Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mualaf ini pastikan tradisi sambutan Tahun Baharu Cina terus diwarisi keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Mualaf ini pastikan tradisi sambutan Tahun Baharu Cina terus diwarisi keluarga

Cik Deanna Chew (kiri) bersama anak dan ibunya. (Gambar: Nur Syafeera)

SINGAPURA: Sudah hampir 15 tahun Cik Deanna Chew, 41 tahun, menjadi seorang mualaf, dan ia tidak menghalangnya daripada meneruskan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta pada setiap tahun.

Cik Deanna memeluk agama Islam pada tahun 2009, ketika berkahwin dengan suaminya, Muhamad Asri Ramli, dan mereka kini mempunyai seorang anak lelaki, Adriel yang berusia 13 tahun.

Beliau juga pemilik kedai 'Deanna's Kitchen' yang menjual mi udang di 10 Jalan Masjid.

PERSIAPAN JELANG TAHUN BAHARU CINA

Sepanjang perjalanannya sebagai seorang mualaf, ikatan kekeluargaan tidak pernah putus dan beliau sentiasa menghadiri tradisi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

Katanya, setiap tahun, beliau dan suami serta anak mereka akan berkumpul bersama-sama anggota keluarga serta sanak saudara.

Mereka akan menggayakan pakaian sedondon berwarna merah, biru atau warna-warna terang, yang mempunyai makna tersendiri bagi sambutan Tahun Baharu Cina.
(Gambar: Nur Syafeera)

Selain warna pakaian, makanan serta kuih-muih yang dihidangkan juga mengikut makna dan simbolik Tahun Baharu Cina selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

"Saya masih boleh ingat lagi waktu saya masih kecil, Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran dalam keluarga saya, di mana saya akan menolong nenek saya membuat kuih, "kongsi Cik Deanna kepada BERITA Mediacorp.

" Kini saya kurangkan sedikit dari segi persiapan tetapi saya masih buat yang terbaik mungkin. Saya sebenarnya teruja menyambut Tahun Baru Cina seperti membersihkan rumah. Membersihkan rumah memberi semacam satu pembaharuan, "jelasnya lagi.

BELI-BELAH DI CHINATOWN

Berbelanja di Chinatown menjadi satu kemestian dan tradisi bagi Cik Deanna sekeluarga bagi mendapatkan keperluan Tahun Baharu Cina, termasuk kuih-muih seperti tart nanas, kuih kapit dan sebagainya.

" Buah limau, kuih-muih, bunga segar, dan menghias rumah dengan dekorasi dan kaligrafi Cina yang merupakan kata-kata ucapan kemakmuran antara yang mesti dilakukan setiap Tahun Baharu Cina" kongsi Cik Deann lagi.

(Gambar: Nur Syafeera)
Anak dan ibunya, Cik Ng Choon Lan, selalu ikut sama dalam membuat persiapan, satu tradisi yang diharap dapat diteruskan oleh anaknya.

Amalan tradisi ini dibantu dengan adanya ibu Cik Deanna tinggal bersama mereka.

ERAT SILATURRAHIM

"(Anak saya) sering menantikan kedua-dua perayaan ini (Tahun Baharu Cina & Hari Raya)kerana dia boleh dapat hongbao dan duit raya, "kongsi Cik Deanna.

Maka itu, walaupun berlainan agama, mereka tidak pernah terlepas daripada menyambut Tahun Baharu Cina bersama anggota keluarganya.

"Ia suatu tradisi untuk ke rumah makcik saya pada hari pertama Tahun Baru Cina, kerana beliau yang paling tua dalam keluarga kami. Selepas saya menjadi seorang mualaf, beliau sediakan makanan seperti popiah, sup ikan, sup fishball dan beberapa makanan lain yang beliau tahu saya dan suami saya boleh makan," kata Cik Deanna lagi kepada BERITA.
(Gambar: Denise Chew)
Maka itu, adalah penting bagi Cik Deanna untuk melibatkan anaknya dalam persiapan meraikan Tahun Baharu Cina.

" Bagi saya dan keluarga Cina saya, saya hanya berjumpa mereka pada majlis perkahwinan, pengebumian dan Tahun Baharu Cina.

"Oleh itu ia sesuatu yang amat saya hargai kerana sekali setahun sahaja kami tidak duduk di hadapan TV untuk makan malam. Sebaliknya, kami berkumpul dan duduk bersama di satu meja dengan stimbot, dan lauk-pauk dimasak ibu saya, "kata Cik Deanna, sambil menambah ikatan kekeluargaan tidak pernah terputus, malah tetap utuh dan terjalin rapat sehingga hari ini.

Harapannya, agar tradisi ini akan terus diamalkan anaknya.
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan