim. Saya pergi ke luar negara, saya bekerjasama dengan kugiran-kugiran supaya boleh pelajari kraf tersebut dengan lebih baik lagi," ujarnya.
(Facebook/Wax Guitar Services)
Memandangkan konsep mengambil khidmat teknisyen gitar untuk sesebuah persembahan atau konsert masih lagi baharu di rantau ini, Hazieq berhasrat untuk mendapat peluang bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza.
"Beliau seorang legenda dan merupakan artis kegemaran ibu bapa saya. Jikalau saya dapat bekerja dengan Siti Nurhaliza, ia seakan-akan cara saya memberi penghormatan kepada mereka kerana menyokong perjalanan saya," jelas Hazieq.
JADI INSPIRASI BUAT RAKAN-RAKAN
Rakan-rakannya yang mula bermain muzik dengan Hazieq sejak mereka mengambil kursus Diploma dalam Seni Sonik di Politeknik Republik, bangga dengan pencapaian Hazieq.
Walaupun masing-masing menceburi bidang berbeza, mereka kerap 'jamming' bersama hingga ke hari ini.
Kumpulan yang dikenali sebagai '8forty5' itu juga bahkan sudah menghasilkan beberapa lagu mereka sendiri.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Saya masih ingat lagi beliau katakan 'Saya mahu menjadi orang yang akan membawa kugiran-kugiran tempatan ke peringkat yang paling tinggi'," kata Muhammad Nur Solihin Rozalan.
Turut menyifatkan Hazieq sebagai inspirasi ialah seorang lagi rakannya, Muhd 'Ariq Mohd Yusof.
"Mestilah bangga kawan sendiri buat perniagaan sendiri, pergi jelajah bersama band 'Wormrot'. Selama saya kenali dia hingga sekarang, dia tahu apa kehendaknya. Apabila dia tahu apa kehendaknya, dia berusaha keras," kata 'Ariq.
KONGSI ILMU DENGAN PELAJAR, PERKASA GOLONGAN KURANG UPAYA
Di samping menguruskan perniagaannya, Hazieq juga gigih berkongsi ilmu dengan generasi lebih muda.
Beliau mengendalikan kelas muzik di sekolah-sekolah sejak dua tahun yang lalu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain pelajar, beliau turut prihatin dengan golongan kurang upaya dan berkongsi kemahiran itu bagi memperkasakan mereka.
"Bekerjasama dengan organisasi yang membantu orang kurang upaya. Salah satu kelas yang saya bekerjasama, mengajar kanak-kanak autistik membaiki gitar sebagai satu bentuk kemahiran motor dan modul kognitif. Diharap mereka akan lulus untuk dapatkan pekerjaan di kedai muzik," kata Hazieq.
Beliau juga terbuka untuk berkongsi ilmunya dengan sesiapa sahaja yang berminat.
"Ilmu tidak akan ke mana dan rezeki ini selalu ditentukan. Saya tidak takut untuk berkongsi apa sahaja yang saya tahu. Memang jalan yang saya ambil untuk mempelajari apa sahaja yang saya pelajari hari ini adalah luar biasa. Bagi saya, ilmu adalah pengetahuan. Ia tersedia dan saya lebih gembira untuk berkongsi," ujarnya.
Bagi Hazieq, apabila dapat melakukan sesuatu yang diminatinya dan menyumbang kembali kepada masyarakat, itulah definisi kejayaan bagi dirinya.
"Definisi kejayaan saya hanyalah dengan saya gembira dengan kehidupan saya. Saya ingin menjalani hidup saya dengan kepuasan. Saya tidak melihat kekayaan sebagai satu bentuk kejayaan. Rasa puas untuk lebih bermakna. Mutu kehidupan bagi saya, lebih diutamakan dalam semua yang saya lakukan," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Hazieq ada rancangan untuk menjayakan lebih banyak konsert jelalah dunia bersama kugiran antarabangsa tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.