Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mudah diakses dan tak takut rosak' - mempelai pertama dapat sijil pernikahan digital ROMM

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) mula mengeluarkan sijil pernikahan secara digital (1 Jul), bagi pasangan yang mendaftar pernikahan mereka menerusi Portal Perjalanan Perkahwinan (OMJ).

Selain menerima sijil pernikahan digital, mereka juga akan menerima sijil upacara penandatanganan untuk meraikan majlis istimewa itu.

Antara pasangan yang menjadi antara yang pertama untuk menerima sijil pernikahan digital itu ialah Cik Hazliza Mohd Hazli dan suaminya, Scott Colin Charles.

SIJIL NIKAH DIGITAL LEBIH MUDAH DIAKSES

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk pasangan ini, mereka melahirkan rasa teruja dan menyambut baik inisiatif pendigitalan baharu itu.

"Sijil (digital) ini lebih menyenangkan sebab kalau kita ingin mendaftar untuk cuti pernikahan, kita boleh muat naik sahaja kepada portal kerja dan pada masa yang sama, kita boleh meletakkannya dalam komputer, komputer riba dan telefon bimbit di mana anda boleh akses untuk pendaftaran semua jadi ia lebih memudahkan," kongsi Cik Hazliza, 39 tahun kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Daripada sijil yang fizikal sendiri, kadangkala kita boleh terlupa di mana kita meletakkannya dan ia tidak mudah diakses untuk dibawa ke mana-mana anda pergi," tambah beliau.

Ini juga memudahkan urusan pasangan seperti Cik Hazliza dan suaminya dalam berkongsi atau membuat sebarang kertas kerja secara online menerusi peranti mudah alih.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Proses untuk mendapatkan sijil itu juga amat mudah dan pantas bagi pasangan itu.

"Ia lebih menyenangkan kerana anda tidak perlu bimbang anda akan kehilangan atau merosakkan sijil itu dan terutama sekali untuk generasi muda, semua memiliki telefon bimbit dan emel jadi mudah untuk diakses," kongsi suaminya, Encik Scott, 38 tahun, pula.

MANFAAT SIJIL NIKAH DIGITAL, TAK TAKUT HILANG ATAU ROSAK

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kemudahan baharu yang diperkenalkan dalam portal OMJ yang dipertingkat oleh Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan ROMM.

"Usaha Pejabat Pendaftaran Pernikahan Islam (ROMM) Singapura adalah untuk kita memanfaatkan pendigitalan dan juga mendakap teknologi baru. Usaha ini telah kami mulakan pada September tahun lalu apabila kebanyakan permohonan nikah dilakukan secara online termasuk pengakuan sumpah yang dibuat. Maka, ini adalah antara proses berterusan yang kami lakukan," kongsi Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar.

Ini juga menurut beliau memberi manfaat dan kemudahan buat para mempelai.

"Sijil nikah digital memberikan banyak kelebihan kepada pasangan khususnya, ia mudah untuk disimpan, dipindah alih dan untuk dicari dan dikeluarkan. Jadi ini memberikan satu kemudahan yang banyak sekali kepada pasangan," ujar Ustaz Nor Razak.

"Sijil nikah digital ini juga selamat dan tidak mudah rosak seperti mana yang berlaku pada sijil nikah fizikal. Kadangkala berlakunya kehilangan atau terlupa di mana sijil nikah tersebut disimpan atau mungkin juga berlaku kerosakan kerana ia adalah kertas, jadi kemungkinan terkoyak atau sebagainya," tambah beliau.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain itu, beliau turut menjelaskan satu aspek penting bagi sijil nikah digital ini dalam memudahkan pengesahan terhadap kesahihan sijil tersebut di dalam dan luar negara.

"Ini memudahkan pasangan dan juga pihak-pihak berwenang untuk menentukan sejauh mana sijil tersebut adalah sijil nikah yang tulen yang dikeluarkan oleh ROMM Singapura. Sijil nikah digital ini dilengkapi dengan kod QR yang memberikan satu saluran yang pantas bagi pihak-pihak tertentu sama ada dalam atau di luar Singapura untuk meneliti sejauh mana ketulenan sijil nikah berkenaan," kata Ustaz Nor Razak.

UPACARA PENANDATANGAN MASIH DIADAKAN SEBAGAI KENANGAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Di samping itu, upacara penandatangan kata Ustaz Nor Razak masih terus diadakan di mana pasangan boleh menyimpan sijil fizikal itu sebagai tanda kenangan.

"Ada kebimbangan dalam kalangan pasangan bahawa apabila sijil nikah digital dilancarkan, sudah tidak ada lagi sebarang upacara penandatanganan. Jadi ini merupakan satu tradisi yang sangat penting bagi pasangan," katanya.

"Maka itu, kami mengekalkan tradisi ini seterusnya di mana walaupun pasangan akan mendapat sijil nikah digital, masih terdapat juga sijil upacara untuk mereka tandatangani," jelas Ustaz Nor Razak.

"Ini termasuklah tandatangan pengantin, wali dan kedua saksi serta kadi yang menikahkan mereka. Jadi kita kekalkan tradisi ini untuk memastikan bahawa pasangan mempunyai sesuatu untuk mereka membawa pulang sebagai satu kenangan sepanjang hayat dalam hari dan majlis yang sungguh istimewa buat mereka ini," menurutnya lagi.

USAHA PENDIGITALAN ROMM

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk mendapatkan sijil digital itu, pasangan perlu membuat permohonan dahulu untuk pernikahan mereka.

"Sijil nikah digital ini hanya dikeluarkan kepada pasangan yang membuat permohonan nikah di pejabat nikah, sama ada nikahnya di pejabat ataupun di luar pejabat. Ini bermakna mereka akan melalui proses permohonan dan setelah permohonan tersebut diluluskan, kemudian kadi akan menikahkan pasangan dan pada akhir majlis tersebut, kadi akan mendaftarkan nikah tersebut secara online. Jadi dengan pendaftaran online tersebut, maka pasangan akan mendapat sijil nikah melalui emel mereka masing-masing," menurut Ustaz Nor Razak.

"Kami berharap bahawa usaha Pejabat Nikah ke arah pendigitalan sepenuhnya dilihat oleh masyarakat Islam secara am dan oleh pasangan yang bernikah secara khususnya sebagai satu usaha bersama oleh masyarakat Islam Singapura ke arah memelihara alam sekitar dan pada waktu yang sama juga menangani iklim perubahan cuaca," tambahnya.

Usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada peningkatan portal OMJ yang diumumkan tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan