Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

mudaSG: Muhammad Ridhwaan Radzi mahu bantu masyarakat Melayu/Islam celik dalam kewangan Islam

Apakah makna kejayaan bagi anda? Untuk beberapa minggu ini, BERITA Mediacorp akan memaparkan kisah inspirasi enam anak muda mempunyai definisi kejayaan mereka yang tersendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
mudaSG: Muhammad Ridhwaan Radzi mahu bantu masyarakat Melayu/Islam celik dalam kewangan Islam

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Apakah makna kejayaan bagi anda?

Untuk beberapa minggu ini, BERITA Mediacorp akan memaparkan kisah inspirasi enam anak muda mempunyai definisi kejayaan mereka yang tersendiri.

Membuka tirai siri laporan mudaSG ialah Muhammad Ridhwaan Radzi - anak muda berwawasan tinggi yang mahu membimbing sebuah masyarakat yang lebih celik wang.

(Gambar: Syawal Yusoff)

MADRASAH PENCETUS MINAT DALAM KEWANGAN ISLAM

Perjalanan Ridhwaan, 28 tahun ke dalam bidang kewangan bermula di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Minatnya tercetus selepas mengikuti satu modul kewangan Islam semasa di Pra-U 1.

Beliau kagum dengan konsep penyimpanan dan pelaburan berlandaskan prinsip syariah.

"Saya pun teringin juga untuk menjadi lebih lain daripada kawan-kawan saya yang ingin memasuki bidang usuluddin ataupun dari segi dakwah. Tapi cara saya, saya rasa adalah ingin berdakwah melalui kewangan Islam," kata Ridhwaan kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Muhammad Ridhwaan Radzi)

Kini 11 tahun kemudian, Ridhwaan berjaya merealisasikan impiannya dan menerajui dua syarikat yang bantu masyarakat Melayu/Islam untuk menjadi lebih celik kewangan.

"Matlamat saya untuk membangkitkan masyarakat Melayu/Islam untuk menceburi bidang kewangan. Dari situ mungkin meneroka pelaburan-pelaburan Islam yang mungkin dapat juga memberi bukan sahaja memberi mereka barakah tapi juga memberi mereka keuntungan yang sesuai untuk sepanjang hayat mereka," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

TUBUH 2 SYARIKAT SEWAKTU DI NTU

Selepas menamatkan pengajiannya di madrasah, Ridhwaan melanjutkan pelajarannya di Politeknik Nanyang sebelum diterima masuk ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Semasa Di NTU, beliau menubuhkan Islamic Finance Singapore (IFSG) pada 2021 sebagai wadah yang menyediakan sumber dan maklumat tentang kewangan Islam menerusi acara dan ceramah.

(Gambar: Muhammad Ridhwaan Radzi)

"Kami memikirkan bagaimana kami ingin menyatukan semua karyawan dan cendekiawan di Singapura dalam satu platform. Dari situ mungkin kami boleh berbincang bagaimana untuk membawa penyelesaian kepada masyarakat," kata Ridhwaan, yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan di IFSG.

Sambutan yang menggalakkan itu mendorong Ridhwaan dan pasukannya untuk bangunkan pula 'RizqX' - sebuah platform sehenti bagi pelaburan halal.

Beliau kini boleh berbangga dengan pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

"Dari konteks Singapura yang serba moden dan serba cenderung kepada teknologi, ada peluang untuk kami memaparkan kewangan Islam dari segi tradisionalnya ataupun dari segi hikmahnya," jelas Ridhwaan.

IMPIAN TUBUHKAN BANK KEWANGAN ISLAM DI SG

Meskipun sudah berada di puncak kejayaan, jasa para pendidik yang senantiasa menyokongnya tidak pernah dilupakan.

Beliau kerap kembali ke madrasah Aljunied untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kejayaan Ridhwaan ini saya harap dapat mencetuskan (minat) dalam kalangan para pelajar kita bahawa pendidikan Madrasah Aljunied atau pendidikan di madrasah bukan sekadar persiapan untuk akhirat saja tetapi juga adalah untuk persiapan kehidupan kita di dunia," kata Naib Mudirah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustazah Harinah Abdul Latiff.

Meskipun disifatkan sebagai seorang yang pendiam, Ridhwaan rajin bertanya dan ringan tulang untuk lakukan kerja-kerja kebajikan.

"Beliau seorang yang suka ambil peluang jika diberikan. Seperti kalau kami minta bantuan beliau, membuat kerja sukarela dalam program-program madrasah, beliau suka dan bersedia untuk berkhidmat," kata Ustazah Harinah, yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat di Madrasah Aljunied.

Ustazah Harinah berkata beliau masih ingat lagi potensi besar serta cita-cita bekas muridnya itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Waktu cuti sekolah, beliau sendiri meneroka dan sanggup meluangkan masa untuk mendapat pengalaman dalam bidang ini apabila beliau mencari sendiri peluang untuk bekerja sambil belajar atau 'internship'. Beliau sendiri yang mencari syarikat dan setelah mendapat syarikat yang sudi membuka pintu untuknya, baharu beliau memberitahu saya ‘Ustazah saya dapat peluang begini’ dan saya amat sangat kagum dengan usaha beliau di situ," tambahnya.

Sambil menahan sebak, beliau menambah: "Impiannya adalah untuk mewujudkan Bank Islam di Singapura. Jadi ini yang sangat saya tersentuh. Di usia remaja, beliau sudah mempunyai impian untuk membantu masyarakat."

USAHAKAN PROJEK PENDIDIKAN DENGAN MENTOR

Antara sumber inspirasi Ridhwaan ialah pakar ekonomi dan penasihat kewangan, Sani Hamid.

Mereka berkenalan ketika Ridhwaan menjalani latihan amali atau 'internship' di syarikatnya sedekad yang lalu.

Hubungan mereka berkembang daripada 'majikan' dan 'intern' hingga kini rakan kerjasama dan mentor untuk pelbagai projek-projek pendidikan yang diusahakan bersama.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ada perasaan begitu bangga seperti anak kita sendiri, dari kecil kami didik dan sekarang beliau berjaya dalam kerjayanya. Bila tiba masanya beliau memerlukan nasihat daripada saya, memerlukan perbincangan dengan saya, beliau akan 'WhatsApp' saya dan kami akan ada perbincangan tersebut," kata Encik Sani.

Beliau yang kini juga sebahagian dari panel pakar IFSG berharap lebih ramai generasi muda seperti Ridhwaan akan tampil untuk memperjuangkan kewangan Islam di Singapura.

"Kami lihat niat Ridhwaan memang tulen dan memang baguslah. Beliau memang ingin melihat masyarakat kita berjaya. Doa dan harapan saya adalah segala yang Ridhwaan lakukan akan membawa manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura," ujarnya.

TARIK MINAT GOLONGAN MUDA CEBURI BIDANG KEWANGAN ISLAM

Etika kerjanya yang profesional turut dipuji rakan-rakan setugas.

Menerusi bidang kewangan ini juga, Ridhwaan cuba menarik golongan muda sepertinya untuk berbakti pada masyarakat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya diberikan peluang untuk mungkin menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam dan ia adalah satu peluang yang saya amat hargai. Beliau seseorang yang amat teliti dalam urusan perniagaan kerana beliau selalu cuba mencari cara untuk memperbaiki ataupun mengembangkan perniagaan kami," kata Salihin Samsudin, yang sudah dua tahun mengenalinya.

Dengan latar belakang pendidikan mereka yang berbeza, Salihin juga menghargai bimbingan agama daripada Ridhwaan.

"Saya daripada pendidikan sekular dan saya rasa saya amat hargai mempunyai seorang sahabat yang dari madrasah kerana beliau dapat mendidik saya bukan saja tentang kewangan Islam, tapi dari segi agama. Dari situ ikatan persahabatan kami semakin rapat dan itu saya rasa dapat menyumbang ke dalam hubungan pekerjaan kami atau sinergi kami," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sungguhpun sibuk mengejar impiannya, anak sulung dua beradik itu beruntung kerana mempunyai anggota keluarga yang bangga dengan pencapaiannya dan akan sentiasa mendorongnya mendalami minatnya itu.

"Segala kerja keras ini untuk sementara supaya kami boleh bina masa depan yang lebih cerah untuk keluarga kita," kata isterinya, Siti Nurul Fatinah Hairy.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menariknya, pertemuan mereka juga disebabkan minat yang sama.

Ridhwaan dan isterinya berumahtangga selepas lima tahun berkenalan.

"Kami berjumpa melalui kumpulan 'WhatsApp' untuk orang Muslim yang berminat dalam kewangan Islam. Dalam kumpulan 'WhatsApp' itu, Ridhwaan ada berkongsi beberapa nota tentang kewangan Islam. Jadi saya bertanya bagaimana untuk sertai kursus itu dan dari situ kami berhubung di 'LinkedIn'. Kami dapat tahu kami sebenarnya sama umur dan mempunyai latar belakang yang sama dari madrasah, masuk universiti tempatan, berminat dalam kewangan," kongsi Cik Siti.

(Gambar: Muhammad Ridhwaan Radzi)

Menurut Ridhwaan, perjalanannya dalam bidang kewangan Islam masih lagi jauh dan masih banyak lagi perancangan yang ingin diusahakan.

Kejayaan itu akan lebih manis apabila manfaatnya dapat diraih bersama masyarakat.

"Saya memang menginginkan untuk adanya sebuah legasi di mana pelajar-pelajar daripada madrasah, pelajar-pelajar juga daripada universiti dan di mana mana sahaja untuk menceburi kewangan Islam," kata Ridhwaan dengan penuh harapan.

Beliau dan pasukannya kini sedang membangunkan pula sebuah platform kewangan Islam bersepadu.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan